Friday, June 13, 2008

DEMO PROTES MINYAK NAIK






KUALA LUMPUR: Demonstrasi membantah kenaikan minyak berakhir dengan aman apabila lebih 5000 penyokong pembangkang bersurai di ibu pejabat PAS di jalan Raja Laut di sini tadi.
Demonstrasi yang bermula jam 1.30 tengahari sebaik selesai sembahyang Jumaat berlangsung hampir dua jam lamanya dengan perarakan secara aman hingga ke Jalan Raja Laut.
Penyokong pembangkang membawa sepanduk dan poster, berarak sambil melaungkan 'turunkan minyak'.
Walaupun kebanjiran lautan manusia melimpah ruah hingga ke bahu jalan dan turut membuat kesesakan lalu lintas terhenti, keadaan agak terkawal dan tiada tangkapan dilakukan.
Sebelum ini, laungan "turunkan minyak" turut bergema di perkarangan Masjid Kampung Baru sejurus setelah selesai jemaah masjid menunaikan solat Jumaat.
Masjid Kampung Baru yang sering dijadikan 'markas' untuk demonstrasi sekali lagi sesak dipenuhi dengan orang ramai. Pada jam 2:05 petang laungan meminta kerajaan menurunkan harga minyak bergema di sekitar kawasan masjid.
Mereka yang menghadiri perarakan tersebut membawa poster dengan slogan tertera "BN naik minyak naik," Mereka tipu rakyat" dan "BN turun, minyak turun".
Ketua Pemuda PAS Wilayah Persekutuan, Kamaruzaman Mohamad mengetuai perarakan tersebut.
Kesemua jalan menuju ke Kampung Baru mengalami kesesakan lalu lintas yang teruk dari semua arah akibat daripada perhimpunan aman tersebut.
Pihak polis sudah mula berkawal ketat menghampiri kawasan Masjid Kampung Baru ekoran rancangan Pemuda Pakatan Rakyat mengadakan perarakan ke Menara Berkembar Petronas bagi membantah kenaikan harga minyak hari ini.
Terdahulu kira-kira 60 anggota polis dari Balai Polis Dang Wangi , termasuk anggota Unit Simpanan Persekutuan (FRU) sudah ditempatkan di depan Masjid Kampung Baru dan kawasan sekitarnya sejak jam 11 pagi tadi sebagai langkah berjaga-jaga.
Jurucakap polis berkata, mereka hanya akan bertindak jika berlaku rusuhan atau perkara yang menganggu ketenteraman awam. Perarakan yang disifatkan terbesar sejak PRU12 ini, telah berlangsung dengan aman.
Sehingga jam 2.30 petang, anggaran lebih 5000 orang membanjiri Jalan Tunku Abdul Rahman iaitu berhadapan dengan Kompleks Sogo setelah berarak dari Masjid Kampung Baru mengikut Jalan Raja Alang.
Pihak polis mengadakan kawalan ketat sepanjang perarakan tersebut berlangsung di sepanjang jalan.
Difahamkan, sekumpulan penyokong pembangkang turut berarak di sepanjang Jalan Raja Laut, menuju ke arah ibu pejabat PAS diketuai ketua Pemuda PAS, Salahuddin Ayub.
Lalulintas kelihatan sesak turut dikawal oleh Unit Amal PAS. Pasukan FRU mengambil sikap berjaga-jaga pada kumpulan penunjuk perasaan yang berkumpul di atas simpang dekat Kompleks Pertama-Sogo. Polis turut mengadakan kawalan di Jalan Dang Wangi.
Ketua Pemuda PAS Salahuddin Ayub dan ahli jawatankuasa pusat PAS Dr Syed Azman Syed Nawawi turut membuat ucapan. Salahuddin berkata satu perhimpunan yang lebih besar akan diadakan pada 5 Julai untuk membantah kenaikan harga minyak.
"Rakyat akan berhimpun lagi pada 5 Julai. Pemimpin BN dah kaya raya, rakyat hidup papa," kata Salahuddin.
Keadaan lalu lintas menuju ke persimpangan Jalan Tuanku Abdul Rahman-Jalan Dang Wangi turut mengalamai kesesakan. Mereka yang menyertai demo kelihatan berada di sepanjang Jalan Tuanku Abdul Rahman untuk mengelak bertembung dengan polis.
Antara 1,500 hingga 2,000 anggota polis, Unit Simpanan Persekutuan (FRU) dan Rela telah dikerah untuk menjaga keamanan perarakan membantah isu minyak itu. Ianya turut melibatkan anggota polis dari balai polis daerah Dang Wangi dan Sentul.
Difahamkan sebaik, demonstrasi bersurai, satu sidang akhbar diadakan di pejabat Ketua polis Kuala Lumpur, Datuk Wira Muhammad Sabtu Osman.

No comments: