mohon maaf jika posting ini mengganggu ketenteraman awam.... saya terpanggil untuk menceritakan pengkisahan ceritera lama yang sudah pun menjadi sejarah. ada yang tahu, ada yang sudah terlupa dan ada yang tidak tahu. sekadar catatan untuk pedoman hari yang mendatang terutamanya cucu cicit Almarhum Haji Rajuddin.
Sempena hari penubuhan UMNO yg ke 66 (ini bukan cerita politik, tetapi mengkisahkan semula sejarah - kalau tak nak baca pun tidak mengapa) jangan lupa bahawa Ninda Rajuddin adalah salah seorang pejuang kemerdekaan negara yang bermula dari 1 Mac 1946 di Kelab Sultan Sulaiman, Kg. Baru. semasa kecil saya pernah melihat gambar-gambar Ninda bersama rakan-rakann seperjuangannya. hasil daripada Kongres Melayu itu maka lahirlah UMNO di Istana Besar Johor Bahru pada 11 Mei 1946. saya pernah diceritakan oleh Ninda dan Bonda Azizah bahawa Ninda Rajuddin adalah antara pejuang kemerdekaan yang hadir di kedua-dua hari keramat orang Melayu itu.
Mungkin ada yang menyimpan gambar-gambar lama semasa Ninda Rajuddin hadir ke majlis tersebut. saya juga pernah ditunjukkan kad keahlian UMNO bertarikh 1946 kepunyaan Ninda, lencana UMNO, cincin suasa UMNO. Jika ada warga TERAJU yang menyimpannya, barangan tersebut sebenarnya telah berusia 66 tahun.. sudah jadi barang antik. Kalau boleh kita bongkarkan kembali untuk tatapan cucu cicit.
Di dalam naskhah "Tribute to Haji Rajuddin" (ada yang sudah tiada lagi dalam simpanan mereka - jika boleh Tuan Presiden boleh buat salinan semula dan diedarkan semula - satu cadangan) dicatat petikan dari buku Jejak Perjuangan UMNO Selangor (buku ini milik Ayahanda Saidin) bahawa Ninda Rajuddin dicatatkan namanya sebagai antara pejuang kemerdekaan negara yang aktif di daerah Hulu Langat bersama-sama dengan Dato' Abu Bakar Baginda (Menteri Besar Selangor ke 7 - 1959 - 1964), Dato' Kampo Radjo dan Dato' Ujang Bagong. Ninda Rajuddin sebagai wakil kaum guru pada waktu itu.
Kita sepatutnya berbangga kerana Ninda Rajuddin adalah antara orang yang terlibat secara langsung di dalam penubuhan UMNO. Ini bukan persoalan politik semata-mata, ini soal perjuangan Melayu dalam menuntut kemerdekaan yang menghasilkan kesejahteraan dan kehidupan yang selesa kepada kita semua pada hari ini. Mungkin peranan Ninda Rajuddin tidaklah sebesar Dato' Onn Jaafar mahupun Tunku Abdul Rahman, tetapi kita seharusnya berbangga peranan yang dimainkan oleh Ninda Rajuddin kerana dialah peneraju warisan kita hari ini.
Warisan perjuangan Ninda Rajuddin telah disambung oleh anak dan menantu. Bonda Azizah, Ayahanda Saidin, Ayahanda Saad, Ayahanda Bostan, Ayahanda Abdul Rahman, pernah bergiat aktif dalam perjuangan orang Melayu menerusi UMNO. Penerus generasi masih tidak padam. masih ada warga Teraju yang meneruskan tradisi perjuangan seperti yang pernah dilakukan oleh Ninda Rajudddin di dalam pelbagai medium pengantara. Syabas.
Maaf sekali lagi jika posting saya ini mengganggu ketenteraman awam. Tiada niat lain di dalam posting ini melainkan harapan saya untuk kita merenung sejenak pejuang bangsa kita di tahun 1946 yang diantaranya telah terbukti di dalam lipatan sejarah, bahawa peneraju warisan kita - ALMARHUM HAJI RAJUDDIN HAJI ARSHAD adalah pejuang tulen orang MELAYU.
aku menulis kerana al-ilmu yuntafa'u bihi. wassalam.
No comments:
Post a Comment