Sultan Sharafuddin bimbang
Oleh AZIAN AZIZpengarang@utusan.com.my
Oleh AZIAN AZIZpengarang@utusan.com.my
KLANG 12 Dis. - Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bimbang melihat situasi semasa di negeri itu yang lebih mengutamakan kepentingan politik daripada agenda pembangunan.
Baginda juga gusar apabila mendapati perkara-perkara kecil dihebah dan diperbesarkan sehingga kadang-kala melampaui batasan hingga menyebabkan rakyat Selangor menjadi keliru.
''Janganlah banyak bercakap sahaja tetapi hendaklah melaksanakan perkara-perkara berfaedah kepada rakyat.
''Beta percaya rakyat pada masa sekarang ini lebih selesa berbincang dan bercakap mengenai pembangunan dan kesejahteraan daripada bertelagah soal-soal politik," titah baginda sempena Hari Keputeraan yang ke-64 di Istana Alam Shah di sini hari ini.
Baginda juga mengingatkan bahawa kerajaan negeri bertanggungjawab untuk membina dan membuat landasan bagi keharmonian dan kesejahteraan rakyat pada masa akan datang.
Justeru, baginda berharap dan berdoa supaya hubungan baik dan kerjasama yang terjalin antara kerajaan negeri dan Persekutuan dapat diteruskan supaya agenda pembangunan dapat dilaksanakan untuk kesejahteraan rakyat.
Baginda seterusnya menyeru kerajaan negeri yang dipimpin Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim supaya dapat menjalankan tugas-tugas mentadbir dan membangunkan Selangor dengan penuh dedikasi, tekun, jujur dan telus supaya rakyat dapat hidup selesa dan sejahtera.
Baginda turut mengingatkan Ahli-Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri supaya menjalankan tugas dengan baik dan hendaklah mempercayai pegawai-pegawai dan kakitangan kerajaan negeri.
''Masa untuk mencari kesalahan serta kelemahan telah berlalu dan tiba masanya kerajaan sekarang melaksanakan segala perancangan dan janji-janji yang telah dibuat semasa berkempen dan seterusnya mengatasi semua masalah yang dihadapi rakyat demi kemajuan dan kemakmuran negeri.
''Beta yakin pegawai dan kakitangan kerajaan negeri akan memberikan komitmen dan kerjasama yang padu sekiranya mereka diberi kepercayaan dan tanggungjawab serta kebajikan mereka dijaga," titah baginda.
Baginda berpendapat, kerjasama dan kepercayaan di antara pihak eksekutif dengan penjawat awam ini amat penting bagi memastikan pembangunan di Selangor berjalan lancar.
Sehubungan itu, baginda mengingatkan pegawai kerajaan negeri agar menjalankan tugas dengan telus dan berdedikasi serta tidak mengambil kesempatan menyalahgunakan tanggungjawab demi untuk kepentingan diri sendiri kerana ia akan merosakkan perjalanan pentadbiran dan menyusahkan rakyat.
Baginda juga menasihatkan waris dan kerabat diraja Selangor supaya sentiasa menjaga nama baik mereka serta tidak melakukan sesuatu yang menjejaskan imej serta kedudukan mereka.
Sultan Sharafuddin turut menyeru rakyat Selangor supaya hidup bersatu-padu, jangan berpecah dan tidak menjadikan perbezaan politik sebagai alasan untuk tidak saling hormat-menghormati serta sentiasa mengikut saluran yang betul yang berlandaskan undang-undang jika tidak berpuas hati dengan sesuatu perkara.
''Beta berharap supaya apa yang beta titahkan ini mendapat perhatian dan tidak dipandang mudah.
''Janganlah titah ucapan beta ini menjadi seperti peribahasa mencurahkan air di daun keladi iaitu tidak mendatangkan kesan apa juga pun," tegas baginda.