Friday, May 30, 2008

PAKEJ PERCUTIAN MURAH, MUDAH, MENARIK


PAKEJ PERCUTIAN PENGINAPAN HARMONI

PAKEJ EMAS RM 650 HOTEL 4 atau 5 BINTANG
PAKEJ PERAK RM 450 HOTEL 3 BINTANG
PAKEJ GANGSA RM 250 HOTEL 2 BINTANG


PAKEJ EMAS RM 650
Kemudahan/Perkhidmatan yang di beri :
Tempoh sah laku selama setahun
Penginapan 3 hari 2 malam di hotel 4 atau 5 bintang
Bilik penginapan superior
Maksimum sebilik – 2 dewasa dan 2 kanak-kanak di bawah 12 tahun
Termasuk sarapan pagi
PA insurance setahun
Baucher makan RM 50
Baucher petrol RM 40
Tempahan sekurang-kurangnya 14 hari sebelum mula bercuti (check-in)
Perundingan pelancongan percuma
Tertakluk kepada terma dan syarat.


PAKEJ PERAK RM 450
Kemudahan/Perkhidmatan yang di beri :
Tempoh sah laku selama setahun
Penginapan 3 hari 2 malam di hotel 3 bintang
Bilik penginapan superior
Maksimum sebilik – 2 dewasa dan 2 kanak-kanak di bawah 12 tahun
Termasuk sarapan pagi
PA insurance setahun
Baucher makan RM 50
Tempahan sekurang-kurangnya 14 hari sebelum mula bercuti (check-in)
Perundingan pelancongan percuma
Tertakluk kepada terma dan syarat.


PAKEJ GANGSA RM 250
Kemudahan/Perkhidmatan yang di beri :
Tempoh sah laku selama setahun
Penginapan 3 hari 2 malam di hotel 2 bintang
Bilik penginapan standard
Maksimum sebilik – 2 dewasa dan 2 kanak-kanak di bawah 12 tahun
Termasuk sarapan pagi
PA insurance setahun
Baucher makan RM 50
Tempahan sekurang-kurangnya 14 hari sebelum mula bercuti (check-in)
Perundingan pelancongan percuma
Tertakluk kepada terma dan syarat.
PERTANYAAN SILA HUBUNGI 017-9537425

Tuesday, May 20, 2008

Monday, May 19, 2008

CERITA DI SEBALIK TABIR d STARCITY HOTEL

Pada ucapan beliau pada lebih dari 1000 orang hadirin di program Dewan Perhimpunan Melayu Kedah di Starcity, Alor Setar, TUN telah menyebut bahawa ada beberapa cara yang boleh dilakukan untuk mendesak Pak Lah melepaskan jawatan. Apabila didesak oleh hadirin supaya memberikan cara-cara tersebut, beliau telah menceritakan secara detail beberapa cara yang sesuai.
1. Ialah dengan cara mengembalikan demokrasi kepada semua ahli. Ahli diberi kuasa memilih pemimpin yang mereka suka. Dan seterusnya pemilihan Ketua bahagian yang disukai oleh cawangan melalui wakil-wakil cawangan ke Mesyuarat Bahagian. Seterusnya wakil-wakil bahagian akan memilih presiden yang disukai ahli.
2. Ahli-ahli cawangan boleh memanggil EGM cawangan untuk mengusulkan desakana supaya Pak Lah melepaskan jawatan presiden. Jika mesyuarat cawangan mengcukupi, ianya boleh diusulkan ke bahagian untuk EGM. Maka dibahagian usul perletakan jawatan Pak Lah dapat diteruskan. Jika banyak bahagian mengadakan EGM (dan mencukupi apa yg disebut dlm perlembagaan UMNO), maka mesyuarat EGM Khas Pusat perlu dibuat.
3. Ahli perlu bertindak BERANI. Jika berani beliau mencabar supaya ahli-ahli UMNO termasuk yang berjawatan dalam UMNO utk keluar dari UMNO sehingga Pak Lah tidak lagi menjadi Presiden dan PM. Tetapi beliau menyeru agar jangan masuk parti pembangkang. Jadi independence yang mendesak. Maka Presiden akan tergugat dan kuasa meminta presiden meletak jawatan adalah lebih tinggi.
Apabila seorang hadirin mencabar beliau supaya memulakan tindakan itu, beliau memberitahu akan mengumumkan seluruh negara. Dan pada sidang akhbar di Starcity, Alor Setar, beliau telah umumkan dan akan menulis surat kepada Setiausaha Agung UMNO.
TAPI INGAT JANGAN SERTAI PEMBANGKANG!!

KENYATAAN TERKINI DR. MAHATHIR

ALOR STAR:03.15PM 19 MEI 2008
Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, hari ini mengumumkan keluar dari Umno berkuatkuasa serta merta. Dr Mahathir yang juga adalah anggota Umno seumur hidup berkata, beliau bertindak demikian kerana hilang keyakinan terhadap kepimpinan Umno sekarang yang gagal membela nasib orang Melayu di negara ini.
"Saya umum saya keluar parti hari ini," katanya di hadapan kira-kira 1,000 hadirin yang kebanyakannya anggota Umno Kedah pada majlis bertajuk "Nasib Kedudukan Bangsa Melayu" di Hotel Starcity di sini hari ini.

Bekas Presiden Umno itu juga berkata, beliau hanya akan kembali menjadi anggota Umno selepas Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang juga Presiden Umno meletak jawatan atau tidak lagi menjadi pemimpin utama negara.
"Saya akan menulis surat kepada Umno bagi memaklumkan mereka (mengenai keluar dari Umno)," katanya.
Bercakap kepada pemberita selepas majlis anjuran Dewan Perhimpunan Melayu Kedah itu, Dr Mahathir dengan wajah kecewa berkata beliau terpaksa mengambil tindakan keluar Umno yang dianggotai sejak 1946 kerana berpendapat parti itu tidak lagi dapat berperanan sebagai sebuah parti politik sebenar untuk membela nasib Melayu, sepertimana hasrat sejarah penubuhannya.

Sambil menyatakan rasa tidak puas hatinya, Dr Mahathir mendakwa Umno kini hanyalah dijadikan parti untuk mengiktiraf Abdullah sebagai Presiden Umno dan mengutamakan kepentingan keluarganya (Abdullah) sehingga membelakangkan negara.
"Saya boleh senaraikan perkara yang dia (Abdullah) lakukan sehingga merugikan negara kita.
"Umno yang wujud hari ini tidak lagi berpegang kepada hasrat parti yang ditubuhkan 62 tahun lalu. Sebab itu saya tidak teragak untuk keluar dari Umno," katanya.
Dalam sejarah Dr Mahathir dalam Umno, beliau pernah dipecat daripada Umno pada 1969 kerana melanggar disiplin parti apabila mengkritik kepimpinan Umno ketika itu, tetapi diterima kembali ke dalam parti pada 1972.
Dr Mahathir turut mengajak anggota Umno yang sependapat dengannya berhubung dengan kepimpinan untuk mengikuti jejaknya dengan bertindak keluar dari parti itu tetapi bukan untuk menyertai parti lain.
"Saya yakin cara ini berkesan. Saya tidak akan menyuruh orang membuat sesuatu yang saya sendiri tidak berani melakukannya," tambahnya.
Bekas Perdana Menteri turut melahirkan rasa kecewa kerana anggota Umno masih disekat oleh kepimpinan parti daripada berjumpanya.
"Sampai nak adakan perjumpaan, ahli Umno dan ketua bahagian tidak dibenar berjumpa saya. Ini apa," katanya.
Beliau berkata tindakan kepimpinan Umno itu hanya menyebabkan timbul lebih banyak rasa tidak puas hati dan akhirnya melambangkan Umno sebagai tidak demokratik.

KESAN PERMAINAN POLITIK - SIAPA KENA TANGGUNG?


SAYA sangat terpanggil untuk menulis apabila beberapa persoalan tidak dapat saya cari penjelasan dan jawapannya walaupun setelah berfikir berkali-kali. Sebagai rakyat Malaysia, saya benar-benar tidak faham, merasa hairan, pelik dan sangsi akan perkara-perkara berikut:
l Apakah motif, rasional, faedah dan hidden agenda pihak tertentu hingga bersungguh-sungguh mengeluar kenyataan ber- sama menuntut kerajaan menubuhkan Suruhanjaya Kebenaran dan Rekonsiliasi untuk mengkaji dan memaklumkan kepada semua fakta-fakta sebenar tentang peristiwa 13 Mei 1969 - satu peristiwa hitam 39 tahun yang lalu , yang jelas sangat sensitif dan boleh menimbulkan sentimen perkauman?
Apakah keuntungannya? Adakah untuk membakar hati, perasaan dan mencetuskan lebih banyak riak-riak perkauman di negara tercinta ini? Adakah jika Malaysia menjadi negara 'perkauman' maka hanya anak cucu ahli Barisan Nasional (BN) sahaja yang akan menderita? Dari segi kaum, Malaysia sebenarnya ibarat telur dihujung tanduk, jika ada pihak yang 'mencucuk' pasti padah akibatnya.
Saya sentiasa menyuburkan rasa hormat, toleransi dan keharmonian di kalangan masyarakat yang berbilang kaum, tetapi ahli politik yang bijak pandai pula sentiasa berusaha 'mencetuskan' riak-riak perkauman yang tidak mustahil bakal menjadi ombak atau tsunami!
l Apakah tujuan sebenar di lubuk hati pemimpin parti tertentu yang ingin 'membeli' ahli Parlimen BN Sabah sedangkan tin- dakan itu memang sangat jelas berunsur 'rasuah'? Mengapa tidak sabar menunggu pilihan raya umum ke-13 dan biar rakyat membuat keputusan?
Bagaimana kerajaan bersih rasuah ingin dibina jika titik permulaan pembinaannya adalah rasuah? Ahli Parlimen yang pernah dipujuk, dijanjikan jumlah jutaan ringgit ha- rus sentiasa ingat, yang cuba dibeli bukanlah sokongan YB tetapi maruah dan harga diri.
Sekali maruah dan harga diri telah di- jual, YB tiada harga diri lagi dan akan di- perkotak katikkan sahaja. Tepuk dada tanyalah akal jangan tanya imaginasi.
l Jika benar dakwaan ahli-ahli Parlimen Sabah dan Sarawak yang menyatakan bahawa jumlah yang ditawarkan untuk melompat parti menyertai sangat besar sehingga boleh hidup senang lenang selama tiga generasi, saya rasa sungguh kagum dengan kemampuan pihak terlibat dari segi kewangan.
Persoalannya, jika setiap seorang ditawarkan sedemikian besar jumlah wangnya, berapakah yang terpaksa dibayar untuk mendapatkan sepuluh, dua puluh atau tiga puluh ahli Parlimen ? Saya tertany-tanya dari mana pihak ini mendapat 'dana' atau sumber kewangan tersebut?
Saya sangat berharap tidak ada pihak yang sanggup 'berurus niaga' atau 'menandatangani MOU' dengan mana-mana 'pihak luar' semata-mata untuk menidakkan undi rakyat dalam pilihan raya umum ke- 12 yang lalu demi menjatuhkan kerajaan pilihan rakyat.
Jika ini berlaku, tindakan pihak ini sangat hina , malah lebih jauh hina daripada pihak yang sering mereka hina. Sejarah banyak membuktikan bahawa kemusnahan sesebuah negara berpunca daripada pengkhianat dalam negara itu sendiri yang membuka ruang kepada pihak luar. Jadikan sejarah sebagai panduan agar anak cucu tidak menghina dan meludah.
Pada pandangan saya, pihak pembangkang di Parlimen seharusnya menunjukkan kredibiliti memantau pentadbiran kerajaan pilihan rakyat, menegur kesilapan dan kelemahan, memperjuangkan hak-hak rakyat yang tidak diberi perhatian oleh kerajaan dan memberi cadangan-cadangan bernas demi meningkatkan taraf hidup, ekonomi dan sosial rakyat.
Walau berbeza fahaman politik, pembangkang mahupun kerajaan akan sepakat mempertahankan kedaulatan daripada ancaman luar demi negara tercinta bukannya memperjudikannya walau atas apa alasan sekalipun.
Kadang kala saya lihat, ketaksuban parti politik di Malaysia terhadap fahaman masing-masing mengatasi rasa kasih dan sayang terhadap agama, bangsa dan negara. Mungkin kerana itu , Pas dan UMNO tidak mungkin seiring sebagai 'pakatan'.
Mungkin sebab itu UMNO boleh bergandingan dengan pelbagai parti dalam BN tetapi sukar berpimpinan dengan Pas. Mungkin sebab itu Pas lebih rela 'memeluk' DAP atau mungkin bagi Pas, UMNO lebih kafir daripada DAP? Saya tidak tahu apa jawapannya.

TUN MAHATHIR KELUAR UMNO

Tun Mahathir keluar UMNO
19/05/2008 2:02pm
ALOR STAR 19 Mei _ Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad hari ini mengumumkan keluar daripada UMNO.
Menurutnya, surat rasmi mengenainya akan dihantar kepada Setiausaha Agung UMNO secepat mungkin.
Katanya, beliau akan berada di luar UMNO selagi Presiden UMNO, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi memimpin parti itu.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan ucapan bertajuk `Kedudukan Orang Melayu Pasca Pilihan Raya Umum Ke-12’ di sini hari ini.

Wednesday, May 14, 2008

PESAWAH SEKINCHAN HASIL 13 TAN METRIK PADI SEHEKTAR

Pesawah Sekinchan Hasil 13 Tan Metrik Padi Sehektar

Sekinchan, yang menjadi antara kawasan penanaman padi yang utama di Selangor, kini boleh berbangga dengan keupayaannya menghasilkan padi mencapai sehingga 13 tan metrik untuk setiap satu hektar.
Bukan setakat itu sahaja, padi yang dihasilkan juga bermutu tinggi.
Berbanding dengan Kedah, yang bergelar jelapang padi, Pulau Pinang, Perak, Kelantan dan Terengganu merupakan antara negeri yang menghasilkan sebahagian besar padi tempatan dengan purata empat tan bagi setiap hektar.
Jumlah empat tan sehektar itu adalah purata bagi seluruh negara, namun di Selangor terutamanya pesawah di Sekinchan hasil padi mereka mampu mencapai sehingga 13 tan metrik sehektar dengan kualiti padi yang amat baik.
Angka ini melebihi had minimum yang ditetapkan oleh kerajaan iaitu tujuh hingga lapan tan sehektar.
Oleh itu timbul persoalan apakah yang membezakan keupayaan pesawah di kawasan ini berbanding pesawah di negeri lain?
Juga timbul persoalan sama ada pengeluaran padi boleh ditingkatkan dengan menambah keluasan bendang ataupun dengan memperkenalkan baka padi yang menjanjikan hasil yang tinggi?
Sekarang ini keluasan sawah di seluruh negara ialah kira-kira 650,000 hektar.
RAHSIA DI SEBALIK KEJAYAAN PETANI SEKINCHAN
Hasil yang tinggi banyak bergantung kepada cara pengurusan sawah.
Walaupun memiliki sawah yang luas, infrastruktur serta sistem pengurusan yang tidak betul boleh menjejaskan hasil keluaran padi.
Paling penting ialah sistem saliran yang dilaksanakan di kawasan Sekinchan dan kawasan sawah lain di Selangor. Pesawah di sini memiliki sistem saliran yang terbaik dan sistematik.
Secara keseluruhannya, sistem saliran yang membekalkan air dibuat pada setiap petak dan ini membolehkan setiap petak menerima jumlah air yang sama.
Berbanding di sesetengah tempat, pesawah hanya menggunakan satu tali air untuk mengairi beberapa petak sawah. Ini menyebabkan jumlah air yang diterima oleh petak yang terletak jauh dari tali air berkurang.
Selain itu, kesediaan hampir 90 peratus penanam padi di kawasan itu menggunakan teknologi mesin "transplan" (penyemai) sejak empat tahun lepas juga menyumbang kepada peningkatan hasil padi mereka.Walaupun teknologi dari Jepun dan Taiwan ini bukan baru di negara ini, tetapi ia tidak digunakan sepenuhnya oleh pesawah.
Proses penghasilan anak padi jenis MR219 dilakukan di tapak semaian sebelum dipindahkan ke petak-petak sawah menggunakan mesin "transplan". Walaupun kosnya agak tinggi iaitu mencecah RM850 satu lot (1.2 hektar), hasil padinya lebih tinggi berbanding menanam menggunakan teknik tabur yang hanya menelan kos RM400.
Jarak yang teratur iaitu 10 inci di antara satu rumpun dengan rumpun lain membolehkan cahaya matahari sampai hingga ke bahagian bawah secara sekata. Bahkan dapat mengelak daripada ancaman tikus dan serangga yang gemar bersembunyi di rumpun pokok yang terlalu rapat.
JANGAN TABUR, TUNGGU DAN TUAI SAHAJA
Jika pesawah hanya bergantung kepada 3T iaitu tabur, tunggu dan tuai sahaja, hasilnya adalah sekitar enam hingga tujuh tan metrik bagi satu lot.
Pengurusan baja secara tepat dan berkala adalah langkah terbaik. Pesawah kena tahu teknik dan waktu yang paling tepat untuk menabur baja. Kita mesti letak baja yang cukup untuk hasilkan buah yang banyak.
Ramai pesawah di sini yang menggunakan baja tambahan dan menampung perbelanjaan lebih daripada RM1,000 untuk membeli baja tambahan jenis Urea Campuran 15 dan baja buah. Barulah dapat hasil seperti ini.
Pengeluaran padi di kawasan Sekinchan sudah mencapai tahap maksimum dan adalah mustahil bagi mereka untuk meningkatkan lagi hasil berdasarkan kemampuan yang ada.
SEDIA BERKONGSI TEKNOLOGI DENGAN PESAWAH LAIN
Teknologi serta maklumat yang dimiliki oleh pesawah di Sekinchan dapat dikongsi dengan pesawah di negeri-negeri lain.
Kaedah penanaman padi sedemikian turut diamalkan oleh pesawah-pesawah Cina dan India yang bersempadan dengan mereka.
Perkongsian maklumat dan pemindahan teknologi berlaku secara tidak langsung apabila mereka ini mengambil upah meracun dan membaja bendang-bendang di Sekinchan.
Ramai di kalangan pesawah di sini terdiri daripada mereka yang telah berusia 50 tahun ke atas. Bila sudah tua, tenaga pula semakin kurang. Hendak tabur racun dan benih pun tak larat. Jadi kenalah upah orang.
Cara ini secara tidak langsung mendidik penduduk kampung di sekitar mempelajari teknik pesawah di kawasan itu yang kemudiannya dicuba di sawah mereka sendiri.
Ini juga antara faktor yang menyumbang kepada peningkatan hasil padi di Sekinchan dan mungkin boleh dicuba di tempat lain pula bagi menambah hasil padi negara.
CADANG PADI HIBRID
Penggunaan benih padi daripada jenis MR219, MR220 dan MR232 yang dibekalkan oleh MARDI mungkin perlu diperbaharui.
Cadangan padi hibrid jenis 'Siraj' diteruskan kerana ia bukan sahaja mengeluarkan hasil yang bermutu tinggi malah bilangan biji juga lebih sekali ganda tinggi.
Contohnya, satu tangkai padi benih biasa boleh menghasilkan kira-kira 200 biji padi manakala padi Siraj boleh mengeluarkan kira-kira 400 biji padi pada satu tangkai.
Hasil padi hibrid lebih tinggi dan kerajaan juga boleh menggunakan tanah-tanah terbiar di Malaysia bagi penanaman padi.
Padi hibrid telah diusahakan di China sejak 30 tahun yang lepas. Kita pernah mencubanya sekali. Kali pertama hasilnya tidaklah tinggi sangat, tetapi kalau diteruskan, saya berpendapat ia satu cara untuk meningkatkan hasil keluaran padi.
Buat masa ini Malaysia mengeluarkan 72 peratus daripada bekalan beras yang diperlukan bagi 27 juta penduduknya. Bekalan selebihnya diimport dari Thailand, Vietnam, Pakistan, China dan India.Menjelang 2010, Malaysia dijangka mampu menghasilkan 90 peratus daripada beras yang diperlukannya.

Monday, May 12, 2008

JANGAN BERMAIN API

Apabila Pengerusi DAP, Karpal Singh dengan lantang mengadakan sidang akhbar di lobi Parlimen, baru-baru ini bagi mempersoalkan bidang kuasa Sultan Perak, ramai orang Melayu terkejut dan marah. Mereka tertanya-tanya apa sudah jadi dengan senario politik negara apabila ada ahli politik mempertikaikan institusi raja?

Buat permulaan, mereka hanya mendengar kecaman demi kecaman ke atas kebiadapan Karpal tetapi belum ada tindakan konkrit bagi membolehkan Ahli Parlimen Bukit Gelugor itu disiasat di bawah Akta Hasutan.
Mungkin kerana tiada tindakan juga, Karpal seolah-olah mencabar lagi apabila mempertikaikan pula titah ucapan Yang di-Pertuan Agong.
Ketika itu timbul persoalan, apakah kebiadapan Karpal harus dibiarkan sedangkan adalah jelas apa yang beliau lakukan mampu mencetuskan kemarahan kepada orang Melayu?
Akhirnya, pada Khamis lalu, kemarahan yang membara diterjemahkan apabila UMNO melalui Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor membuat laporan polis ke atas Karpal di Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul, Kuala Lumpur.
Pada hari yang sama, lima ahli Parlimen dan NGO turut mengambil langkah yang sama dan ia dianggap amaran awal kepada Karpal bahawa beliau harus bersedia untuk menghadapi kemungkinan-kemungkinan akibat kebiadapan yang ditunjukkan.
UMNO terpaksa membuat laporan polis setelah mendapati kenyataan Karpal mempunyai kecenderungan menghasut dan menimbulkan kemarahan orang Melayu.
Setakat ini, Karpal masih berdegil dan tetap mempertahankan pendiriannya. Malah beliau juga menegaskan, kenyataan beliau telah dipolitikkan oleh UMNO.
Tetapi persoalannya, dari satu segi kenapakah Karpal begitu berani membuat kenyataan mempertikaikan tindakan Sultan Azlan Shah menitahkan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin menarik balik arahan penukaran Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (JAIP), Datuk Jamry Sury?
Apa yang perlu difahami, ketegasan UMNO dalam soal ini bukanlah kerana kenyataan itu dibuat oleh Karpal yang merupakan anggota pembangkang dalam Parlimen tetapi demi mengelakkan ia mencetuskan isu perkauman memandangkan institusi raja amat dekat dengan kedaulatan Melayu.
Malah ketika mengulas perkara ini, Peguam terkemuka, Datuk Muhammad Shafee Abdullah berkata, tindakan Karpal itu boleh dianggap melaga-lagakan rakyat dan istana.
Menurut beliau tindakan boleh diambil sekiranya orang Melayu terluka dan marah dengan kenyataan Karpal.
Oleh itu apabila Karpal mempertikaikan Sultan, ia bermakna beliau menyentuh soal sensitiviti orang Melayu dan ia ibarat sengaja bermain api.
Dalam isu seumpama ini, bukan kata Karpal malah sesiapa juga yang cuba bermain isu yang sama pasti akan berhadapan dengan risiko yang serupa.
Ini kerana terdapat tiga perkara yang melibatkan raja-raja Melayu yang sama sekali tidak boleh dipersoalkan, pertama, individu tidak boleh mengeluarkan sebarang kenyataan mengenai sultan dan raja sekiranya ungkapan itu berbau perkauman.
Dua lagi perkara ialah hak keistimewaan orang Melayu dan agama Islam yang raja adalah penjaga mutlak kedua-duanya.
Justeru Karpal tidak perlu lagi berdolak-dalih kerana zaman keterbukaan yang melanda Malaysia sekarang bukan bermakna beliau boleh berkata apa sahaja.
Beliau juga harus memahami kejayaan DAP memenangi banyak kerusi di Parlimen, menawan Pulau Pinang dan menjadi 'dalang' pemerintahan di Selangor dan Perak bukanlah lesen untuk DAP atau beliau sendiri menunjukkan belang mereka sehingga begitu berani mempertikaikan perkara yang tidak sepatutnya.
Tindakan Karpal itu menunjukkan bahawa walaupun baru mempunyai 'sedikit kuasa', DAP cuba menjadi jaguh dan seolah-olah ingin membalas dendam terhadap apa yang mereka tidak boleh sentuh selama ini terutamanya perkara yang berkaitan dengan orang Melayu.
Mungkin juga keberanian Karpal itu berlandaskan kepada pegangan bahawa rakan-rakan sekutu mereka iaitu Pas dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) tidak akan berkata apa-apa kerana jika tersilap membuat kenyataan, ia boleh mendatangkan kesan buruk dalam hubungan antara mereka.
Pas dan PKR seolah-olah lebih rela untuk menjaga hati Karpal.
Ini terbukti apabila beberapa pemimpin Pas yang diminta mengulas kebiadapan Karpal pada mulanya enggan berbuat demikian. Mereka termasuklah Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Naib Presiden Pas, Datuk Husam Musa.
Sikap tidak mahu memberi ulasan atau mengkritik kenyataan Karpal itu jelas menunjukkan di Perak, pemerintahan Pas yang diketuai oleh Ir.Mohamad Nizar tidak lebih daripada boneka semata-mata. Pas ternyata tidak berani berkata apa-apa apabila timbul isu yang melibatkan DAP dan PKR.
Apa yang lebih malang, walaupun Sultan Perak dipertikaikan, Ir. Mohamad Nizar sendiri mengambil jalan selamat dengan tidak mengulas kenyataan Karpal.
Ir.Mohamad Nizar amat memahami jika beliau mengkritik Karpal, ia ibarat sengaja menempah jalan keluar dari pejabat Menteri Besar.
Ini kerana Pas menjadi teraju kerajaan Perak atas 'simpati' DAP. Pas tiada kekuatan di negeri itu. Atas sebab itulah selain Kelantan dan Kedah, Pas tidak pernah mendakwa bahawa mereka memerintah Perak. Pas amat memahami mereka hanya 'menumpang kebahagiaan' orang lain.
Adalah sesuatu yang aneh Pas begitu berlembut dengan Karpal biarpun selama ini, Pengerusi DAP itulah yang paling lantang menentang sebarang usaha melaksanakan pemerintahan Islam oleh Pas.
Malah Karpal pernah menyatakan meminta pemimpin Pas melangkah mayatnya dahulu kalau mahu melaksanakan pemerintahan Islam.
Menyedari tindakan tidak 'mengecam' Karpal boleh mendatangkan sedikit masalah kepada politik Pas, Nik Abdul Aziz akhirnya bersuara di Kuala Krai pada Jumaat lalu. Beliau dengan tegas menyifatkan, tindakan Karpal adalah tidak betul dan boleh dianggap derhaka.
Bagaimanapun pemimpin-pemimpin Pas yang lain membisu seribu bahasa. Mereka mungkin akan terus dibelenggu dengan teori bahawa segala yang berlaku adalah permainan politik UMNO.
Pemimpin Pas tidak boleh bersikap demikian kerana apa yang dilakukan oleh UMNO bertujuan memastikan tidak akan ada mana-mana pihak memperlekehkan institusi raja.
Kelantangan Karpal juga seharusnya menjadi ingatan kepada orang Melayu bahawa jika mereka tidak berhati-hati, lebih banyak pihak akan mempertikaikan hak dan keistimewaan mereka.
Kita bukanlah ingin mencetuskan isu perkauman tetapi di zaman yang dikatakan segala-galanya telus dan terbuka ini, rasa hormat terhadap hak orang Melayu semakin berkurangan.
Semua ini berlaku kerana pihak berkenaan amat memahami bahawa orang Melayu sudah tidak boleh bersatu lagi biarpun institusi raja yang menjadi lambang kedaulatan Melayu dipertikaikan.
Perpecahan di kalangan orang Melayu dan semakin kurangnya kuasa politik berikutan keputusan pilihan raya umum lalu seolah-olah menjadi kesempatan terbaik untuk pihak tertentu memperkotak-katikkan kaum itu.
Dalam isu Karpal contohnya, hanya UMNO dan ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) sahaja dilihat tegas.
Keadaan itu tentulah menimbulkan persepsi bahawa parti-parti politik yang dianggotai orang Melayu terlalu sukar disatukan, biarpun hak, kepentingan dan keistimewaan mereka diganggu.
Apapun adalah wajar 'kes Karpal' ini dijadikan pengajaran kepada orang Melayu untuk bersatu bagi mengelakkan lebih ramai pihak 'bermain dengan api'.

Friday, May 09, 2008

JANGAN SAMPAI MELAYU KENA BULI

JANGAN SAMPAI MELAYU KENA BULI
Jika ditanya sekarang ini kepada orang bukan Melayu, apa kuasa yang ada pada orang Melayu? Jawab mereka orang yang berkulit sawo matang ini adalah pemerintah kerajaan, kakitangan awam, polis, tentera, pihak yang ada kuasa penguatkuasaan dan suka menyaman orang. Pada mereka golongan ini tidak memberikan keadilan kepada mereka kerana yang menguatkuasakannya adalah majoritinya orang Melayu.

Sedangkan undang-undang tidak mengenal warna kulit, bangsa dan agama. Yang salah tetap salah. Cuma pelaksana undang-undang dan peraturan adalah kebanyakkannya orang Melayu, persepsi mereka orang Melayu sering menyalahgunakan kuasa untuk menindas kaum lain.

Tanyalah peniaga haram VCD, pekedai yang meletakkan barangan di kaki lima kedai, pemandu yang sering melakukan kesalahan jalan raya dari kaum lain, mereka akan mengutuk “kerajaan” kerana mengambil tindakan undang-undang atau saman terhadap mereka. Pada mereka saman yang dikeluarkan oleh bangsa asing daripada mereka adalah suatu diskriminasi kaum, kononnya. Padahal apabila mereka di saman membuang sampah di Singapura atau menahan teksi bukan di tempatnya di Hong Kong, tidak pula mereka “mengutuk” petugas yang mengeluarkan saman. Ini kerana petugas itu sama bangsa dengan mereka dan takut pula sehingga tergesa-gesa membayar saman.

Ironinya keadaan sebegini telah lama berlaku. Mereka benci kerajaan kerana sering mengganggu kerja harian mereka terutamanya peniaga yang menjalankan perniagaan yang menyalahi undang-undang dan peraturan. Secara langsungnya mereka telah di tanam membenci Melayu juga kerana dalam benak otak mereka kerajaan itu Melayu dan Melayu itu kerajaan.

Kini, mereka semakin berani menonjolkan kemarahan mereka terhadap kerajaan apabila pembangkang semakin kuat dalam penguasaan kuasa sama ada di parlimen ataupun dewan undangan negeri. Pada mereka 82 kerusi pembangkang di parlimen, menang hampir semua kerusi di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan memerintah 5 negeri di Semenanjung telah menyemarakkan lagi penonjolan secara terbuka sikap anti kerajaan dan anti Melayu secara langsungnya.

Golongan penentang secara senyap ini semakin membara anti Melayunya apabila dengan secara tiba-tiba beberapa pemimpin kaum bukan Melayu mula mengkritik kerajaan dan orang Melayu secara terbuka. Sifir di sini cukup mudah – kerajaan itu Melayu, Raja itu Melayu dan UMNO itu Melayu. Lebih naik tocang golongan penentang senyap ini ialah apabila pemimpin bukan Melayu dari komponen Barisan Nasional(BN) sendiri yang tewas dalam pilihan raya dan yang menang tetapi tidak di pilih menganggotai kabinet mula melakukan “serangan terbuka” kepada pemimpin kerajaan dan UMNO.

Ong Ka Ting telah mula mengutuk orang Melayu dan Tengku Mahkota Kelantan apabila satu perhimpunan untuk menyatupadu dan memperkasakan Melayu dikatakan cuba menimbulkan sentimen anti perpaduan. Ketuanan Melayu mula dicabar dan sudah berani bangsa asing mempertikaikannya. Salahkah orang Melayu bermuhasabah dan mencari formula untuk bersatu sesama mereka dan di tanah airnya sendiri?.

Samy Vellu dengan lantang mengutuk Dr. Mohamad Khir Toyo kerana beliaulah menyebabkan orang India mengundi pembangkang kerana isu merobohkan kuil Hindu. Yang hairannya kenapa semasa di dalam kerajaan perkara ini tidak diutarakan?. Sungguh mudah menuding jari untuk menyalahkan UMNO yang menyebabkan prestasi partinya merosot. Malah beliau mendesak kerajaan membebaskan lima pemimpin Hindraf yang di tahan di kem Kemunting dengan alasan yang berbaur perkauman.

Pengerusi Gerakan Wilayah Persekutuan pula dengan lantang dan berani mencampuri urusan rumah tangga UMNO dengan menghina UMNO dengan tuduhan orang UMNO asyik suka berebut jawatan dan kuasa sehingga berani mencadangkan UMNO menukar pecuk pimpinan parti.

Apakah sudah ada suatu pakatan sulit oleh pihak tertentu untuk melupuskan Melayu dari negaranya sendiri? Kuasa ekonomi, golongan profesional seperti doktor, peguam, jurutera dan akauntan sememangnya sudah dikuasai oleh bukan Melayu. Malah pemilikan hartanah terutamanya di bandar sudah lama dikuasai oleh bangsa asing. Apakah sudah ada gerakan sulit orang bukan Melayu tanpa mengira parti di pihak kerajaan atau pembangkang, untuk menguasai kuasa politik pula?.

Perkara ini sebenarnya tidak mustahil untuk menjadi kenyataan. Dalam suasana politik negara masa kini, tidak mustahil aspek politik yang satu-satunya dikuasai oleh orang Melayu akan terhakis sedikit demi sedikit. Jika diambil kira 60 peratus penduduk Malaysia adalah orang Melayu, secara mudahnya keanggotaan ahli parlimen yang seramai 222 orang itu semestinyalah lebih kurang 133 orang ahli parlimen dari orang Melayu. Keputusan pilihan raya 2008 menunjukkan ahli parlimen orang Melayu hanya seramai 124 orang sahaja iaitu termasuk dari parti UMNO, PKR, PAS dan parti dari Sarawak. UMNO sebagai tonggak pejuang orang Melayu hanya ada 78 kerusi sahaja. Bayangkan semua ahli parlimen bukan Melayu bersatu dan termasuk “pak turut DAP” orang Melayu dari PAS dan PKR menentang UMNO, apa akan jadi kepada negara dan bangsa Melayu? Sebenarnya suara jati orang Melayu iaitu diwakili oleh UMNO di parlimen hanyalah 35 peratus sahaja dari keseluruhan ahli parlimen. Fikirkanlah.

Atas perkiraan sebegitulah ahli politik bukan Melayu semakin lantang menghina UMNO dan orang Melayu kerana mereka tahu orang Melayu sudah tidak kuat dalam kuasa politik. Pada mereka orang Melayu di dalam PAS dan PKR tidak boleh berbuat apa-apa kerana terikat dengan paksi Pakatan Rakyat yang didominasi oleh DAP. Lebih-lebih lagi mereka sedang kemaruk kuasa terutamanya di Pulau Pinang, Perak dan Selangor. Siapa sebenarnya Menteri Besar Selangor dan Perak kalau bukan DAP?

Akibat idelogi dan janji pakatan untuk menang dalam pilihan raya yang lalu, PAS dan PKR sebenarnya tersepit dalam konteks membela orang Melayu. Kerana rakus berpolitik , mereka sanggup mengenepikan dan melupakan bahawa diri mereka adalah orang Melayu. Yang untung adalah DAP sebenarnya. Lebih parah lagi PKR sendiri yang kononnya parti berbilang kaum (tetapi sebenarnya lebih mirip kepada parti Melayu) mula memeningkan kepala pemimpinnya apabila ramai calon bukan Melayu menang di dalam pilihan raya. PKR juga risau jika ahli bukan Melayu mula menguasai parti.

Hebatkan orang Melayu berpolitik sehingga sanggup menelan jadam walaupun rakan pakatan mereka sudah boleh menghina, mencerca, mengutuk, mencampuri hal rumah tangga orang Melayu dan malah menghina Yang Di Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu. Tanpa mengira UMNO, PAS atau PKR, mereka semuanya sama sahaja kerana sikap orang Melayu sendiri yang terlampau berbudi bahasa, terlampau berlebih kurang, terlampau bersikap tidak apa dan terlampau sangat mengambil hati orang bukan Melayu sehingga bangsa lain sudah boleh memijak kepala orang Melayu.

Akibat percaturan politik orang Melayu sendiri, Karpal Singh dengan bangganya mengadakan sidang media di Parlimen dengan duduk di kerusi roda dan berlatar belakangkan Jata Negara Malaysia, telah secara bongkak, ego dan sombongnya mempertikaikan kuasa Sultan Perak dan campurtangan istana dalam pentadbiran negeri. Tidak cukup dengan itu, selang sehari sahaja beliau turut mempertikaikan titah Yang Di Pertuan Agong semasa upacara perasmian persidangan parlimen penggal yang ke 12. Mengapa Karpal Singh berani berkata-kata sebegitu?. Jawabnya beliau sudah tahu kuasa politik orang Melayu semakin lemah dan berpecah belah. Beliau tahu orang Melayu dalam PKR akan diam seribu bahasa. PAS pula akan memutar belitkan fakta dan akan mengaitkan Islam dan pegangan anti nasiolismenya. Itu sememangnya kerja mereka tanpa mempedulikan hak keistimewaan, ketuanan dan kedaulatan Raja-Raja Melayu.

Apabila orang bukan Melayu mula mengungkitkan kuasa Raja-Raja Melayu, apa reaksi kita sebagai orang Melayu?. Di sini jelas menunjukkan walaupun sultan sebagai ketua negeri dan jajahan takluknya, orang bukan Melayu sekarang ini langsung tidak peduli. Jika pemimpin politik mereka boleh berkata sebegitu, bayangkan golongan bawahan apa pula kata mereka yang semestinya tidak ditapis ayatnya dan malah lebih hina dan provokasi sekali ungkapan mereka.

Mungkin secara kebetulan sebaik sahaja tamat Kongres Permuafakatan Melayu di Persada Johor pada 2 Mei hingga 4 Mei lalu, maka perbagai isu mula dibangkitkan. Apakah bukan Melayu cemburu apabila Melayu bersatu? Apakah hak mereka untuk mencampuri urusan dalaman orang Melayu sehinggakan majlis perpaduan dan perbincangan orang Melayu pun hendak dipertikaikan?

Salah kita sendiri kerana sebelum ini orang Melayu terlampau toleransi dengan bangsa lain dengan kata-kata “tak apa..kita negara berbilang kaum..mestilah saksama”. Akibatnya orang Melayu secara keseluruhan telah mula dihina, dicerca dan dipertikaikan pula hak ketuanan orang Melayu dan melindungi hak orang Melayu di bawah Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan.

Malah isu menghunus keris oleh Ketua Pemuda UMNO Malaysia turut dipertikaikan. Apakah keris sebagai lambang kekuatan, tradisi dan sejarah Melayu pun boleh dipertikaikan?. Sungguh malang sekali. Lebih malang lagi orang Melayu sendiri memohon maaf kepada bangsa lain secara terbuka untuk menutup isu keris yang kononnya menjadi suatu isu besar semasa pilihan raya lalu? Apakah benar besar isu tersebut ataupun takut dengan bayang-bayang sendiri kerana terlalu taksub mengamalkan toleransi dalam kepartian sehingga sanggup melukakan hati orang Melayu?. Kita hendak hunus ke, nak asap kemiyan ke keris tersebut, mengapa pula cepat melatah?. Sedangkan upacara tersebut sudah lama berlaku dan berlangsung di dalam “rumah UMNO’ sendiri iaitu di PWTC bukannya di dewan MCA. Terlampau sangat bertolak ansur sehingga bangsa lain hilang hormat kepada orang Melayu.

Segala yang keji dan buruk sebenarnya sudah berlaku kepada orang Melayu. Yang belum lagi ialah dibuli, disiksa dan dihalau dari tanah airnya sendiri. Apakah orang Melayu baru hendak bersatu apabila perkara tersebut berlaku?. Mungkin sudah terlambat umpama nasi menjadi bubur. Tetapi masih belum terlewat jika kita benar-benar ikhlas untuk bersatu dengan menolak segala idealogi politik dan mesti bebas unsur peribadi.

Melayu boleh perkasa jika amalan turun temurun iaitu “perasaan hasad dengki” dihapuskan dari sanubari setiap insan yang bergelar orang Melayu. Kekalkan institusi raja sebagai lambang dan payung keutuhan jatidiri dengan pengekalan tradisi orang Melayu.

Ketepikan ego dan bongkak disamping musnahkan tamak dan haloba untuk berjaya dalam kehidupan. Sandaran kepada bangsa lain perlu dihapuskan kerana Melayu boleh berdikari jika mental kita terbuka dan kuat semangat keMelayuannya. Pedulikan apa yang hendak diperkatakan oleh Karpal Singh, Lim Kit Siang, Samy Vellu, Ong Ka Ting dan lain-lain. Orang Melayu mesti sanggup melakukan revolusi mental dirinya sendiri. Gerakkan semboyan untuk mengejutkan orang Melayu yang masih tidur dan dibuai mimpi. Padukan tenaga membimbing generasi muda agar mengenal siapa sebenarnya bangsa mereka yang bernama Melayu agar mereka tidak hanyut akibat pengaruh kemodenan suntikan pemusnah ala “penghapusan etnik” secara saraf dan materialistik.

Mungkin kata-kata Al Marhum Pak Hamka “Mereka tahu kelemahan kita dan tidak susah untuk memusnahkan kita. Hanya jihad bangsa dan agama sahaja yang boleh mengagungkan kita”, boleh diambil panduan sebagai pemula gerak perpaduan Melayu untuk menjamin ketuanan, hak dan keistimewaan orang Melayu tidak boleh dipertikaikan oleh sesiapa pun.