AWASI FAHAMAN LIBERALISASI DAN PLURALISME DARI YAYASAN ASING
Saya pernah bertanyakan kepada seorang pemimpin muda dari sebuah parti politik berbagai kaum komponen Barisan Nasional mengapa mereka perlu bekerjasama dan mendapat sokongan dari yayasan luar negara? Jawapannya idelogi mereka tidak mendapat sambutan dari pejuang badan sukarela tempatan berasaskan kebebasan hak asasi dan pendapat mereka sering ditolak oleh kerajaan sendiri.
Pada beliau dan organisasinya, bekerjasama dan mendapat bantuan kewangan dari yayasan luar negara lebih mudah dan tersusun aktiviti mereka kerana dana yang mencukupi untuk menjalankan perancangan.
Beliau seterusnya memberi pendapat arus perubahan global perlu juga dimanfaatkan oleh rakyat negara kita. Arus perubahan global yang beliau maksudkan itu bukannya perkara baru. Cuma pendekatan yang mereka impikan lebih menciplak acuan Barat yang sesungguhnya tidak bersesuaian dengan nilai-nilai murni dan kehidupan masyarakat majmuk di negara kita.
Liberalisasi politik, moral, pluralisme dan kebebasan mutlak, itulah idaman dan perjuangan mereka. Badan bukan kerajaan (NGO) tempatan dilihat lebih mudah bekerjasama dengan pertubuhan sosial atas tiket yayasan dari luar negara. Antara yayasan negara asing yang giat bekerjasama dengan NGO tempatan ialah Friedrich Naumann Faundation (FNF) dan Konrad Adenauer Foundation (KAF).
Kedua-dua yayasan ini berasal dari Jerman dan telah wujud berpuluh tahun lamanya. Kumpulan elit NGO tempatan ini lebih bertuah kerana mendapat sokongan dan dana tajaan program pembangunan mereka dari yayasan luar negara.
Yang menghairankan seolah-olah NGO elit ini langsung tidak menaruh kepercayaan kepada rakan-rakan NGO di dalam negara. Malah pemimpin berkenaan dengan mudah berkata jika mereka bergabung dengan beberapa badan induk NGO yang diiktiraf oleh kerajaan, pergerakan mereka akan diawasi dan sukar untuk mendapatkan sponsor untuk menjalankan aktiviti.
FNF menitikberatkan liberalisasi dalam proses membebaskan diri daripada sekatan politik dan moral termasuk agama. Yayasan asing ini menekankan prinsipal kebebasan individu dalam menaikkan martabat manusia.
Malah atas nama liberalisasi politik, FNF kini semakin intim dengan bekas pemimpin negara dan penaung parti politik pembangkang dalam menyokong kemunculan semula bekas pemimpin itu di arena politik negara. Baru-baru ini yayasan asing ini menaja satu pertemuan dengan parti politik pembangkang di sebuah hotel mewah atas nama forum "Dialog Meja Bulat Antara Muslim".
Bekas pemimpin negara itu pernah mendapatkan rawatan khas sakit tulang belakangnya di sebuah pusat perubatan juga di Jerman. Mungkin secara kebetulan.
Mereka juga telah bekerjasama sekian lama dengan 'Malaysiakini' dan beberapa pejuang aktivis sosialis seperti Jeff Ooi dan Jeremiah Foo. Malah yang terbaru mereka menaja satu berjumpaan dengan blogger di pejabat Malaysiakini Bangsar untuk melatih blogger-blogger tertentu menyediakan blog politik sebagai satu alat propaganda komunikasi politik melalui internet.
Tidak hairanlah kita lihat NGO yang bergerak atas nama kebebasan bersuara dan liberalisasi, "banyak duit" untuk mengadakan aktiviti mereka yang kadang-kadang ada jugak unsur subversif menentang kerajaan, orang Melayu dan Islam secara halus dan berselindung.
Selain Malaysiakini, NGO lain yang aktif di bantu dari segi dana dan sokongan aktiviti ialah Young Malaysia Movement (YMM), theCICAK.com, ERA Consumer Malaysia, theMind, Malaysian Institute of Economic Research (MIER) dan Young Sosio-Political Entrepreneur (YSPE).
Yayasan atau 'stiftung' dalam bahasa Jerman sudah lama menyemai konsep liberal yang kononnya bersifat condong kepada kebebasan dan pemerintahan yang demokratik dan tidak terkongkong kepada sesuatu arah pemikiran.
Mereka juga sangat menekankan fahaman liberalisme dalam ekonomi melalui agenda global 'Economic Freedom Network' dengan ingin segera merealisasikan 'Free Trade Agreements' (FTA) di negara kita.
Persoalannya sejauhmana kejujuran mereka dalam aktiviti sosial dan kemanusiaan dan mengapa perlu bekerja sama dengan golongan yang dikenali membangkang kuat apa sahaja yang dilakukan oleh kerajaan sejak dahulu lagi?.
Jika benar yayasan asing ini mengamalkan kebebasan dan liberal dalam asas perjuangan, mengapa tidak bekerjasama dengan pertubuhan NGO, persatuan belia dan pertubuhan kebajikan Islam yang majoriti dianggotai oleh orang Melayu Islam?.
Malah tempias propaganda dan agenda tersembunyi ini telah mula meresap ke dalam sebuah parti politik komponen BN melalui sayap pemuda dan wanitanya.
Apakah 'stiftung' asing ini merasakan mereka sangat bagus dan ingin mengajar warga Malaysia cara-cara menghargai hak asasi manusia, bebas dalam segala segi dan terbuka tanpa had dan batasan?.
Walaupun masih belum banyak lagi NGO tempatan 'tergoda' dengan saluran dana yang mewah, namun perkara ini perlu diberikan perhatian dan kena ambil tahu sedikit sebanyak pergerakan mereka.
KAF pula adalah sebuah pertubuhan pengembangan agama Kristian yang juga berasal dari Jerman, yang bergerak secara halus dengan kononnya hendak mewujudkan kebaikan dan berbaik-baik dengan agama lain.
Walaupun yayasan ini bermotifkan persamaan hak, bersuara, keamanan dan toleransi dengan melangkaui batas-batas agama, budaya, sosial dengan tujuan untuk melahir perpaduan dan keamanan sejagat, namun asas dan penggerak utama di belakang KAF ini ialah Christian Democratic Union dari Jerman.
Yayasan ini sama seperti FNF sangat 'berminat dan seronok' untuk bekerjasama dengan NGO dan badan profesional tempatan. Mereka menggelarkan organisasi tempatan ini sebagai 'partners'. Antara 'rakan' mereka di Malaysia ialah Angkatan Zaman Mansang (AZAM) Sarawak, Institute for Development Studies (IDS) Sabah, Institut Kajian Dasar (IKD), Malaysian Strategic Research Centre (MRSC), Community Communications Centre (KOMAS) dan Asian Institute for Development Communication (AIDCOM).
Asas kerjasama mereka dengan organisasi di atas ialah untuk membantu dan menyokong membangunkan negara Malaysia moden. Apakah kita selama ini tiada kerajaan dan mundur dalam membangunkan negara?. Apakah organisasi tempatan masih perlu berharap sokongan dari yayasan asing untuk mengajar mereka cara memberi ceramah dan aktiviti lain seperti bengkel dan seminar?.
Malah atas nama kebebasan dan hak asasi, mereka telah cuba meresapkan persamaan beragama dengan toleransi menerusi fahaman pluralisme. Caranya dengan menerbitkan buku-buku dalam bahasa Melayu dengan tujuan untuk menarik lebih ramai orang Melayu memahami fahaman yang cuba diketengahkan oleh KAF.
Antara judul penerbitan KAF dibawah siri 'Isu Semasa Dalam Risalah' ialah 'Makalah Tertentu Tentang Hubungan Antara Syariah dengan Falsafah', 'Demokrasi Dalam Al Quran, Hadis dan Tradisi', Islam Tunduk Menyerah', 'Bercakap Atas Nama Tuhan', 'Agama dan Kebebasan Berfikir', 'Hukum Barat Pun Islam', 'Konsep Kebebasan dan Agama', 'Bunga Bank Bukan Riba yang Diharamkan', 'Kahwin Campur Antara Muslim dan Non Muslim' dan 'Islam dan Pluralism'.
Judul buku-buku tersebut sudah jelas menunjukkan mereka dengan sengaja menonjolkan kontroversi agama dalam menarik minat pembaca. Malah kata-kata aluan untuk semua buku tersebut adalah seperti berikut:-
"Siri "Isu Semasa Dalam Risalah" ini lahir dari lubuk peristiwa, perkembangan semasa di seluruh dunia yang merunsingkan, yang acapkali berkait dengan agama dan penafsiran yang gelap terhadap agama. Siri ini cuba menampilkan sisi-sisi yang cerah dalam agama. Ia cuba menyelak seluas mungkin dimensi kemanusiaan risalah agama. Sambil itu ia tetap menyedari bahawa agama bukanlah faktor utama yang melahirkan rush zaman ini. Sebaliknya, agama, oleh mereka yang bingung, digalang sebagai potensi untuk merebakkan kerusuhan."
Yayasan dari Jerman ini perlu dipantau segera pergerakannya di negara ini oleh kerajaan. Walaupun mereka mengadakan beberapa aktiviti ceramah, bengkel, seminar dan dialog yang melibatkan beberapa tokoh terkenal tanah air seperti tokoh politik, aktivis sosial malah tokoh-tokoh agama Islam sendiri, kita harus berhati-hati dengan niat sampingan dan agenda terselindung mereka.
Saya melihat pertubuhan ini amat merbahaya dari segi jangka panjang kepada negara. Taburan wang ringgit boleh mengaburi NGO kita. Walaupun niat mereka untuk berbaik dan bekerjasama dalam nada perpaduan sejagat dengan agama lain, namun kekuatan kewangan yang mereka ada boleh melemahkan dan menundukkan umat Islam.
Kadang-kadang hairan juga mengapa NGO Jerman begitu berminat dengan Malaysia. Sedangkan dari segi sejarah, sosio-budaya, bahasa dan pendidikan langsung tiada hubung kait dengan negara kita. Jerman tidak pernah pun menjajah kita. Mengapakah akhir-akhir ini mereka begitu berminat dengan negara kita sedangkan halangan bahasa dan budaya amat bertentangan sekali.
Setelah sanggup berhabis berjuta ringgit setiap tahun, apakah yang diingini oleh dua yayasan Jerman ini?. Jika jawapan dari mereka mungkin akan berkata itu suatu tanggungjawab sosial mereka. Akan tetapi apakah hak mereka untuk bertanggungjawab terhadap hal ehwal negara kita?. Hairan juga mengapa yayasan dari Jerman ini sanggup menghabiskan dananya secara 'sukarela' tanpa berharap sesuatu pulangan atau sokongan kepada pihak tertentu. Mungkinkah ada agenda yang tersembunyi dan bertopengkan khidmat sosial, kebebasan dan hak asasi?.
Mungkin kerajaan perlu memperkasakan lagi bantuan dana khas tahunan yang disalurkan kepada beberapa agensi dan kementerian. Pada tahun 2006, kerajaan memperuntukkan RM 20 juta untuk NGO tempatan untuk melaksanakan program wanita, keluarga dan masyarakat.
Malah dana ini ditambah menjadi RM30 juta pada Bajet 2007 yang lalu. Mungkin ada NGO yang masih tidak tahu dana khas ini dan di mana perlu memohon. Atau memang terdapat NGO yang sengaja tidak mahu memohon kerana takut kegiatan dan aktiviti mereka dihidu oleh pihak kerajaan?. Atas alasan seperti itu maka yayasan asing masih 'laku' di negara kita.