Pesawah Sekinchan Hasil 13 Tan Metrik Padi Sehektar
Sekinchan, yang menjadi antara kawasan penanaman padi yang utama di Selangor, kini boleh berbangga dengan keupayaannya menghasilkan padi mencapai sehingga 13 tan metrik untuk setiap satu hektar.
Bukan setakat itu sahaja, padi yang dihasilkan juga bermutu tinggi.
Berbanding dengan Kedah, yang bergelar jelapang padi, Pulau Pinang, Perak, Kelantan dan Terengganu merupakan antara negeri yang menghasilkan sebahagian besar padi tempatan dengan purata empat tan bagi setiap hektar.
Jumlah empat tan sehektar itu adalah purata bagi seluruh negara, namun di Selangor terutamanya pesawah di Sekinchan hasil padi mereka mampu mencapai sehingga 13 tan metrik sehektar dengan kualiti padi yang amat baik.
Angka ini melebihi had minimum yang ditetapkan oleh kerajaan iaitu tujuh hingga lapan tan sehektar.
Oleh itu timbul persoalan apakah yang membezakan keupayaan pesawah di kawasan ini berbanding pesawah di negeri lain?
Juga timbul persoalan sama ada pengeluaran padi boleh ditingkatkan dengan menambah keluasan bendang ataupun dengan memperkenalkan baka padi yang menjanjikan hasil yang tinggi?
Sekarang ini keluasan sawah di seluruh negara ialah kira-kira 650,000 hektar.
RAHSIA DI SEBALIK KEJAYAAN PETANI SEKINCHAN
Hasil yang tinggi banyak bergantung kepada cara pengurusan sawah.
Walaupun memiliki sawah yang luas, infrastruktur serta sistem pengurusan yang tidak betul boleh menjejaskan hasil keluaran padi.
Paling penting ialah sistem saliran yang dilaksanakan di kawasan Sekinchan dan kawasan sawah lain di Selangor. Pesawah di sini memiliki sistem saliran yang terbaik dan sistematik.
Secara keseluruhannya, sistem saliran yang membekalkan air dibuat pada setiap petak dan ini membolehkan setiap petak menerima jumlah air yang sama.
Berbanding di sesetengah tempat, pesawah hanya menggunakan satu tali air untuk mengairi beberapa petak sawah. Ini menyebabkan jumlah air yang diterima oleh petak yang terletak jauh dari tali air berkurang.
Selain itu, kesediaan hampir 90 peratus penanam padi di kawasan itu menggunakan teknologi mesin "transplan" (penyemai) sejak empat tahun lepas juga menyumbang kepada peningkatan hasil padi mereka.Walaupun teknologi dari Jepun dan Taiwan ini bukan baru di negara ini, tetapi ia tidak digunakan sepenuhnya oleh pesawah.
Proses penghasilan anak padi jenis MR219 dilakukan di tapak semaian sebelum dipindahkan ke petak-petak sawah menggunakan mesin "transplan". Walaupun kosnya agak tinggi iaitu mencecah RM850 satu lot (1.2 hektar), hasil padinya lebih tinggi berbanding menanam menggunakan teknik tabur yang hanya menelan kos RM400.
Jarak yang teratur iaitu 10 inci di antara satu rumpun dengan rumpun lain membolehkan cahaya matahari sampai hingga ke bahagian bawah secara sekata. Bahkan dapat mengelak daripada ancaman tikus dan serangga yang gemar bersembunyi di rumpun pokok yang terlalu rapat.
JANGAN TABUR, TUNGGU DAN TUAI SAHAJA
Jika pesawah hanya bergantung kepada 3T iaitu tabur, tunggu dan tuai sahaja, hasilnya adalah sekitar enam hingga tujuh tan metrik bagi satu lot.
Pengurusan baja secara tepat dan berkala adalah langkah terbaik. Pesawah kena tahu teknik dan waktu yang paling tepat untuk menabur baja. Kita mesti letak baja yang cukup untuk hasilkan buah yang banyak.
Ramai pesawah di sini yang menggunakan baja tambahan dan menampung perbelanjaan lebih daripada RM1,000 untuk membeli baja tambahan jenis Urea Campuran 15 dan baja buah. Barulah dapat hasil seperti ini.
Pengeluaran padi di kawasan Sekinchan sudah mencapai tahap maksimum dan adalah mustahil bagi mereka untuk meningkatkan lagi hasil berdasarkan kemampuan yang ada.
SEDIA BERKONGSI TEKNOLOGI DENGAN PESAWAH LAIN
Teknologi serta maklumat yang dimiliki oleh pesawah di Sekinchan dapat dikongsi dengan pesawah di negeri-negeri lain.
Kaedah penanaman padi sedemikian turut diamalkan oleh pesawah-pesawah Cina dan India yang bersempadan dengan mereka.
Perkongsian maklumat dan pemindahan teknologi berlaku secara tidak langsung apabila mereka ini mengambil upah meracun dan membaja bendang-bendang di Sekinchan.
Ramai di kalangan pesawah di sini terdiri daripada mereka yang telah berusia 50 tahun ke atas. Bila sudah tua, tenaga pula semakin kurang. Hendak tabur racun dan benih pun tak larat. Jadi kenalah upah orang.
Cara ini secara tidak langsung mendidik penduduk kampung di sekitar mempelajari teknik pesawah di kawasan itu yang kemudiannya dicuba di sawah mereka sendiri.
Ini juga antara faktor yang menyumbang kepada peningkatan hasil padi di Sekinchan dan mungkin boleh dicuba di tempat lain pula bagi menambah hasil padi negara.
CADANG PADI HIBRID
Penggunaan benih padi daripada jenis MR219, MR220 dan MR232 yang dibekalkan oleh MARDI mungkin perlu diperbaharui.
Cadangan padi hibrid jenis 'Siraj' diteruskan kerana ia bukan sahaja mengeluarkan hasil yang bermutu tinggi malah bilangan biji juga lebih sekali ganda tinggi.
Contohnya, satu tangkai padi benih biasa boleh menghasilkan kira-kira 200 biji padi manakala padi Siraj boleh mengeluarkan kira-kira 400 biji padi pada satu tangkai.
Hasil padi hibrid lebih tinggi dan kerajaan juga boleh menggunakan tanah-tanah terbiar di Malaysia bagi penanaman padi.
Padi hibrid telah diusahakan di China sejak 30 tahun yang lepas. Kita pernah mencubanya sekali. Kali pertama hasilnya tidaklah tinggi sangat, tetapi kalau diteruskan, saya berpendapat ia satu cara untuk meningkatkan hasil keluaran padi.
Buat masa ini Malaysia mengeluarkan 72 peratus daripada bekalan beras yang diperlukan bagi 27 juta penduduknya. Bekalan selebihnya diimport dari Thailand, Vietnam, Pakistan, China dan India.Menjelang 2010, Malaysia dijangka mampu menghasilkan 90 peratus daripada beras yang diperlukannya.
1 comment:
Di keadaan negara yang sekarang ini menghadapi kekurangan bahan makanan terutamanya beras sesungguhnya kaedah penanaman di Sekinchan hendaklah di amalkan di negeri-negeri lain.
Tidak guna jika keluasan tanah yang luas tidak dapat di gunakan dengan hasil pengeluaran yang tinggi.Namun demikian terdapat juga petani di sekinchan yang masih menggunakan kaedah 3T. Kerajaan boleh melaksanakan kaedah mengenakan denda kepada petani yang tidak menjaga bendang mereka dengan baik.Kaedah ini rasanya perlu di buat biarpun nampak keras,namun sebagai menjaga kepentingan negara yang mana makanan adalah satu aspek keselamatan negara makan kaedah pelaksanaan undang-undang boleh di pratikkan. Seharusnya para petani yang gagal menjaga bendang dengan baik atau tidak mampu mendapat hasil padi yang tinggi seharusnya menggunakan bantuan daripada petani lain seperti cara pawah kepada petani lain.Caranya ialah dengan membayar upah kepada petani lain yang mahir dan berpengalaman menjaga sawah pada setiap musim pertanian dengan membayar upah berdasarkan tan seperti yang di amalkan sekarang ini. Kaedah ini juga boleh di laksanakan dengan bantuan kerajaan membayar upah bulanan kepada petani sebagai upah menjaga sawah tersebut.Jika pelaksanaan ini dapat di lakukan purata pendapatan padi di Sekinchan @barat laut Selangor akan meningkat,dan membantu negara menghadapi krisis makanan ketika ini.
Post a Comment