Monday, May 19, 2008

KESAN PERMAINAN POLITIK - SIAPA KENA TANGGUNG?


SAYA sangat terpanggil untuk menulis apabila beberapa persoalan tidak dapat saya cari penjelasan dan jawapannya walaupun setelah berfikir berkali-kali. Sebagai rakyat Malaysia, saya benar-benar tidak faham, merasa hairan, pelik dan sangsi akan perkara-perkara berikut:
l Apakah motif, rasional, faedah dan hidden agenda pihak tertentu hingga bersungguh-sungguh mengeluar kenyataan ber- sama menuntut kerajaan menubuhkan Suruhanjaya Kebenaran dan Rekonsiliasi untuk mengkaji dan memaklumkan kepada semua fakta-fakta sebenar tentang peristiwa 13 Mei 1969 - satu peristiwa hitam 39 tahun yang lalu , yang jelas sangat sensitif dan boleh menimbulkan sentimen perkauman?
Apakah keuntungannya? Adakah untuk membakar hati, perasaan dan mencetuskan lebih banyak riak-riak perkauman di negara tercinta ini? Adakah jika Malaysia menjadi negara 'perkauman' maka hanya anak cucu ahli Barisan Nasional (BN) sahaja yang akan menderita? Dari segi kaum, Malaysia sebenarnya ibarat telur dihujung tanduk, jika ada pihak yang 'mencucuk' pasti padah akibatnya.
Saya sentiasa menyuburkan rasa hormat, toleransi dan keharmonian di kalangan masyarakat yang berbilang kaum, tetapi ahli politik yang bijak pandai pula sentiasa berusaha 'mencetuskan' riak-riak perkauman yang tidak mustahil bakal menjadi ombak atau tsunami!
l Apakah tujuan sebenar di lubuk hati pemimpin parti tertentu yang ingin 'membeli' ahli Parlimen BN Sabah sedangkan tin- dakan itu memang sangat jelas berunsur 'rasuah'? Mengapa tidak sabar menunggu pilihan raya umum ke-13 dan biar rakyat membuat keputusan?
Bagaimana kerajaan bersih rasuah ingin dibina jika titik permulaan pembinaannya adalah rasuah? Ahli Parlimen yang pernah dipujuk, dijanjikan jumlah jutaan ringgit ha- rus sentiasa ingat, yang cuba dibeli bukanlah sokongan YB tetapi maruah dan harga diri.
Sekali maruah dan harga diri telah di- jual, YB tiada harga diri lagi dan akan di- perkotak katikkan sahaja. Tepuk dada tanyalah akal jangan tanya imaginasi.
l Jika benar dakwaan ahli-ahli Parlimen Sabah dan Sarawak yang menyatakan bahawa jumlah yang ditawarkan untuk melompat parti menyertai sangat besar sehingga boleh hidup senang lenang selama tiga generasi, saya rasa sungguh kagum dengan kemampuan pihak terlibat dari segi kewangan.
Persoalannya, jika setiap seorang ditawarkan sedemikian besar jumlah wangnya, berapakah yang terpaksa dibayar untuk mendapatkan sepuluh, dua puluh atau tiga puluh ahli Parlimen ? Saya tertany-tanya dari mana pihak ini mendapat 'dana' atau sumber kewangan tersebut?
Saya sangat berharap tidak ada pihak yang sanggup 'berurus niaga' atau 'menandatangani MOU' dengan mana-mana 'pihak luar' semata-mata untuk menidakkan undi rakyat dalam pilihan raya umum ke- 12 yang lalu demi menjatuhkan kerajaan pilihan rakyat.
Jika ini berlaku, tindakan pihak ini sangat hina , malah lebih jauh hina daripada pihak yang sering mereka hina. Sejarah banyak membuktikan bahawa kemusnahan sesebuah negara berpunca daripada pengkhianat dalam negara itu sendiri yang membuka ruang kepada pihak luar. Jadikan sejarah sebagai panduan agar anak cucu tidak menghina dan meludah.
Pada pandangan saya, pihak pembangkang di Parlimen seharusnya menunjukkan kredibiliti memantau pentadbiran kerajaan pilihan rakyat, menegur kesilapan dan kelemahan, memperjuangkan hak-hak rakyat yang tidak diberi perhatian oleh kerajaan dan memberi cadangan-cadangan bernas demi meningkatkan taraf hidup, ekonomi dan sosial rakyat.
Walau berbeza fahaman politik, pembangkang mahupun kerajaan akan sepakat mempertahankan kedaulatan daripada ancaman luar demi negara tercinta bukannya memperjudikannya walau atas apa alasan sekalipun.
Kadang kala saya lihat, ketaksuban parti politik di Malaysia terhadap fahaman masing-masing mengatasi rasa kasih dan sayang terhadap agama, bangsa dan negara. Mungkin kerana itu , Pas dan UMNO tidak mungkin seiring sebagai 'pakatan'.
Mungkin sebab itu UMNO boleh bergandingan dengan pelbagai parti dalam BN tetapi sukar berpimpinan dengan Pas. Mungkin sebab itu Pas lebih rela 'memeluk' DAP atau mungkin bagi Pas, UMNO lebih kafir daripada DAP? Saya tidak tahu apa jawapannya.

No comments: