Sunday, November 23, 2008

BERAPA JUTA AHLI UMNO TABUR DUIT?



Kepada broker-broker politik UMNO, tarikh 9 Oktober 2008 adalah tarikh keramat untuk mereka meraih seberapa banyak duit yang mereka mampu. Pada broker politik, ‘penjual’ adalah perwakilan yang mempunyai hak mengundi, ‘pembeli’ adalah calon yang bertanding, dan ‘harta’ yang ingin diurusniagakan ialah UMNO-parti keramat orang Melayu.

Broker politik ini mempunyai kumpulannya yang tersendiri. Mereka cukup berpengalaman dalam urusan politik wang. Pada mereka kerja yang bakal mereka lakukan amat profesional dan upahnya cukup lumayan. Mereka sendiri yang menetapkan upahnya. Sasaran mereka adalah ahli UMNO yang ingin bertanding dalam pemilihan peringkat bahagian dan di Perhimpunan Agung UMNO yang akan datang.

Sebenarnya kerja broker politik sudah bermula sekian lama lagi, iaitu sejak bermulanya persidangan cawangan-cawangan. Broker ‘kampung’ yang masih amatur telah memulakan tugasan upah lumayan ini dengan begitu halus dan licik. Pada mereka inilah masanya menuai hasil yang cuma bermodalkan air liur, petah bermadah dan tutur kata yang manis yang penuh dengan pelbagai janji.

Mereka sedar ahli yang berminat untuk bertanding di bahagian perlu mendapat pencalonan di peringkat cawangan. Calon tidak berupaya untuk menjelajah ke semua cawangan. Di sinilah peranan broker diperlukan. Mereka tidak segan silu menawarkan diri untuk menjadi kempen ‘manager’ kepada bakal calon supaya beliau cukup kuota untuk bertanding.

Apabila kuota sudah cukup untuk bertanding, tugas broker pula ialah untuk memastikan perwakilan daripada cawangan yang biasanya tidak lebih 5 orang dari satu cawangan mengundi calon berkenaan. Bagi calon yang sudah tahu tiada kekuatan dari segi sokongan dan populariti di peringkat bahagian, kekalahan pastinya terjamin.

Oleh kerana ingin mengejar hajat peribadi terutamanya dari segi imbuhan perniagaan apabila berjawatan dalam politik, taburan wang dan barangan pun bermaharaja lela tanpa sekatan. Lihatlah nanti semasa Persidangan Bahagian. Sudah pasti ada perwakilan cawangan yang berbaju Melayu baru dan sedondon warnanya beserta dengan kain songket berbunga penuh. Malah mereka juga ‘ditaja’ songkok baldu bermutu tinggi dan ‘baucher’ petrol untuk sampai ke tempat persidangan. Bayangkan berapa banyak wang yang dilaburkan oleh seseorang calon yang baru bertanding di peringkat bahagian?.

Perkataan seperti ‘kau bawak siapa’, ‘kau grup mana’, ‘kau cai siapa’ akan berlegar semasa persidangan bahagian berlangsung. Itu baru cerita calon yang ingin bertanding jawatan sama ada ketua, timbalan, naib mahupun ahli jawatankuasa bahagian.

Tidak habis di situ sahaja peranan broker politik. Mereka juga akan menjalankan percaturan dengan ‘restu’ pemimpin tertentu untuk mengedarkan senarai nama tujuh calon wakil bahagian ke Perhimpunan Agung UMNO Malaysia. Sudahlah persaingan sengit untuk bertanding jawatan ketua, timbalan, naib dan jawatan kuasa bahagian, pemilihan tujuh orang wakil bahagian atau selalu disebut oleh broker politik sebagai “Kumpulan G 7” pun berebut-rebut untuk mendapatkan tempat ke PWTC.

Kerana apa?. Seperti kata ahli UMNO bahagian yang saban tahun terpilih ke PWTC, jawapan sinisnya “BANYAK kelebihannya”. Banyak juga persoalan yang timbul dari perkataan BANYAK itu. Pernah seorang broker politik berkata kepada saya bahawa beliau berharap sangat Perlembagaan UMNO dipinda supaya kalau boleh pemilihan atau pertandingan dalam UMNO diadakan ‘setiap tahun’. Kajilah apa makna tersirat broker tersebut.

Pada saya tidak lain dan tidak bukan ialah broker politik telah menjadikan upah setiap kali pemilihan sebagai punca pendapatan tetap mereka. Mereka sudah ‘syok’ dengan imbuhan yang agak besar jumlahnya. Dengan itu ‘kemaruk duit’ telah melanda golongan broker politik ini. Pada mereka janji duit ‘masyuk’. Calon yang mereka bawa itu menang atau kalah tidak penting bagi mereka.

Jika calon yang mereka bawa menang, tuntutan bayaran bonus (istilah broker politik – VO) pasti akan dituntut. Pernah terjadi semasa pemilihan UMNO 2004, hampir semua kempen ‘manager’ negeri mendapat ‘habuan’ anugerah Datuk dari sebuah negeri di mana pemimpinnya menang besar dalam pemilihan jawatan Naib Presiden. Hebatkan menjadi broker politik.

Broker politik juga mempengaruhi pencalonan dan undian di peringkat bahagian bagi menentukan senarai calon daripada bahagian untuk jawatan Presiden, Timbalan Presiden, 3 orang Naib Presiden dan 25 orang ahli Majlis Tertinggi (MT). Mereka akan menggerakkan ajen-ajen mereka untuk berjumpa dengan ketua-ketua bahagian untuk menyampaikan hasrat pemimpin tertentu agar nama pemimpin tersebut tersenarai di dalam calon bahagian berkenaan.

Broker politik begitu teratur pengurusannya dan memaksimakan segala kemudahan teknologi yang sedia ada. Jangan terkejut beberapa pemimpin UMNO yang berhasrat untuk bertanding telah membuka bilik gerakan masing-masing di sekitar PWTC sebagai markas utama broker politik. Kebanyakannya menyewa condominium mewah di sekitar PWTC untuk memudahkan pergerakan dan logistik menjelang pemilihan parti. Bilik gerakan tersebut umpama sebuah pejabat urusan syarikat korporat yang lengkap dengan kakitangan, perhubungan komunikasi, akses internet, carta dan data maklumat setiap bahagian.

Mereka mempunyai ajen di setiap bahagian UMNO di seluruh negara. Setiap ajen dibekalkan dengan telefon yang canggih dan tidak perlu risau tentang bil telefon ataupun baki kredit kerana semuanya sudah ‘ditanggung beres’ oleh broker dan bakal calon.

Mereka juga mempunyai ‘networking’ yang mantap hasil pengalaman berpuluh tahun bergelumang dengan politik wang. Jika anda menjadi salah seorang perwakilan bahagian ke PWTC, jangan terkejut anda menerima pesanan ringkas (SMS) dan surat ucapan tahniah yang diposkan ke alamat rumah anda daripada bakal calon yang mengucapkan tahniah dan merayu untuk mengundi beliau di Perhimpunan Agung UMNO. Begitu canggih ‘networking’ yang mereka ada.

Malah kumpulan broker politik ini juga mengetahui dan mempunyai data yang lengkap setiap perwakilan bahagian yang akan ke PWTC. Hasil kerja profesional, mereka juga mempunyai maklumat lengkap di hotel mana perwakilan menginap. Malahan nombor bilik perwakilan bahagian pun mereka ketahui. Sungguh hebat mereka bekerja untuk menjahanamkan bangsa mereka sendiri agar sentiasa diulit politik wang.

Jangan terkejut jika anda menjadi perwakilan bahagian, apabila anda bangun pagi di hotel penginapan anda, ada sampul di lantai bilik yang dimasukkan menerusi bawah pintu bilik hotel. Tiada surat di dalam sampul surat. Yang ada cuma wang. Di hadapan sampul surat hanya tertera nombor calon berkenaan dan jawatan yang ditandingi.

Maka itulah ungkapan “BANYAK kelebihannya” menjadi perwakilan bahagian ke perhimpunan agung, menjadi rebutan di kalangan pemimpin bahagian kerana mereka tahu ‘limpahan wang’ bakal mereka perolehi apabila berada di Kuala Lumpur.

Malah pernah penulis berbual dengan seorang perwakilan dari sebuah negeri di pantai timur pada tahun 2004 yang mengibaratkan mereka (perwakilan bahagian) yang datang ke perhimpunan agung UMNO bagai ‘gula yang dikerumuni oleh semut’.

Manakan tidak, perwakilan tersebut boleh membawa pulang ribuan ringgit ‘hasil’ politik wang yang diperolehinya dari calon-calon yang bertanding. Beliau juga mendakwa tidak mengeluarkan sesen pun semasa berada di Kuala Lumpur kerana semuanya ditanggung beres oleh golongan tertentu. Bukan sahaja makan dan minum, malah hiburan di pusat karaoke dan dangdut turut ‘disajikan’ kepada mereka.

Tidak hairanlah pemilik pusat hiburan karaoke dan dangdut di ibukota juga turut ‘berdoa’ agar UMNO, jika boleh mengadakan pemilihan setiap tahun. Sebagai peniaga mereka mahukan keuntungan berlipat kali ganda. Pada mereka hasil ‘haram’ pun melalui punca ‘haram’ politik wang UMNO sendiri.

Bolehkah dihapuskan politik wang di dalam UMNO?. Kenalan penulis dari parti PAS dan MCA pun mengakui di dalam parti mereka juga wujud politik wang. Bezanya dengan UMNO ialah ianya tidak mendapat liputan dari media dan nilai habuan politik tidak se ‘mewah’ UMNO.

Selagi ada penawaran dan permintaan, selagi itulah politik wang UMNO mustahil dihapuskan. Calon yang bertanding mengharapkan undi. Bagaimana hendak melawan calon-calon yang hebat dan ada ‘track record’ yang baik di dalam parti mahupun kerajaan?. Calon berkenaan tahu jika mengharapkan populariti dan ‘track record’, memang tidak boleh menang. Ditambah lagi tiada ‘access’ dengan media untuk dibuat ‘cover’ yang kalau boleh hari-hari keluar berita di akhbar dan televisyen.

Jawabnya, perwakilan perlu disogok dengan wang ataupun kebendaan. Walaupun mereka tahu ini suatu jenayah rasuah, tetapi kerana ingin mencapai hajat dan mencari kedudukan dalam politik, mereka sanggup melakukan rasuah demi mencapai cita-cita peribadi.

Siapa pula yang hendak menjadi perantara antara calon dan perwakilan yang layak mengundi?. Jawabnya broker politik. Calon tahu broker politik mampu merealisasikan hajat yang tidak berkat. Broker politik pun ada ‘track record’ nya sendiri. Mereka boleh mendakwa si polan yang menang dalam pemilihan dahulu adalah di bawah ‘pengurusan’ mereka. Rundingan pun dijalankan dengan broker di mana agenda utamanya ialah berapa banyak peruntukan yang diperlukan untuk kerja-kerja haram sehingga cita-cita ‘penipu’ ahli politik itu berjaya.

Ada juga perwakilan yang ‘jahat’ dan tidak segan silu berjumpa dengan calon untuk meminta wang. Ungkapan “no money no undi” telah membuatkan calon tidak boleh tidur lena. Kempen ‘manager’, broker dan ajen dikerahkan untuk menukar ungkapan tersebut menjadi “ you have money, I want undi”.

Jangan terkejut perbelanjaannya mencecah jutaan ringgit yang bermula dari melobi diperingkat bahagian sehinggalah di hari pengundian. Bayangkan jika seorang calon MT berbelanja wang haram RM 1 juta, dan ada 40 orang bertanding?. Begitu banyak wang ahli UMNO untuk disogokkan kepada ahli UMNO sendiri.

Persoalan yang timbul, dari mana pula datangnya sebegitu banyak wang yang diperolehi oleh calon?. Sedangkan umum mengetahui beliau tidak sampai sepenggal menjadi timbalan menteri dan baru dua penggal menjadi ahli parlimen.

Benarlah kata seorang veteran UMNO yang mencadangkan agar jawatan di dalam UMNO eloklah ditender. Siapa membida paling tinggi akan menang. Wang bidaan dan ‘deposit’ ataupun ‘bayaran dokumen tender’ bolehlah dimasukkan ke dalam punca pendapatan kewangan UMNO seperti termaktub di Fasal 24 Perlembagaan UMNO. Selepas itu wang tersebut diagih-agihkan kepada bahagian UMNO yang bermasalah hutang bangunan UMNO dengan bank.

Sejauhmanakah berkesannya untuk membenteras gejala politik wang selaras dengan Fasal 20.12 Perlembagaan UMNO?. Hanya orang yang gila kuasa dan pangkat sahaja yang sanggup melakukan rasuah politik. Tidak hairanlah keputusan pemilihan tahun 2004 telah menonjolkan calon-calon yang tidak terkenal boleh memenangi jawatan yang dipertandingkan. Malah ada yang hanya ahli UMNO biasa di peringkat cawangan boleh menang dalam pertandingan EXCO Pemuda UMNO.

Diharapkan janganlah UMNO dilimpahi wang ringgit dalam segala aspek organisasi sebuah pertubuhan politik. Konsep sukarela dan berkhidmat dengan ikhlas untuk parti kini sudah terhakis gara-gara amalan politik wang yang sudah menjadi seperti barah dalam semua peringkat organisasi UMNO. Tiada keikhlasan ahli sendiri dalam menjalankan kerja-kerja parti. Semuanya menantikan imbuhan dan upah, barulah kerja-kerja parti berjalan.

Jika tidak dilakukan sesuatu untuk membenteras politik wang dalam UMNO, saya percaya pemilihan kali ini adalah penglibatan politik wang yang terbesar dalam sejarah UMNO yang dijangka boleh mencecah ratusan juta ringgit jika dijumlahkan penglibatan politik wang dari cawangan, bahagian dan sehingga ke pemilihan MT.

Jika dibiarkan juga, nescaya UMNO akan berkubur dengan kadar segera dan Melayu akan menjadi suara minoriti dalam politik negara.

Jangan nanti generasi Melayu yang akan datang melebelkan UMNO sebagai pemusnah politik, hak dan keistimewaan orang Melayu di buminya sendiri akibat gejala politik wang yang gagal dibenteras.

Ketika itu lipatan sejarah berkata,”UMNO musnah kerana ahlinya suka mengamalkan rasuah politik. UMNO pupus kerana parti Melayu itu boleh dijual beli”.

2 comments:

Anonymous said...

Good post.
Terrible corruption in UMNO.
It's a real shame.

Gelombang Rakyat said...

Terperinci dan puas membaca pos ini.

Terima kasih...