Saturday, April 14, 2007

SISTEM CCC PENYELESAI KARENAH BIROKRASI PBT

SISTEM CCC PENYELESAI KARENAH BIROKRASI PBT

Mungkin komen, kritikan dan aduan yang di buat oleh rakyat terhadap Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) sebelum ini umpama mencurah air ke daun keladi. Kebanyakkannya hanya medengar melalui telinga kanan dan “dimuntahkan” kembali melalui telinga kiri.

Acuh tak acuh rungutan rakyat yang juga pembayar cukai taksiran terhadap PBT selama ini akhirnya terbela apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi pada hari Jumaat lepas mengumumkan beberapa langkah penambahbaikan dalam sistem pentadbiran PBT bagi mengurangkan karenah birokrasi.

Antara penambahbaikan ialah menerusi memperkasakan konsep "one stop centre" (pusat sehenti) yang sekarang dipraktikkan oleh sesetengah PBT, menggantikan sistem kelulusan bangunan daripada CFO (Sijil Layak Menduduki) kepada CCC (Sijil Komplians dan Siap) serta pengwujudan "commissioner of building" bagi menangani masalah antara pembeli bangunan dan pemaju.

Harapan besar Perdana Menteri adalah juga mewakili harapan seluruh rakyat yang mahukan perubahan drastik dilakukan di sektor awam terutamanya PBT. Umum mengetahui PBT adalah sistem kerajaan yang paling hampir dengan rakyat. Rakyat sudah letih dengan kerenah birokrasi yang sudah tidak lagi relevan dan juga sudah ketinggalan zaman. Semua pihak mahukan PBT lebih perkasa dari segi sistem penyampaian perkhidmatan awam.

Jelas sekali ucapan Datuk Seri Abdullah di persidangan Mempertingkatkan Sistem Penyampaian Perkhidmatan Awam - Penambahbaikan Urusan Pemajuan Serta Penyenggaraan Dan Pengurusan Hartanah yang dikira tegas telah melegakan pihak pembeli bangunan dan pemaju sendiri.

Walaupun konsep “one stop centre” telah mula dipraktikkan oleh sebahagian PBT, namun arahan Perdana Menteri di persidangan tersebut diharap dapat diambil tindakan segera oleh PBT yang masih belum mewujudkan pusat sehenti bagi menggantikan sistem CFO kepada CCC agar sesuatu permohonan dapat diproses dengan lebih sistematik dan terselaras.

Sebenarnya arahan Datuk Seri Abdullah ini adalah bertujuan serampang dua mata terhadap pentadbiran PBT. Selain mempermudahkan sistem yang sedia ada, ianya juga menyuntik budaya kerja yang lebih profesional dan realistik yang perlu ditonjolkan oleh setiap PBT.

Budaya kerja yang sudah ketinggalan zaman sebenarnya memberikan imej yang negatif terhadap sesebuah PBT. Bayangkan proses kelulusan bangunan yang memakan masa tiga hingga lima tahun, kini boleh diringkaskan dan dikurangkan kepada enam bulan untuk projek-projek terpilih iaitu projek bina dan jual, projek berimpak tinggi, projek pelaburan asing dan projek kerajaan, manakala projek-projek lain akan diproses dalam masa yang juga singkat iaitu empat bulan.

Dengan memendekkan masa ini, ia akan meninggalkan kesan positif kepada industri pembinaan, pelabur dan peniaga yang sudah lama menantikan pengurangan birokrasi dan penurunankos. Penambahbaikan ini akan dirasai oleh pembeli rumah dan rakyat umum malah saya percaya ini akan menyumbang kepada peningkatan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) hasil penyiapan projek perumahan, kilang, bangunan dan pejabat dengan lebih cepat.

Tempoh percubaan selama dua bulan yang diberikan kepada PBT, pejabat daerah dan kerajaan negeri, diharap dapat dipraktikkan agar impian dan harapan kerajaan pusat dapat terlaksana kerana ianya juga berhubung kait denganpembinaan infrastruktur, penjanaan pekerjaan dan pendapatan rakyat hasil daripada usaha perubahan sistem ini.

Rakyat masih berharap semakan oleh ahli-ahli profesional seperti yang diamalkan di negara-negara maju bagi menggantikan proses semakan dan pengesahan oleh PBT yang mengakibatkan kelewatan seperti yang diamalkan dahulu, tidak dibebankan kosnya oleh rakyat.

Penglibatan pakar profesional yang bukan kakitangan awam dan anggota lain yang terdiri daripada jabatan teknikal dalam konsep "one-stop-centre" yang diperkasakan itu, bukannya bermakna rakyat dan kerajaan pusat sudah hilang kepercayaan terhadap PBT.

Cuma pusat sehenti yang diketuai oleh Yang Dipertua PBT haruslah berfikiran terbuka dan profesional dalam menjalankan tugas.

Pada pendapat saya sistem baru ini bukanlah bermaksud menidakkan kuasa PBT, tetapi ianya lebih menjurus kepada menyelesaikan masalah besar yang dihadapi oleh pemaju hartanah dan pembeli bangunan itu sendiri.

Dalam pada itu kerajaan perlulah memantau selalu ahli profesional seperti arkitek dan jurutera bertauliah yang terlibat dengan sistem CCC ini agar mereka bertugas dengan jujur dan amanah. Pastikan integriti dan ketelusan dipraktikkan seratus peratus agar tidak nanti rakyat akan mengeluh di masa hadapan bahawa sistem CCC sama juga bermasalah dengan sistem CFO.

Itulah cabaran sebenarnya yang menanti “commissioner of building” yang diketuai oleh YDP PBT. Resepi kejayaan sistem CCC adalah terletak di bahu semua pihak yang terlibat yang seharusnya bertekad untuk melakukan perubahan dan menetapkan pembaharuan.

Jika berjaya sistem baru ini, sekurang-kurangnya keluhan dan rungutan pihak pelabur, peniaga, pengguna dan rakyat mengenai sektor awam selama ini akan terjawab. Tanggapan negatif dan sinis tentang urustadbir PBT akan terhakis jika sistem CCC dapat berjalan dengan lancar seperti yang dirancangkan.

Inilah contoh budaya kerja yang perlu diterapkan oleh PBT di abad ke 21 agar melibatkan secara langsung semua pihak dalam melengkapkan sistem kerja yang bersangkut paut dengan pembangunan dan orang awam. Hak dan tanggungjawab rakyat dapat disalurkan melalui wakil mereka yang menganggotai CCC. Akan ada “check and balance” dalam membuat keputusan.

Yang pasti kakitangan sektor awam dapat menimba pengalaman dan mengadaptasikan budaya kerja sektor swasta dalam penyelesaian masalah teknikal dengan memegang matlamat yang sama, iaitu semua pihak berpuas hati dan bangga dengan adunan swasta dan kerajaan dalam penyelesaian masalah.

Mungkin sistem CCC ini akan menjadi model dan teladan yang baik dalam beberapa sistem yang lain yang libatkan kepentingan rakyat, pelabur dan pencapaian ekonomi negara.

Tidak salah jika susun atur perancangan bandar dan pelan pembangunan bersepadu PBT juga dilibatkan sama tenaga profesional swasta secara langsung dalam jawatan kuasa pembuat dasar dan penguatkuasaan.

No comments: