Monday, February 18, 2008

MENGAPA TAKUT FAKTOR CALON?


Belumpun tiba hari penamaan calon, sudah ada kerisauan di kalangan pemimpin Barisan Nasional negeri yang agak gentar apabila mula menyuarakan pengundi lebih terarah kepada faktor calon daripada parti yang diwakilinya.

Mengapa perlu risau jika calon-calon yang bakal bertanding berwibawa, dinamik, diterima masyarakat, ikhlas dan tinggi peribadinya?. Apakah kerisauan itu berpunca dari terdapat calon yang bermasalah, tidak disukai oleh pengundi, rosak akhlak dan sombong?. Jika sudah tahu mengapa dipilh sebagai calon?.

Pada pendapat saya perkara ini bukan perkara baru malah sudah terjadi pada pilihan raya sebelum ini. Contohnya di Sekinchan sendiri. Kekalahan calon dari parti MCA kepada DAP sememangnya sudah dijangka lebih awal lagi walaupun calon tersebut bertanding untuk mempertahankan jawatannya buat kali ketiga.

Walaupun terdapat desakan daripada UMNO melalui Datuk Seri Mohamad Khir Toyo agar MCA menukar calon baru, namun ianya tidak berhasil. Mungkin pemimpin MCA di peringkat pusat tidak diberikan gambaran yang sebenarnya kegelisahan pengundi terutamanya penyokong BN agar dikemukakan calon baru akibat budaya "semuanya OK bos". Padahnya, buat pertama kali Sekinchan jatuh kepada DAP.

Jika sudah tahu faktor calon akan menyukarkan BN untuk menang, mengapa tidak dibuat sesuatu agar BN boleh menang dengan selesa?. Pengundi semakin matang menilai latar belakang seseorang calon. Mereka mahukan pemimpin mereka rasuah sifar, berpendidikan tinggi, mesra kepada rakyat dan mudah untuk dihubungi.

Pengundi juga mahukan rakyat tempatan menjadi wakil mereka. Tidak kiralah dari mana-mana parti komponen BN, mereka mahu bakal wakil rakyat tahu tugas sebenar sebagai wakil rakyat. Ini termasuklah boleh berkhidmat tanpa mengira waktu dan sentiasa mengutamakan kepentingan rakyat daripada kepentingan peribadi.

Bukannya susah BN hendak mendapatkan calon yang memenuhi kriteria rakyat kerana ramai yang berwibawa dan mengidam untuk dicalonkan. UMNO dan MCA sebagai tonggak BN mempunyai berjuta ahli dan mustahil tidak dapat menonjolkan calon pilihan rakyat. Susahnya kerana sudah "termakan budi" dan ingin meletakkan calon yang "pro" kepada seseorang pemimpin tanpa memikirkan kepentingan dan kehendak rakyat.

"Saya tidak menjadi ahli mana-mana parti politik. Suka hati sayalah hendak mengundi siapa". Kata-kata sebeginilah yang merisaukan pucuk pimpinan parti. Pengundi tiada parti dan atas pagar ini perlu ditambat hati mereka agar BN boleh menang dengan selesa dan bermajoriti besar.

"Macammana BN boleh calonkan si A ni. Takkan tak tahu dia ni banyak hal." Satu lagi kata-kata yang bakal kedengaran dari pengundi di peringkat akar umbi yang sering 'berdialog" di warung kopi apabila calon BN yang diketahui masalahnya oleh pengundi dicalonkan oleh pucuk pimpinan.

"Dia lagi jadi calon. Takkan orang atas tak tahu dia ni tak reti buat kerja. Sejak 2004 baru ni jumpa batang hidung dia balik. Sorilah nak undi dia lagi." Kata-kata sebeginilah yang paling ditakuti oleh ahli politik menjelang pilihan raya. Lebih-lebih lagi individu yang dicalonkan semula yang sebenarnya sudah tidak mendapat tempat di hati pengundi.

Mungkin ada yang berkata kita perlu memikirkan soal pembangunan. Jika tidak pilih BN, pembangunan tidak dilakukan di kawasan tersebut. Mereka akan ketinggalan dalam arus perdana yang menumpukan soal pembangunan dan infrastruktur.

Namun terdapat cerdik pandai pengundi yang berkata pembangunan adalah perancangan di peringkat negeri dan nasional. Wakil rakyat tidak keluarkan duit sendiri untuk membina jalan raya, membaiki kerosakan longkang, menangani masalah sosial dan membina rumah rakyat termiskin. Kata mereka itu semua kerja di peringkat negeri dan nasional.

Kata-kata seperti,"kalau pembangkang menangpun, kawasan kita membangun juga". Malah sudah ada yang berkata,"Jika hendak pembangunan yang hebat, bagi pembangkang menang. Nanti BN buat macam-macam projek sebab nak pujuk undi kita supaya lain kali BN boleh menang."

Kata sebegini cukup memberikan dilema yang hebat kepada BN khususnya di kawasan luar bandar. Mengapa kata-kata sebegini boleh terpacul dari mulut rakyat?. Rata-rata kecewa dengan prestasi wakil rakyat sebelum ini.

Lebih pilu lagi ada yang berkata mengadu masalah kepada wakil rakyat BN lambat diselesaikan. Ianya mungkin ada asas kerana yang memanjangkan masalah rakyat kepada pejabat daerah atau pihak berkuasa tempatan (PBT) bukannya wakil rakyat itu sendiri, tetapi "wakil kepada wakil rakyat" yang digajikan oleh wakil rakyat terbabit untuk berurusan dengan jabatan-jabatan kerajaan.

Perlu diingat yang bekerja di jabatan kerajaan tersebut adalah juga pungundi dan tidak mustahil mereka boleh "membocorkan" prestasi wakil rakyat tersebut di kalangan orang ramai.

Berlaku sebaliknya kepada wakil rakyat pembangkang. Mereka sendiri yang pergi berjumpa ketua-ketua jabatan daerah untuk menyuarakan masalah rakyat. Tanyalah pegawai jabatan kerajaan di daerah Sabak Bernam, berapa kerap bekas wakil rakyat DAP dari Sekinchan berjumpa dengan mereka?. Mereka lebih kerap berjumpa wakil rakyat pembangkang daripada wakil rakyat kerajaan. Mengapa boleh terjadi sebegini?

Inilah "report card" rakyat yang cukup ditakuti oleh BN lebih-lebih lagi kepada bakal calon yang mempertahankan kerusinya. Tidak guna menyesal sekarang kerana tidak cemerlang buat kerja perkhidmatan sebagai wakil rakyat selama tempoh empat tahun sebelum ini.

Kuasa rakyat yang wajib mengundi akan ditafsirkan pada 8 Mac ini. Mood dan corak pengundian akan menjadi kayu pengukur prestasi wakil rakyat yang mempertahan kerusi sama ada mereka sudah terbukti memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat atau pun tidak.

Pucuk pimpinan BN perlu memberi perhatian faktor calon juga sebagai penentu kemenangan kepada BN. Jangan ambil mudah faktor calon kerana dijangkakan corak pengundian kali ini amat berbeza dari sebelumnya. Pengundi telah celik politik dan tahu apa yang perlu mereka lakukan.

Ugutan pembangunan tidak akan dilaksanakan jika BN kalah sudah ketinggalan zaman. Mereka sudah didedahkan dengan rancangan pembangunan wilayah dan RMK9. Itu tugas kerajaan persekutuan dan negeri untuk menjana dan membangunkan negara.

Pada pengundi tugas mereka ialah untuk memilih wakil kawasan mereka yang menjadi perantara dengan pentadbiran dan pengurusan kerajaan di peringkat daerah, negeri dan pusat. Mereka mahu wakil rakyat yang aktif. Mereka mengidamkan wakil rakyat cepat bertindak jika sesuatu masalah berlaku di kawasan mereka.

Pengundi mahukan wakil rakyat yang faham struktur kegiatan ekonomi, sosial, adat resam, sosio budaya dan persekitaran mereka. Sebab itu mereka mahukan calon tempatan yang memahami secara fizikal dan spiritual agar mudah mereka berhubung.

Mereka mahukan wakil rakyat mereka bebas daripada sekatan dan protokol apabila hendak bertemu. Kerenah birokrasi dan "orang kanan" wakil rakyat sebenarnya telah mengundang kebencian pengundi kepada wakil rakyat. Mereka tidak selesa cara sebegitu.

Zaman sekarang sudah tidak ada lagi sifat wakil rakyat itu berdarjat yang tinggi dan lebih agung dari rakyat. Mereka mahukan bakal wakil rakyat mereka lebih bergaya santai da relaks dalam menjalinkan perhubungan dengan mereka.

Persoalannya apakah benar faktor calon tidak penting? Apakah hanya mengharapkan lambang parti sahaja sudah menjamin BN akan menang?. Kalau dulu datuk kita pernah berkata "letak calon "kayu" pun kapal layar boleh menang." Tapi tidak sekarang. Terimalah hakikat bahawa pengundi tetap akan memberi undi kepada BN jika faktor calon tidak diabaikan.

1 comment:

Zacharias said...

Hanya orang yang tak tahu (ignorant), atau orang tamak sahaja yang sokong UMNO.

Hadith Nabi s.a.w:

Tanda-tanda munafiq itu ada 3; bila bercakap dia berbohong; bila berjanji dia mungkir; bila diamanahkan dia khianat;

Jika ada ketiga-tiga ciri tersebut, sahlah orang itu orang munafiq. Jika ada salah satu, hendaklah kita bertaubat.

Nampak gaya, kalau ikut ayat tadi, hampir semua pemimpin UMNO jatuh ketegori munafiq.

Marilah Undi BN. Bersama mendaulatkan kemunafiqan sejagat