DARIPADA perbincangan hangat, sama ada dalam blog ini dan blog-blog lain atau daripada maklumat umum yang saya kumpul mengenai kesan tunjuk perasaan Hindraf 25 Nov. lalu, saya ingin membuat pemerhatian, andaian dan kesimpulan berikut:
1. Perhimpunan tanpa permit yang didalangi oleh Barisan Bertindak Hak Asasi Hindu (Hindraf) itu telah mencetuskan keresahan (unease) di kalangan banyak pihak di Malaysia;
2. Ia memburukkan nama dan imej Malaysia di luar negara serta menyebabkan campur tangan negara-negara luar, khasnya India, dalam hal ehwal dalam negara Malaysia;
3. Mencetuskan keresahan di kalangan rakyat Malaysia keturunan India yang tidak diwakili oleh Hindraf atau yang tidak sependapat dengannya;
4. Mencetuskan reaksi negatif di kalangan kaum-kaum lain di Malaysia, khasnya orang Melayu, yang berasa kepentingan mereka dicabar dan maruah mereka dipersendakan;
5. Hakikat bahawa lebih banyak orang Melayu dan Bumiputera yang miskin dan terpinggir berbanding kaum India hampir-hampir dilupakan. (Menurut laporan Rancangan Malaysia Kesembilan (2006-2010), 8.3 peratus isirumah Bumiputera berada di bawah paras kemiskinan pada tahun 2004 berbanding 2.9 peratus India dan 0.6 peratus Cina);
6. Keputusan masyarakat India yang terbabit menggunakan panji-panji agama Hindu (Hindu banner) untuk memperjuangkan tuntutan politik dan ekonomi dilihat sebagai mengapi-apikan keadaan;
7. Ramai orang keturunan India yang berasa terpinggir daripada pergerakan Hindraf kerana mereka tidak beragama Hindu. Perlu disebutkan yang ramai juga rakyat Malaysia keturunan India yang beragama Kristian dan Islam. Malah ada yang beragama Budhha;
8. Ramai orang keturunan India berasa keadaan sebenar mengenai masyarakat India Malaysia tidak difahami atau tidak dinyatakan dengan jelas.(Tanggapan bahawa masyarakat India Malaysia adalah homogen (homogeneous), kata mereka, tidak tetap. Masyarakat India Malaysia terbahagi kepada beberapa kelompok etnik.Pertama Tamil. Kelompok inilah yang menjadi tulang belakang tunjuk perasaan Hindraf dan bagi pihak merekalah tuntutan-tuntutan Hindraf dikemukakan.Orang Tamillah yang paling ramai miskin dan tercicir dan merekalah yang berupa keturunan buruh terikat (indentured labourers) yang dibawa ke Malaya oleh penjajah Inggeris.Umumnya mereka inilah yang paling kuat menyokong parti pemerintah melalui MIC dan IPF, berpendidikan sekolah jenis kebangsaan Tamil, berasal atau masih menetap di ladang-ladang dan paling ramai dalam sektor perburuhan.Dari kelompok inilah muncul nama-nama seperti V.T. Sambanthan, V. Manikavasagam dan S. Samy Vellu.Kedua Malayali. Mereka berasal dari negeri Kerala dan bertutur bahasa Malayalam. Di Malaysia mereka antara yang paling berjaya.Dari kelompok inilah terbit nama-nama seperti V.C. George (hakim), Tony Fernandez (usahawan penerbangan), Freddie Fernandez (pemuzik), Tommy Thomas (peguam) dan V.C. Sekhar (ahli sains).Ketiga Ceylonese. Mereka berasal dari Sri Lanka dan cukup berjaya di bidang profesional dan perniagaan. Antara nama-nama besar dari kelompok ini adalah Ananda Krishnan (usahawan telekomunikasi) , P. Arumugam (broker kelengkapan ketenteraan), Punch Gunalan (ahli sukan), G. Ganalingam (pengusaha pelabuhan) dan Dr M Jegathesan (doktor perubatan/pelari).Keempat Punjabi. Berasas dari wilayah Punjab di India dan beragama Sikh, mereka berupa kumpulan kecil yang berjaya dalam pelbagai bidang dan menghasilkan nama-nama seperti G.S. Gill (peniaga), K.S. Nijhar (cendekiawan/ahli politik), Darshan Singh (dermawan/pemimpin sukan), Serbegeth aka Shebby Singh (pengulas sukan) dan Santokh Singh (pemain bola sepak).Kelima India Muslim yang berupa kelompok yang unik. Kerana agama mereka, mereka sering dianggap “sebahagian” daripada masyarakat Melayu. Mereka umumnya bergiat dalam bidang perniagaan dan melalui perkahwinan “menjadi” sebahagian daripada masyarakat Melayu.Kemudian terdapat kumpulan etnik kecil seperti Gujarati, Sindhi dan Bangali dari Teluk Bangala;
9. Reaksi umum terhadap cara pemerintah menangani tunjuk perasaan Hindraf adalah berbelah bagi dan pelbagai.Di satu pihak, tindak balas pemerintah, khasnya tindakan polis dan kenyataan beberapa pembesar Barisan Nasional, menambahkan lagi kemarahan penyokong Hindraf dan pihak-pihak yang bersimpati dengannya.Di pihak lain pula, tindak tanduk pemerintah dilihat sebagai kelam kabut dan tidak cukup tegas;
10. Sebahagian daripada sungutan dan tuntutan Hindraf adalah sah dan berpatutan. Malah isu seperti kemiskinan dan ketidakseimbangan peluang ekonomi melampaui batas perkauman kerana masalah yang sama turut dideritai oleh kaum-kaum lain termasuk Melayu dan Bumiputera;
11. Jika pemerintah mahu bersikap positif, ia boleh mengambil kesempatan daripada peristiwa ini untuk mengkaji semula dan memperkemaskan dasar serta program membasmi kemiskinan dan mengagihkan kekayaan negara dengan lebih adil dan berkesan.Ia tidak perlu menunggu kaum-kaum lain mengadakan protes untuk melalukan sesuatu. Meminjam ungkapan pemerintah sendiri “walk the talk” (kota apa yang dikata);
12. Tunjuk perasaan Hindraf dan rentetan peristiwa selepasnya jelas membuktikan bahawa bara perkauman masih menyala dan amat mudah mengapi-apikan sentimen perkauman; dan
13. Negara kita Malaysia akan mendapat nama buruk dan orang Melayu serta agama Islam akan dipersalahkan sekali lagi jika peristiwa ini dibiarkan menjadi krisis kerana Islam di Malaysia telah dijenamakan sebagai Islam yang bertamadun – “Islam Hadhari” – dan orang Melayu memegang tampuk pemerintahan.
No comments:
Post a Comment