Disebabkan masa kini ahli parlimen Barisan Nasional (BN) lebih terserlah dan lantang bersuara sebagai wakil mutlak kepada rakyat di Parlimen, ianya mengakibatkan wakil dari DAP telah tenggelam punca.
Malah tiada isu yang relevan yang ditimbulkan oleh DAP kepada masalah rakyat dan negara kerana ahli parlimen BN juga kini semakin kritis dan bersikap dinamik walaupun mereka di pihak kerajaan, menyebabkan DAP sudah ketandusan idea sehinggakan isu mengarak dan menghunus keris semasa persidangan tahunan Pemuda UMNO Malaysia beberapa minggu lalu turut dijadikan isu.
Akibat buta sejarah dan sengaja mahu melaga-lagakan hubungan kaum di negara ini, akhirnya wakil DAP bertemu buku dengan ruas apabila di bidas dengan lantang dan "garang" oleh Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Noh Omar.
Isu keris yang menjadi lambang budaya masyarakat Melayu, sekali lagi menghangatkan persidangan Dewan Rakyat apabila pembangkang tidak berhenti membangkitkan isu itu semasa Kementerian Pelajaran menggulung perbahasan rang undang-undang perbekalan 2007.
Pertikaman lidah antara Noh dan Chong Eng (DAP-Bukit Mertajam) bermula apabila wakil pembangkang itu mempersendakan keris, yang menjadi lambang UMNO, semasa bangun meminta penjelasan mengenai masalah kuarters guru yang tidak diduduki.
Memangnya patut Noh naik berang apabila wakil pembangkang masih mahu menimbulkan isu Ketua Pemuda UMNO mencium keris semasa persidangan UMNO lepas. Perbuatan DAP mempertikaikan isu keris jelas menunjukkan peranan mereka sebagai pembangkang di Parlimen sudah tersasar jauh. Parti ini yang sememangnya terkenal dengan memainkan isu perkauman, sekali lagi ingin menonjolkan imej kuno mereka itu.
Bukannya mereka tidak tahu budaya, adat, resam dan istiadat Melayu sememangnya mengagungkan keris sebagai simbol kekuatan dan pusaka bangsa sejak zaman keagungan kerajaan Melaka lagi. Mempolitikkan isu keris jelas menunjukkan DAP sudah hilang sengat sebagai pembangkang di dalam Parlimen. Ini disebabkan kadang-kadang ada terdapat ahli parlimen BN sendiri yang berbahas seperti "pembangkang dalam kerajaan" yang sekali gus mengenepikan dominasi suara DAP.
Atas senario sebegini mungkin telah mengakibatkan DAP lebih suka dan seronok menimbulkan isu provokasi dan menaikkan semangat api perpecahan perpaduan kaum di negara ini. Bagi mereka itu sahajalah caranya untuk mendapat perhatian orang ramai.
Kepada rakyat yang gemar dengan corak tarian naga DAP ini mungkin akan terikut-ikut dengan sentimen buruk mereka ini. Hasilnya pergolakan dan sehingga mencetuskan pergaduhan kaum akibat masing-masing sudah hilang pertimbangan akibat diasak dengan pemikiran negatif yang menyemarakkan lagi api permusuhan kaum. Itulah yang diimpikan oleh DAP sebagai mengembalikan populariti mereka sebagai parti pembangkang.
Akibat pembangkang buta sejarah, mereka sering mempersoalkan kedudukan sekolah Cina, agama Islam sebagai agama rasmi, hak keistimewaan orang Melayu, target Bumiputera dalam sektor ekonomi dan juga mereka telah mula berani mempertikaikan budaya orang Melayu dengan mengaitkan keris sebagai lambang orang Melayu akan "bangkit dengan kekerasan".
Lebih menghairankan lagi DAP seolah ingin menunjukkan kepada umum merekalah pejuang kaum Cina di negara ini. Ungkapan kaum Cina akan semakin lemah akibat orang Melayu bersatu dan maju adalah tidak adil seperti dibangkitkan oleh DAP. Jelas memperlihatkan DAP amat tidak senang melihat orang Melayu lebih maju dari bangsa mereka. Kerana jika orang Melayu lebih maju dan bersatu, DAP akan terkubur kerana tiada lagi isu perkauman yang akan mereka cetuskan.
Akibat takut DAP akan luput dalam sejarah politik negara, maka mereka tidak serik-serik membangkitkan kemarahan orang Melayu dan melaga-lagakan hubungan kaum Melayu-Cina.
DAP lebih seronok melihat orang Melayu bercakaran sesama sendiri dan kononnya mereka adalah parti berbilang kaum yang utama di negara ini. Mereka memberikan gambaran buruk kepada kaum Cina bahawa orang Melayu akan "mengamuk" apabila persidangan tahunan UMNO yang baru lalu dapat mereka saksikan secara langsung tanpa tapisan melalui stesen tv berbayar.
Pada mereka itu suatu cabaran yang boleh mencetuskan kegelisahan kaum di Malaysia. Akibat DAP yang sememangnya buta sejarah, mereka lupa beberapa peristiwa hitam yang telah berlaku di negara kita siapakah yang memulakannya?. Saya bukan mahu memainkan sentimen kebencian kaum, tetapi provokasi dan permainan api yaang ditunjukkan oleh DAP kebelakangan ini amat merbahaya jika tidak ditangani dengan segera.
Ini dibuktikan dengan ucapan Pengerusi DAP, Lim Kit Siang semasa berucap di satu forum politik di Ipoh Jumaat lepas dengan tajuk "Post-UMNO General Assembly and Pak Lah's 3 year Report Card" dengan kata-kata sebegini "The "fire and brimstone" Umno assemblies with keris-wielding and May 13 threats of bloodshed, amok and riots undermining not only half-a-century of nation-building and national unity efforts, but scaring away foreign investors."
Orang Melayu tidak marah pun selama ini bangsa lain boleh maju dan berjaya dalam bidang pendidikan, perniagaan dan perdagangan. Jika benar orang Melayu iri hati terhadap bangsa lain, sudah lama orang Melayu akan "mengamuk" seperti yang diingini oleh pemimpin DAP itu. Merana berpuluh tahun orang Melayu masih di tahap kesabaran walaupun DEB telah berakhir pada 1991dengan kegagalan kita mencapai impian 30 peratus ekuiti Bumiputera dalam sektor ekonomi.
Mungkin mereka terlupa sebenarnya apabila lebih maju orang Melayu, kaum Cina turut juga maju. Kita ambil contoh dalam sektor pembinaan. Walaupun ramai orang Melayu mendapat tender projek-projek kerajaan, orang Cina mendapat faedah juga. Malah kadang-kadang lebih banyak mendapat faedah dari segi keuntungan perniagaan dari kontraktor Melayu. Pengilang, pengeluar, pemborong, pengedar dan peruncit bahan binaan adalah dimonopoli oleh kaum Cina. Bayangkan berapa banyak bahan binaan diperlukan untuk sesuatu projek seperti besi, batu bata, simen sehinggakan sekecil paku. Semuanya akan dibeli melalui perniagaan bahan binaan yang didominasi oleh kaum Cina. Tidakkah itu juga memberi kelebihan kepada kaum mereka dalam sektor perniagaan?.
Itu baru satu sektor sahaja, belum lagi kita memperkatakan di sektor pelancongan yang bakal menjana pendapatan yang agak lumayan tahun depan. Persoalannya berapa ramai orang Melayu yang dapat manfaat dari program Tahun Melawat Malaysia 2007 dibandingkan dengan kaum Cina yang juga memonopoli sektor pelancongan dari sekecil pemandu pelancong sehingga ke pemilik hotel, agensi pelancongan, pemilik bas persiaran, pemilik restoran dan kedai cenderamata. Bukankah itu satu program yang dirangka oleh kerajaan BN yang diterajui oleh UMNO?. Bolehkah kita katakan orang Cina terpinggir dan akan kurang perniagaan mereka seperti yang disuarakan oleh DAP?.
Perlu diingat keris Melayu jugalah yang akan membina kekuatan ekonomi orang Cina termasuk perniagaan yang dijalankan oleh pemimpin DAP sendiri. Keris Melayu di zaman alaf baru ini sudah cerdik dan tidak akan "bergelumang dengan darah" sesuka hatinya. Keris adalah simbol kekuatan Bangsa Malaysia sebenarnya yang berpaksikan kepada keutuhan bangsa Melayu.
Selanjutnya dalam forum tersebut Kit Siang telah menuduh adanya puak ekstrimis kaum dan agama di kalangan profesional muda Melayu dan mereka masih mempertikaikan kontrak sosial yang telah termetrai dengan jayanya sejak 1957 yang bertujuan untuk menjamin perpaduan antara kaum dan kesejahteraan rakyat. Ini dibuktikan dengan kata-kata beliau semasa forum tersebut, "This time, however, any emigration exodus will not be confined to non-Malays but will also include Malay professionals, who are also very disturbed by the rise of racial extremism and religious intolerance in the country, with the arbitrary and unconstitutional re-writing of the Federal Constitution by turning Malaysia into an Islamic State, which violates the 1957 Merdeka "social contract" that Malaya and Malaysia is a multi-religious secular nation with Islam as the official religion but not an Islamic state – a position publicly and proudly proclaimed by the first three Prime Ministers of Malaysia."
Putar belit fakta sejarah dan menuduh orang Melayu akan bertanggung jawab jika berlaku rusuhan kaum adalah amat keterlaluan tohmahan yang dibuat oleh DAP. Mereka cukup risau jika orang Melayu bersatu. Mencabar kesabaran orang Melayu perlu ada hadnya.
Cuma jangan dicabar keris tersebut untuk "menderhaka dan mengamuk" mencari mangsanya sendiri. Selagi orang Melayu tidak pernah mempertikaikan seni budaya kaum Cina seperti pedang, tombak dan parang yang juga menjadi simbol kebudayaan dan keugamaan kaum Cina, jangan pula cuba "beradu kekuatan" dengan menyalahkan keris yang tidak berdosa kepada pemiliknya.
DAP perlulah cermin diri sendiri dan memikirkan mengapakah mereka kini kurang mendapat sambutan terutama dari kaum Cina sendiri. Jangan cuba menyeret rakyat terutama generasi muda supaya hidup dalam ketakutan dan memencilkan diri dengan pergaulan satu kaum sahaja. Peristiwa hitam 1969 jangan dijadikan bahan percaturan politik.
UMNO sudah matang dalam segala segi perbahasan demi menaikkan semangat orang Melayu sendiri supaya lebih berdaya saing dan maju, dan bukannya meletakkan kaum lain sebagai "mangsa" untuk mencapai cita-cita murni terutamanya di sektor ekonomi.
Kenapa perlu DAP takut dengan ucapan berapi dan bersemangat pemidato UMNO semasa perhimpunan yang baru lalu, sedangkan itulah "stail" dan "trade mark" UMNO di dalam menaikkan semangat ahlinya supaya jangan alpa dan sentiasa jangan lupa kepada teras perjuangan dan meningkatkan daya saing dalam menghadapi cabaran masa depan.
Agaknya DAP tercabar kerana jika lebih ramai orang Melayu berjaya dalam perniagaan dan perdagangan, ini akan mengecilkan peratusan keuntungan ahli-ahlinya yang sememangnya ramai yang terdiri daripada peniaga. Motif ekonomi yang semakin tercabar adalah sebenar-benarnya motif DAP kini yang semakin melalut dan melatah tidak tentu pasal, dan bukannya motif politik yang ikhlas dan tulen.
Perniagaan mereka yang semakin tercabar dan iri hati dengan bakal kewujudan kaum Melayu yang berjaya dalam perniagaan dan menguasai ekonomi negara adalah punca mengapa DAP menukar taktik dan konsep berpolitik kerana ekonomi mereka sudah mula tergugat. Pergaduhan, rusuhan dan tidak harmoni dalam hubungan kaum adalah "ubat" yang paling mujarab untuk menggagalkan usaha meningkatkan ekuiti Bumiputera dalam sektor ekonomi. Ini kerana apabila suasana negara tidak aman, segala perancangan dan wawasan kerajaan untuk membantu orang Melayu turut terjejas. Inilah sebenarnya yang diimpikan sekian lama oleh DAP.
Jika begini percaturan politik DAP, jangan harap keris Melayu juga akan turut melatah seiring dengan impian negatif tersebut. Keris Melayu akan menyambut cabaran tetapi dengan gaya dan pendekatan yang tidak akan pernah terfikir oleh DAP.
Itulah kehebatan keris Melayu yang boleh "melukakan hati dan membunuh impian" sesiapa sahaja yang iri hati dengan perpaduan dan perdamaian yang sedia ada sekarang ini tanpa menumpahkan darah.