Thursday, December 11, 2008

HARI KEPUTERAAN SULTAN SELANGOR YANG KE 63


Menjunjung kasih dan ucapan tahniah di atas keputeraan Sultan Sharafuddin Idris Shah yang ke 63 tahun.

Jangan dendam sampai mati
BILIK studi di Istana Mestika, Shah Alam, iaitu istana Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, sarat dengan buku-buku, dokumen-dokumen kerajaan dan pelbagai bahan bertulis lain.
Selepas wartawan Mingguan Malaysia menemu bual Sultan Selangor di istana itu Khamis lalu, Sultan Sharafuddin menunjukkan bilik tersebut yang sebelum ini dijadikan tempat baginda bekerja. Apabila ruang di situ menjadi sempit dengan buku-buku yang semakin menimbun, Sultan Selangor memindahkan sebahagian daripada buku dan dokumen ke sebuah bilik lain yang lebih luas. Di bilik itulah sekarang baginda membaca akhbar dan majalah, menggunting sendiri artikel-artikel yang menarik perhatian dan menyimpannya dengan rapi dalam fail-fail.
Sultan Selangor memberitahu wartawan Mingguan Malaysia, BAHAROM MAHUSIN, ZULKEFLI HAMZAH dan SAIFULHAIZAN HASAM yang menemu bual baginda bahawa baginda sedang menelaah perkembangan isu-isu sensitif yang berlaku di negeri Selangor dan negara. Dimasyhurkan sebagai Sultan Selangor kesembilan pada 22 November 2001, Sultan Sharafuddin telah pun tujuh tahun bersemayam sebagai raja di Selangor, negeri termaju di Malaysia yang pada pilihan raya umum Mac 2008 menyaksikan perubahan kerajaan negeri.
Pada 24 Disember ini, baginda akan menyambut ulang tahun keputeraan yang ke-63. Wawancara selama sejam dengan Mingguan Malaysia menyerlahkan perspektif baginda mengenai isu-isu semasa dan harapannya kepada rakyat, terutama orang Melayu.
“Kalau orang Melayu sesama Melayu tidak boleh bercakap dan dendam sampai mati... hancurlah. Inilah yang telah berlaku di sesetengah negara, wujud pertarungan puak sehingga semuanya mati,” titah baginda.
Dalam wawancara itu, Sultan Selangor yang menggunakan kata ganti diri ‘saya’ memberi nasihat ini kepada para pemimpin dan orang Melayu: “Kita mesti bercakap. Saya rasa pada masa ini rantaian komunikasi sesama Melayu telah terputus di mana-mana.”Jangan dendam sampai mati

Teguran ayahanda berharga
DALAM temu bual yang diadakan di dewan menghadap yang dipenuhi lukisan, hasil seni khat dan pelbagai ilustrasi kapal layar, Sultan Selangor menceritakan minatnya yang mendalam terhadap hasil seni Melayu. Baginda turut menyimpan koleksi keris, kacip lama, meriam Melayu dan ukiran-ukiran Nusantara.
Jiwa seni baginda jelas terpancar dalam interviu itu yang turut membincangkan pelbagai isu lain daripada keprihatinannya kepada tanggungjawab Raja Muda Selangor, Tengku Amir yang akan berusia 18 tahun pada 12 Disember ini, tekanan yang pernah diterima daripada Almarhum ayahanda baginda sehinggalah kepada kenangan terhadap Kuala Lumpur dan Putrajaya yang suatu ketika dahulu merupakan sebahagian daripada negeri Selangor.
Berikut adalah petikan pandangan Sultan Sharafuddin Idris Shah:
Cabaran Sultan pada masa depan: "Saya berikan banyak tekanan kepada anakanda saya, Tengku Amir. Tekanan ini bagus, sewaktu usia muda dia kena biasakan diri dengan tekanan. Dia mesti banyak membaca, kena faham, prihatin, penyayang, tidak sombong, mesra dan tidak menilai orang dari luaran. Semua ini adalah ramuan untuk membolehkannya menghadapi cabaran pada masa depan. Kadangkala saya rasa bersalah kepadanya (kerana memberikan tekanan) tapi dia kena belajar melalui cara yang sukar ini. Saya telah mempelajarinya sewaktu muda, Almarhum ayahanda saya memberikan pengalaman yang sukar tapi saya bersyukur dan gembira."
Belajar melalui cara sukar: "Saya beritahu saudara-mara saya bahawa anakanda saya kena belajar melalui cara yang sukar. Daripada tekanan itu dia kena membiasakan diri. Saya belajar melalui cara sukar dari aspek tekanan daripada Almarhum ayahanda saya dan sekarang apabila tertekan, saya tidak risau dan saya boleh menanganinya. Saya diajar tidak panik dan melenting hingga hendak bergaduh sahaja. Saya diajar bertenang dan berfikir, bukan sesuka hati ikut perasaan. Saya kena gunakan akal bagi menentukan yang mana betul dan yang mana salah."
Teguran Almarhum ayahanda: "Jika saya buat salah Almarhum akan marah saya secara terbuka. Tindakan itu memastikan saya tidak buat silap dan menepati masa. Jika lewat seminit tidak diterimanya, itu adalah tekanan. Ayahanda saya akan menegur bukan sahaja di dalam pejabat tetapi di depan orang ramai, jadi saya kena berhati-hati. Saya gembira, masa baru-baru dulu memang saya ada bersungut, apa teruk sangat tapi akhirnya apabila sudah biasa, saya dapat terima. Sekarang ini bila saya renung balik, saya amat berterima kasih. Almarhum ayahanda telah melaksanakan tugasnya dengan cemerlang untuk saya."
Aktiviti lasak: "Dewan Diraja Selangor dan Orang Besar Istana tidak begitu gembira saya mengambil risiko terlibat dalam pengembaraan kerana anakanda saya masih muda. Saya kata okaylah, tapi saya seronok melakukannya. Sekarang umur saya sudah meningkat. Saya rasa tahap kecergasan sudah menurun jadi saya tidak boleh lagi melakukan sukan lasak seperti belayar mengelilingi dunia dan kembara Peking to Paris. Saya bersyukur kerana telah melakukannya pada masa lepas."
Pesanan kepada kawan-kawan: "Saya baca semua dokumen kerajaan, akhbar tempatan dan luar negara. Masa saya banyak dihabiskan dengan membaca. Saya percaya jika saya tidak membaca saya tidak dapat tahu apa yang berlaku. Saya banyak bergantung kepada Dewan Diraja, penasihat dalaman dan kawan-kawan untuk menceritakan perkara yang benar kepada saya. Ada sesetengah orang hendak sedapkan hati saya, jadi apa yang saya hendak dengar sahaja dia beritahu. Akhirnya saya tidak dapat membuat keputusan yang tepat. Saya pesan kepada kawan-kawan saya, jika mereka kawan yang baik beritahu saya jika saya salah. Apa yang rakyat cakap dan mahu, beritahu pada saya untuk membolehkan saya buat tindakan yang tepat."
Kenapa tidak berpindah ke Istana Kayangan: "Saya ialah antara orang pertama yang berpindah ke Shah Alam kerana Istana Raja Muda Selangor di Kuala Lumpur telah diambil untuk dijadikan Wisma Putra. Ayahanda saya tinggal di sana sebelum ini. Saya berpindah ke Istana Mestika pada tahun 1973. Saya adalah antara penduduk pertama di Shah Alam, yang lain semuanya kilang. Ketika itu lampu jalan pun tiada, talian telefon susah hendak dapat. Shah Alam pada masa itu dipenuhi ladang getah dan apabila dipasang saja lampu banyak serangga akan datang. Tikus pun banyak, telefon susah, taliannya selalu terganggu. Saya ingat lagi saya pernah membuat aduan kepada Datuk Seri Najib Tun Razak yang menjadi Timbalan Menteri Tenaga, Telekom dan Pos pada 1978, macam mana talian telefon tidak begitu baik di Shah Alam, saya kata kalau ada apa-apa kena pakai isyarat asap. Waktu itu hendak pergi ke Kuala Lumpur pun susah. Lebuh Raya Persekutuan selalu sahaja diperbaiki, jalannya sering dikorek-korek sehingga kerap berlaku kesesakan lalu lintas. Sekarang, saya beritahu anakanda saya dia kena tinggal bersama saya di Istana Mestika walaupun dia kata ini istananya. Saya kata kita terus tinggal bersama kerana kita hanya berdua. Saya ambil satu sayap (wing) dan dia ambil yang lagi satu."
Perkembangan Shah Alam: "Harapan saya amat tinggi. Ibu negeri Shah Alam boleh dibangunkan dengan lebih baik sebagai bandar terancang. Pasal tidak cukup duit, dipotong bajet sana sini. Saya rasa jalan di Shah Alam sepatutnya lebih lebar, dalam 20 tahun lagi akan berlaku kesesakan lalu lintas. Masa itu hendak dilebarkan sudah tidak boleh."
Masjid: "Almarhum ayahanda saya bina masjid yang besar di Shah Alam. Dulu banyak orang tidak setuju, kata pembinaan masjid itu membazirkan duit. Pada masa itu Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz merupakan masjid terbesar di negara ini. Ayahanda saya kata orang Selangor kalau hendak tunjuk kekayaan negeri, buatlah masjid yang besar dan cantik. Itu pemikiran dan konsep Almarhum. Dulu Almahum pernah hendak bina masjid di atas bukit tempat tapak Universiti Teknologi Mara (UiTM) sekarang. Banyak orang kata tidak usahlah, nanti orang tua-tua hendak pergi masjid atas bukit susah sebab macam mana nak kayuh basikal. Sekarang basikal pun sudah tiada, semua guna motokar. Kita tidak fikir ke depan, ini masalahnya. Kalau tidak, kita sudah ada masjid di lokasi yang terbaik dan dominan."
Kenangan Kuala Lumpur: "Almarhum ayahanda saya banyak berkorban dengan menyerahkan Kuala Lumpur kepada kerajaan Persekutuan, kini orang melupakannya. Saya bukan hendak ungkit, yang sudah lepas, lepaslah. Pada masa itu Almarhum melihat penyerahan Kuala Lumpur dalam konteks Malaysia bukannya mengikut sempadan negeri. Saya harap sejarah Selangor di Kuala Lumpur tidak sewenang-wenangnya ditukar. Kita tengok ada pihak menukar nama jalan. Kalau mahu memberi nama baru, buatlah jalan baru dulu. Kadang-kadang ia mendukacitakan. Dulu masa nak serahkan Kuala Lumpur, (Perdana Menteri) Tun Abdul Razak kata apa-apa yang dibuat di Kuala Lumpur, orang Selangor akan dijemput. Sekarang generasi baru sudah lupakannya."
Istana Darul Ehsan di Putrajaya: "Kebiasaannya saya akan ke sana pada hujung minggu, itu adalah istana kegemaran saya selepas Istana Mestika. Almarhum ayahanda saya tinggalkan lima buah istana dan kelima-limanya berada dalam keadaan baik. Saya menyimpan koleksi buku saya khususnya yang berkaitan dunia Melayu di Istana Darul Ehsan. Saya rasa ada 30,000 buah, daripada buku Stamford Raffles, R.O. Winsted, kamus Melayu dan buku-buku kesenian Islam. Ada banyak yang merupakan edisi pertama."
Ubahsuai istana: "Bila ayahanda saya mangkat, baginda tidak sempat tengok Istana Darul Ehsan di Putrajaya. Tapi baginda berpesan supaya ia tidak diubahsuai. Hanya dua bilik di istana itu yang saya ubah jadi perpustakaan. Tiang bendera juga saya tukar dari belakang istana ke lokasi bertentangan dengan pejabat Perdana Menteri supaya hari-hari Perdana Menteri akan lihat bendera Selangor naik 24 jam sehari. Ini akan mengingatkan beliau bahawa Putrajaya dulu adalah sebahagian daripada Selangor (ketawa). Itulah dua perkara yang diubah, yang lain saya kekalkan mengikut pesanan ayahanda saya."
Siapa yang pernah melihat koleksi buku: "Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad pernah datang dan terkejut melihat koleksi itu. Saya sebenarnya menjemput beliau ke Istana Darul Ehsan untuk makan tengah hari. Bila beliau datang saya beritahu saya mahu beliau lihat perpustakaan. Kemudian saya beritahu bahawa makan tengah hari itu bukannya percuma, sebaliknya beliau mesti menandatangani buku-buku hasil karyanya yang menjadi koleksi saya. Saya beri 30 buah buku tulisan beliau untuk beliau tandatangani. Semua buku hasil tulisan Tun Mahathir ada di perpustakaan saya. Saya beritahu beliau bahawa sebelum itu saya hanya memiliki sebuah buku yang telah ditandatangani iaitu Malay Dilemma. Kalau tidak silap saya, ia dihadiahkan kepada saya sewaktu Tun Mahathir disingkirkan daripada UMNO."

2 comments:

MA ZN Enterprise said...

bagus betul...minta izin copy dan paste tuan empunya.. Terima kasih..:)

UMNO PARTI PENJARA said...

Selamat Tahun Baru :-)













(( Renungkan )) Ke Mana Kita Mahu Pergi?
http://TeamPemudaUMNO.blogspot.com
Forum Generasi Muda
http://Forum1Malaysia.blogspot.com
Pakatan Antara Parti Lawan Tidak Kekal
http://pro-faizal.blogspot.com