Thursday, September 01, 2011

WIRA NEGARA


WIRA negara, itulah gelaran masyarakat kepada Pegawai Waran I (B), Temenggong Kanang Anak Langkau yang melakar sejarah keberanian dan daya juang luar biasa dalam mempertahankan kedaulatan ibu pertiwi.

Pengorbanan beliau tiada tolok bandingnya sehingga nyawa menjadi taruhan dalam pertempuran menentang pengganas komunis di Tanah Hitam, Perak pada Februari 1980. Beliau cedera parah dibolos peluru mengenai jantung, usus terburai, rosak buah pinggang dan terlantar di hospital selama 14 bulan.

Semangat keperwiraan Kanang, 67, anggota Batalion 8 Renjer Diraja melayakkan beliau dianugerahkan Seri Pahlawan Gagah Perkasa (S.P) pada 1981 - satu pingat istimewa yang tidak membawa gelaran protokol namun paling tinggi dalam senarai keutamaan Anugerah Persekutuan mengatasi Seri Maharaja Mangku Negara (S.M.N) dan Seri Setia Mahkota (S.S.M) yang membawa gelaran Tun.

Pada tahun yang sama, anak kelahiran Julau, Sarawak itu dianugerahkan satu lagi pingat iaitu Panglima Gagah Berani (P.G.B) dan pada tahun lalu, beliau sekali lagi diiktiraf dengan penganugerahan Ijazah Kehormat Sarjana Falsafah (Peperangan Menentang Pengganas) dari Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM).