Saturday, May 19, 2007

RAJA PUAN BESAR PERAK - TUANKU ZARA

Tuanku Zara bergelar Raja Puan Besar Perak
18-05-2007 01:36:57 PM
KUALA KANGSAR: Tuanku Zara Salim, yang diijab kabul semalam sebagai isteri Raja Muda Perak Raja Dr Nazrin Shah, hari ini diisytihar sebagai Raja Puan Besar Perak pada satu istiadat di Istana Iskandariah, Bukit Chandan di sini.
Orang Kaya Temenggong Paduka Raja, Datuk Seri Wan Fathir Wan Hussain, sebaik selesai membaca perisytiharan kurnia gelaran itu, telah melaungkan "Daulat, Daulat, Daulat" dan diikuti oleh para hadirin dan diikuti dengan paluan nobat.
Tuanku Zara turut dianugerahkan pingat Darjah Kerabat Seri Paduka Sultan Azlan Shah Perak Yang Dihormati (DKSA), darjah tertinggi yang khas kepada ahli-ahli keluarga diraja. Lantikan Tuanku Zara, cicit kepada Sultan Kedah ke-24 Sultan Abdul Hamid Halim Shah, sebagai Raja Puan Besar Perak, mengisi kekosongan gelaran itu sejak dua dekad lepas.
Istiadat itu, yang dihadiri 150 kerabat diraja terdekat serta dif kenamaan, bermula pada pukul 10.05 pagi dengan Wan Fathir, yang juga Orang Besar Jajahan Kuala Kangsar, membaca perisytiharaan kurnia gelaran yang diperkenan oleh Sultan Perak Sultan Azlan Shah berkuatkuasa mulai hari ini.
Pengurniaan gelaran itu dibuat mengikut Bahagian Kedua Fasal 35(1) Undang-undang Tubuh Negeri Perak yang memperuntukkan Sultan Perak mengurniakan gelaran itu kepada isteri Raja Muda Perak.
Perisytiharan Sultan Perak, yang dibacakan oleh Wan Fathir itu menyebut: "Beta (Sultan Perak) berkenan mengurniakan gelaran Duli Yang Teramat Mulia Raja Puan Besar Perak Darul Ridzuan kepada Zara Salim, isteri Duli Yang Teramat Mulia Raja Nazrin Shah, Raja Muda Perak Darul Ridzuan berkuatkuasa 18 Mei 2007. Ketahuilah dengan Gelaran ini Zara Salim akan dikenali sebagai Duli Yang Teramat Mulia Raja Puan Besar Perak Darul Ridzuan, Tuanku Zara Salim.
"Dan lagi, inilah kita memerintahkan sekalian Raja-raja Bergelar, Waris-waris Negeri, kaum kerabat, Hamba-hamba Tua Orang Besar Perak, pegawai dan rakyat kita yang dikasihi yang ada di dalam negeri Perak Darul Ridzuan ini dan sekalian mereka yang lain bersangkutan dengan perkara ini, supaya mengambil tahu hal ini dan mengikut dengan taatnya."
Diiringi Tunku Soraya Sultan Abdul Halim dan Datuk Seri Noraini Jane, Tuanku Zara, yang berpakaian kebaya labuh berenda Perancis berwarna emas dengan taburan manik berwarna ungu, firuz dan merah jambu, menghadap Sultan Perak untuk menerima watikah perisytiharan gelaran.
Tunku Soraya ialah anakanda Sultan Kedah serta isteri Raja Kechil Sulung Perak, Raja Datuk Seri Iskandar Dzulkarnain Almarhum Sultan Idris, manakala Noraini Jane, adalah isteri Raja Kechil Tengah Raja, Datuk Seri Ashman Shah.
Pada istiadat itu, Sultan Perak turut menganugerahkan Tuanku Zara dengan Darjah Kerabat Seri Paduka Sultan Azlan Shah Perak Yang Dihormati (DKSA), darjah tertinggi yang dikurniakan khas kepada ahli-ahli keluarga diraja.
Istiadat turut disaksikan Raja Permaisuri Perak, Tuanku Bainun, Raja Nazrin Shah, Raja Di Hilir Perak, Datuk Seri Raja Jaafar Raja Muda Musa, ibu bapa, Tuanku Zara, Salim Davidson dan Sharifah Azaliah Syed Omar Shahabudin serta Menteri Besar Perak Datuk Seri Mohd Tajol Rosli Ghazali dan isteri.
Gelaran Raja Puan Besar Perak yang dikhaskan untuk isteri Raja Muda Perak kosong sejak dua dekad lalu berikutan kemangkatan Raja Muda Perak pada masa itu Raja Ahmad Siffuddin Sultan Iskandar Shah pada April 1987.
Gelaran itu terakhir disandang oleh isteri Almarhum Raja Ahmad Siffuddin, Raja Nor Izan Raja Abdul Rashid selama tiga tahun dan selepas kemangkatan baginda, Raja Nor Izan menggunakan gelaran Yang Teramat Mulia.

No comments: