Tuesday, August 06, 2013

KESATUAN MELAYU masih adakah lagi..


Bakal diterbitkan dan akan berada dipasaran tidak lama lagi.

PRAKATA
Pengkhususan isi buku ini tertumpu kepada perkembangan politik tanah air. Akhir-akhir ini Melayu mudah sangat dirobek teguh semangatnya sehingga timbul bibit-bibit menggelupar darah bangsa.
Tidak setakat itu sahaja, Islam juga tidak lari dihamburkan darjat penghinaan yang paling keji pernah terjadi semenjak bertapaknya Islam di Tanah Melayu. Bangsa dan agamaku sudah mudah diperlekehkan. Mereka sudah tiada segan silu melontarkan najis hina kepada bangsa dan agamaku. Mereka masih totok dalam pergaulan bangsa. Mereka masih totok di tanah air ku, tetapi ngauman mereka mengecutkan pundi perasaan bangsa Melayu.
Kita negara berdaulat. Makrifat pembesar negara masyhur seantero dunia. Malah bajik kita terkenal dengan murah sedekah dan hulur bantu negara lain. Di dalam negara sendiri bagaimana?.
Benarlah kata Pak Hamka, “Mereka tahu kelemahan kita dan tidak susah untuk memusnahkan kita. Hanya jihad bangsa dan agama sahaja yang boleh mengagungkan kita”.
Bijaksana Perdana Menteri Malaya dan Raja-Raja Melayu telah berjaya membuka dermaga bahtera Inggeris kembali ke Britain buat selama-lamanya. Harapan jus soli mrmbawa berkat muafakat pendatang Cina dan India rupa-rupanya memakan tuan setelah lebih 50 tahun merdeka.
Buku ini adalah wadah meniup kembali semangat bersatu orang Melayu agar sentiasa berpadu di bawah satu kesatuan. Kembalikan keagungan bangsa seperti tulisan saya mengenai kehebatan Raja Haji. Penampilan faktor Raja-Raja Melayu sebagai perlambangan perpaduan bangsa turut saya muatkan dalam artikel berkaitan dengan Tuanku Sultan Selangor.
Cerita politik menjadi pokok utama intipati buku ini adalah disebabkan melalui politik sahajalah Melayu mendapat tompok kuasa pemerintahan. Kita sememangnya kecundang dalam sektor ekonomi. Kekuatan politik kini telah terbahagi kepada tiga kumpulan. Mereka cukup takut bila Melayu berpadu. Garapan saya ini adalah suatu sumbangan kecil ke arah KESATUAN MELAYU. Artikel-artikel saya sebelum ini di laman blog dan media massa adalah secubit usaha untuk mentautkan kembali paduan Melayu. Dikumpulkan semuanya untuk dibukukan sebagai suatu bahan bacaan dan simpanan rujukan untuk generasi mendatang.
Harapan agar bangsaku dapat meluangkan masa untuk membaca buat penaik semangat dan kembali bertaut. Minda terbuka untuk mencerap permasalahan antara kaum dan ruang lingkup hak kita sebagai Bumiputera.
Rakus mereka mempertikai siapa kita dan agama kita hanya boleh di lawan jika kita bersatu. Sepakat dan muafakat bagai semarak bangsa untuk menonjolkan kepada bangsa lain bahawa kita sebenarnya masih satu di bawah KESATUAN MELAYU.
SHAIFUL BAHRI SAIDIN
1 Ramadan 1434H bersamaan 10 Julai 2013