Friday, June 29, 2007

ADA FOTO NAJIB DENGAN ALTANTUYA??????????


'Foto' Altantuya bersama Najib Razak jadi isu
Oleh SALHAN K. AHMAD
SHAH ALAM: Seorang pegawai kerajaan Malaysia bernama Najib Razak pernah berjumpa dengan mangsa pembunuhan, Altantuya Shaariibuu, menurut keterangan saksi hari ini.
Burmaa Oyunchimeg, 26, memberitahu Mahkamah Tinggi bahawa beliau pernah melihat sekeping foto Najib Razak bersama Altantuya dan juga Abdul Razak Abdullah Baginda, tertuduh ketiga dalam kes tersebut.
Pengusaha salun itu, juga sepupu Altantuya, berkata demikian semasa diajukan soalan oleh peguam pemerhati Karpal Singh.
Bagaimanapun saksi tidak mengemukakan foto tersebut sebagai bahan bukti di mahkamah dan hakim Datuk Mohd Zaki Md Yasin juga tidak merekodkan keterangan ini.
Keterangan saksi keenam itu turut disanggah oleh Timbalan Pendakwa Raya Tun Abd Majid Tun Hamzah dan peguam-peguam tertuduh kerana ia dianggap tidak relevan dengan kes yang dibicarakan.
Hakim kemudiannya menyoal saksi tersebut berhubung foto tersebut.
"Di Hong Kong selepas dia balik dari Perancis, dia telah pergi ke Hong Kong untuk berjumpa saya dan menunjukkan saya gambar...," kata Burmaa.
Tun Majid memotong keterangan saksi itu dan bangun membuat bantahan, yang kemudiannya mengundang peguam-peguam lain untuk bertegang leher dengan Karpal.
Hakim kemudiannya berkata keterangan mengenai foto itu tidak direkodkan olehnya tetapi seterusnya beliau memberi laluan kepada Karpal untuk mengemukakan soalan.
Burmaa sekali lagi mengulangi fakta tersebut dengan menamakan pegawai kerajaan yang dimaksudkan dalam kenyataannya terdahulu.
Karpal: Boleh terangkan mengenai gambar yang anda lihat itu?Burmaa: Ada sekeping gambar, saya rasa mereka sedang makan di satu meja bulat.Hakim: Siapa sedang makan?Burmaa: Altantuya, Razak Baginda, seorang pegawai kerajaan Malaysia dan orang-orang lain.Karpal: Siapa pegawai kerajaan Malaysia itu?
Hakim kemudiannya mencelah dan berkata Karpal perlu bertanya sama ada saksi tersebut mengenali pegawai berkenaan sebelum menanyakan soalan berkenaan.
Karpal: Anda kenal siapa pegawai itu?Burmaa: Saya ingat namanya Najib Razak kerana nama Najib Razak dan Razak Baginda bunyinya seakan-akan sama dan saya telah bertanya kepada Altantuya, adakah kedua-duanya bersaudara?
Tun Majid sekali lagi bangun dan meminta kepastian daripada hakim mengenai kaitan soalan tersebut dengan kes yang dibicarakan.
Hakim seterusnya membiarkan soalan berkenaan kepada Karpal.
Peguam pemerhati itu kemudiannya berkata, beliau membangkitkan perkara itu kerana ia disebut dalam kenyataan beramaran seorang lagi saksi Deputi Superintenden Musa Mohd Safri yang merupakan pembantu peribadi kepada Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.
Jelas Karpal, kenyataan beramaran itu telah digunakan bagi memohon jaminan bagi Abdul Razak setelah penganalisis politik itu ditahan pada 8 Nov tahun lalu.
Terdahulu, Burmaa telah memberitahu mengenai foto tersebut semasa disoal oleh Timbalan Pendakwa Raya Manoj Kurup.
Burmaa sebelum ini telah menafikan soalan yang dinyatakan kepadanya bahawa dia tidak mengetahui mengenai kehilangan Altantuya pada malam 19 Oktober.
Manoj: Anda sendiri tidak tahu bagaimana Altantuya telah hilang dan anda tidak bersetuju dengan kenyataan itu, kenapa anda tidak bersetuju?Burmaa: Saya tidak setuju kerana saya tahu Altantuya datang ke Malaysia untuk berjumpa Razak Baginda... Saya tahu Altantuya pergi berjumpa Razak kerana saya telah melihat foto Altantuya, Razak bersama seorang pegawai.
Burmaa berkata foto berkenaan telah ditunjukkan oleh Altantuya apabila sepupunya itu pergi berjumpanya di Hong Kong.
Jawapan berkenaan bagaimanapun tidak diterima kerana Burmaa telah disoal berhubung kehilangan Altantuya dan bukannya sebab kedatangan sepupunya itu ke Malaysia.
Manoj kemudiannya telah menyoal wanita itu semula dan Burma menjawab, beliau mengetahui kehilangan Altantuya setelah diberitahu oleh dua lagi saksi, Namiiraa Gerelmaa dan Uriintuuya Gal-Ochir.
Abdul Razak didakwa bersubahat dengan Cif Inspektor Azilah Hadri dan Koperal Sirul Azhar Umar, kedua-duanya bertugas di Unit Tindakan Khas, Ibu Pejabat Polis Persekutuan di Bukit Aman dalam melakukan pembunuhan itu.
Penganalisis politik itu didakwa melakukan kesalahan tersebut di antara 9.54 pagi, 18 Okt dan 9.45 malam, 19 Okt, 2006 di Wilayah Persekutuan.
Azilah dan Sirul Azhar dituduh membunuh Altantuya, di lokasi antara lot 12843 dan lot 16735, Mukim Bukit Raja di sini antara 10 malam 19 Okt dan 1 pagi 20 Okt tahun lepas.Jika sabit kesalahan, ketiga-tiga boleh dihukum mati.

Thursday, June 28, 2007

ARTIS MEMPUNYAI IMMUNITI?

Artis Mempunyai Immuniti?

Kebalkah artis sehingga tiadak ada sesiapapun boleh menegur apa yang mereka lakukan? Benda haram dan salah jika dilakukan oleh artis bolehkah dihalalkan? Dan apakah segala gelagat artis boleh dihalalkan cara?

Begitulah keistimewaan menjadi artis. Sebab sebeginilah yang menyebabkan ramai sangat remaja yang terkinja-kinja untuk menjadi artis popular, walaupun mereka tahu perilaku dan perbuatannya adalah salah dan haram.

Golongan artis seringkali diberi perhatian istimewa kerana sejak seingat kita mereka ini mendapat hak keistimewaan yang diwartakan oleh peminat fanatik mereka.
Disebabkan hak istimewa ini jugalah maka ramai di antara mereka 'terlanjur' dan terperasan yang mereka boleh dan tidak salah melakukan apa saja tanpa mempedulikan sensitiviti masyarakat mahupun agama.
Tanpa segan silu mereka sanggup membuat perkara-perkara yang memalukan dan memusykilkan imej mereka sendiri seperti berkhalwat, bersekedudukan, membuat onar dan fitnah, menjalani hidup dwi alam sehinggakan kita sendiri rasa malu dengan perbuatan dan aksi mereka.
Sudahlah cetek fahaman agama, sanggup pula bertegang urat menegak benang basah apabila terbukti kesahihan kesilapan mereka.
Sebelum isu Sharifah Amani (Nani) membotakkan rambut untuk watak dalam Mualaf dalam filem baru Yasmin Ahmad yang masih mengundang perdebatan hangat, ramai lagi 'senior' Nani yang terlebih dahulu melanggar hukum.
Rasanya Nani tidak perlulah bermegah diri kalau ternyata perbuatan itu sudahpun mendapat teguran para ulamak. Haram tetap haram dan janganlah kita cuba memberi interpretasi sendiri tentang agama dan hukum hakam. Yang malu kita sendiri juga. Kebijaksanaan akal yang cuma sejengkal itu akan hanya memberi nama buruk pada golongan artis sahaja.
Memang sukar bagi golongan artis yang bersalah ini untuk angkat bendera putih. Selalunya golongan artis elite, cerdik pandai ini tidak makan saman dan susah ditegur disebabkan mereka rasa ada 'hak istimewa' sebagai artis untuk melakukan semahu mereka.
Kalau kita rajin buka lembaran sejarah hiburan kita, kita kan tahu artis mana yang tersadung kerana mengikut kata hati mereka demi mengejar glamor satu kerja seni. Tidak perlulah disebutkan di sini artis lelaki mana yang pernah menerima tawaran menjadi sami, kemudiannya dikecam begitu hebat sekali. Begitu juga aksi ghairah seorang aktres kacukan dalam sebuah pementasan teater dan beberapa penyanyi wanita kita yang berani menerima kucupan di atas pentas tanpa rasa malu.
Sifat malu dan sensitif bukan semua orang ada. Ada di antara kita yang hilang 'maruah' diri ini disebabkan cara hidup kita yang moden dan terbuka. Justru apabila kita membicarakan soal hukum, golongan artis juga lah yang akan pertama sekali melatah dan berani mengeluarkan 'fatwa' mereka sendiri tentang hukum agama seperti bersentuhan sesama muhrim seperti yang pernah disuarakan oleh Fauziah Nawi, Rosnah Mat Aris, Rosyam Nor dan M.Rajoli sebelum ini.
Cara mereka memberi buah fikiran tentang hukum agama sebiji macam tukang masak memberi komen pasal architecture sesuatu bangunan. Lucu pun ada, sedihpun ya kerana nampak sangat yang mereka kurang cerdik. Kenapalah tidak biarkan saja mereka yang arif menentukan hukumnya. Itu kan lebih baik dari kita sendiri mengeluarkan 'fakta' yang tidak boleh diterima akal itu.
Bukan hendak membuka pekung artis atau membuka aib dan kejelekan akal mereka yang tidak panjang. Tapi itulah senarionya setiapkali ada isu baru dalam industri hiburan. Jarang sekali artis yang 'bersalah' akan mengaku kesilapan mereka walaupun sudah terang lagi bersuluh.
Lagi parah kalau artis begini diangkat darjat mereka untuk merebut gelaran Ikon seperti program yang kini hangat di kaca TV. Bagi kita yang berfahaman kolot ini, tidak sesuai rasanya gelaran Ikon itu diberi pada mana-mana artis yang mempunyai sifat jelek dan tercela baik dari segi peradaban, pakaian atau peribadi. Berapa kerat artis kita yang menepati kriteria yang dituntut untuk menjadi Ikon di rantau ini?

Sunday, June 10, 2007

SELAMAT PENGANTIN BARU PAK LAH...





Abdullah, Jeanne selamat diijabkabul
Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi diijab kabulkan dengan Datin Seri Jeanne Abdullah di kediaman rasmi Perdana Menteri, Seri Perdana, di sini hari ini.Akad nikah disempurnakan oleh Imam Masjid Putrajaya Abdul Manaf Mat pada pukul 2.50 petang dengan disaksikan anak Perdana Menteri Datuk Kamaluddin dan menantu Khairy Jamaluddin.Majlis itu dihadiri oleh anggota keluarga terdekat, menurut kenyataan yang dikeluarkan keluarga Perdana Menteri kepada Bernama pada pukul 3.40 petang."Perdana Menteri dan isteri ingin mengucapkan terima kasih kepada rakyat yang mendoakan kebahagian mereka," menurut kenyataan itu.
Dilahirkan di Kuala Lumpur pada 29 Julai 1953, Jeanne merupakan anak sulung daripada empat adik-beradik.Beliau menerima pendidikan di Sekolah Menengah Assunta dan mempunyai pengalaman luas dalam bidang pentadbiran dan perhotelan serta pernah bertugas sebagai pengelola kediaman rasmi Timbalan Perdana Menteri dan pengurus Kompleks Seri Perdana.Jeanne mempunyai dua anak perempuan Nadiah, 29, dan Nadene, 27.Abdullah, 67, pula mempunyai dua anak, Kamaluddin dan Nori, hasil perkahwinannya dengan Datin Seri Endon Mahmood yang meninggal dunia akibat kanser payudara pada 20 Okt 2005.Jeanne bersama rombongannya dilihat memasuki Seri Perdana pada pukul 2.20 petang untuk majlis akad nikah itu.Tiada liputan media bagi acara penikahan itu atas permintaan keluarga Perdana Menteri.