Thursday, June 28, 2007

ARTIS MEMPUNYAI IMMUNITI?

Artis Mempunyai Immuniti?

Kebalkah artis sehingga tiadak ada sesiapapun boleh menegur apa yang mereka lakukan? Benda haram dan salah jika dilakukan oleh artis bolehkah dihalalkan? Dan apakah segala gelagat artis boleh dihalalkan cara?

Begitulah keistimewaan menjadi artis. Sebab sebeginilah yang menyebabkan ramai sangat remaja yang terkinja-kinja untuk menjadi artis popular, walaupun mereka tahu perilaku dan perbuatannya adalah salah dan haram.

Golongan artis seringkali diberi perhatian istimewa kerana sejak seingat kita mereka ini mendapat hak keistimewaan yang diwartakan oleh peminat fanatik mereka.
Disebabkan hak istimewa ini jugalah maka ramai di antara mereka 'terlanjur' dan terperasan yang mereka boleh dan tidak salah melakukan apa saja tanpa mempedulikan sensitiviti masyarakat mahupun agama.
Tanpa segan silu mereka sanggup membuat perkara-perkara yang memalukan dan memusykilkan imej mereka sendiri seperti berkhalwat, bersekedudukan, membuat onar dan fitnah, menjalani hidup dwi alam sehinggakan kita sendiri rasa malu dengan perbuatan dan aksi mereka.
Sudahlah cetek fahaman agama, sanggup pula bertegang urat menegak benang basah apabila terbukti kesahihan kesilapan mereka.
Sebelum isu Sharifah Amani (Nani) membotakkan rambut untuk watak dalam Mualaf dalam filem baru Yasmin Ahmad yang masih mengundang perdebatan hangat, ramai lagi 'senior' Nani yang terlebih dahulu melanggar hukum.
Rasanya Nani tidak perlulah bermegah diri kalau ternyata perbuatan itu sudahpun mendapat teguran para ulamak. Haram tetap haram dan janganlah kita cuba memberi interpretasi sendiri tentang agama dan hukum hakam. Yang malu kita sendiri juga. Kebijaksanaan akal yang cuma sejengkal itu akan hanya memberi nama buruk pada golongan artis sahaja.
Memang sukar bagi golongan artis yang bersalah ini untuk angkat bendera putih. Selalunya golongan artis elite, cerdik pandai ini tidak makan saman dan susah ditegur disebabkan mereka rasa ada 'hak istimewa' sebagai artis untuk melakukan semahu mereka.
Kalau kita rajin buka lembaran sejarah hiburan kita, kita kan tahu artis mana yang tersadung kerana mengikut kata hati mereka demi mengejar glamor satu kerja seni. Tidak perlulah disebutkan di sini artis lelaki mana yang pernah menerima tawaran menjadi sami, kemudiannya dikecam begitu hebat sekali. Begitu juga aksi ghairah seorang aktres kacukan dalam sebuah pementasan teater dan beberapa penyanyi wanita kita yang berani menerima kucupan di atas pentas tanpa rasa malu.
Sifat malu dan sensitif bukan semua orang ada. Ada di antara kita yang hilang 'maruah' diri ini disebabkan cara hidup kita yang moden dan terbuka. Justru apabila kita membicarakan soal hukum, golongan artis juga lah yang akan pertama sekali melatah dan berani mengeluarkan 'fatwa' mereka sendiri tentang hukum agama seperti bersentuhan sesama muhrim seperti yang pernah disuarakan oleh Fauziah Nawi, Rosnah Mat Aris, Rosyam Nor dan M.Rajoli sebelum ini.
Cara mereka memberi buah fikiran tentang hukum agama sebiji macam tukang masak memberi komen pasal architecture sesuatu bangunan. Lucu pun ada, sedihpun ya kerana nampak sangat yang mereka kurang cerdik. Kenapalah tidak biarkan saja mereka yang arif menentukan hukumnya. Itu kan lebih baik dari kita sendiri mengeluarkan 'fakta' yang tidak boleh diterima akal itu.
Bukan hendak membuka pekung artis atau membuka aib dan kejelekan akal mereka yang tidak panjang. Tapi itulah senarionya setiapkali ada isu baru dalam industri hiburan. Jarang sekali artis yang 'bersalah' akan mengaku kesilapan mereka walaupun sudah terang lagi bersuluh.
Lagi parah kalau artis begini diangkat darjat mereka untuk merebut gelaran Ikon seperti program yang kini hangat di kaca TV. Bagi kita yang berfahaman kolot ini, tidak sesuai rasanya gelaran Ikon itu diberi pada mana-mana artis yang mempunyai sifat jelek dan tercela baik dari segi peradaban, pakaian atau peribadi. Berapa kerat artis kita yang menepati kriteria yang dituntut untuk menjadi Ikon di rantau ini?

No comments: