Tuesday, September 04, 2012

PATRIOTIK DIKOMPROMI KERANA POLITIK?

PATRIOTIK DIKOMPROMI KERANA POLITIK?

Apa tindakan pihak berkuasa dan kerajaan sekarang?. Ini perkara patriotik bukan politik. Menteri berkaitan keselamatan dalam negeri buat apa?. Itulah persoalan rakyat yang cintakan kedamaian dan keamanan. Itulah yang berlegar di fikiran rakyat yang cintakan negara yang berdaulat dan merdeka.

Hujung minggu yang dipenuhi dengan jamuan rumah terbuka hari raya dan majlis kenduri kahwin telah mencetuskan perbualan hangat perkara-perkara seperti di atas di kalangan tetamu yang hadir. Itu keluhan suara majoriti rakyat yang mahu sesuatu tindakan dikenakan ke atas mereka yang terlibat mempromosikan ‘bendera baru’ Malaysia dan juga insiden memijak gambar Perdana Menteri.

Rata-rata orang ramai bersuara sesama sendiri. Mereka amat marah terhadap insiden ‘bendera baru’. Seperti sudah sepakat, walaupun berlainan ideologi politik, mereka mengutuk keras insiden tersebut. Malah mereka juga melontarkan persoalan utama, jika pihak yang berkuasa tidak mengambil tindakan, hendak mengharapkan siapa pula?

Apakah semboyan pilihan raya umum yang telah lama dibunyikan, maka perkara mencabar kedaulatan dan maruah negara boleh dikompromi dan di ‘lembutkan’ tindakannya?. Ini insiden melibatkan kenegaraan dan kedaulatan negara. Lebih-lebih lagi ianya berlaku diambang sambutan kemerdekaan negara yang ke 55. Dimanakah jatidiri warganegara yang sewenang-wenangnya boleh mempermainkan panji negara?

Pemimpin negara harus ingat bahawa dalam mengejar populariti dan sokongan rakyat untuk meraih undi dalam pilihan raya, suara majoriti rakyat yang tidak menganggotai mana-mana parti politik tidak harus dibiarkan begitu sahaja. Berjuta rakyat yang mempunyai hak mengundi dan tidak mendokong mana-mana parti politik sedang memerhatikan tindakan selanjutnya daripada pemimpin negara berkaitan insiden tersebut.

Jangan sampai insiden ‘bendera baru’ ini akan mengakibatkan kerajaan sekarang hilang populariti dan hilang undi. ‘Silent voter’ boleh beralih arah pada bila-bila masa sahaja. Tagihan slogan Janji Ditepati mampu dilupakan oleh golongan ini akibat tiadanya tindakan segera dan keras dari pihak berkuasa.

Jangan takut mengambil tindakan disebabkan takut sokongan politik akan berkurangan. Ini soal patriotik bukannya politik.

Sudah lebih 50 jam insiden paling memalukan dalam sejarah negara berlaku, tetapi tiada apa-apa tindakan dari pihak yang berkuasa. Apakah kita inginkan suatu tindakan daripada ‘pihak yang tidak berkuasa’ untuk mengambil tindakan?.

Inilah akibatnya apabila ghairah berpolitik mendahului segala-galanya. Mereka lupa segala amalan demokrasi dan keluhuran perlembagaan. Gaya politik menghalalkan cara semakin menjadi-jadi kebelakangan ini. Mereka sudah lupa pembentukan Rukun Negara. Kerajaan dan pembangkang sudah lupa inti pati doktrin Rukun Negara yang secara rasminya dikenali sebagai ideologi negara.

Rukun Negara adalah usaha kerajaan pada masa itu untuk menyatupadukan semua rakyat dan mengekalkan demokrasi. Rukun Negara dicipta dan diisytiharkan sebagai Rukun Negara oleh Yang di-Pertuan Agong pada 31 Ogos 1970, iaitu sempena kemerdekaan negara yang ke 13.
Jika setiap rakyat mendukung Rukun Negara, nescaya tiada unsur-unsur ancaman keselamatan kepada negara. Nilai jati diri dan kesedaran sivik pasti tinggi di sanubari seluruh warganegara.

Kerajaan seharuskan mengurangkan aktiviti yang menjurus kepada menagih sokongan politik untuk menghadapi pilihan raya. Ubahlah mentaliti setiap program yang dilaksanakan mesti diselitkan dengan provokasi memancing undi. Rakyat sudah letih sebenarnya.

Pemimpin negara seharusnya mengetahui bahawa jutaan pengundi berada di atas pagar. Hak mereka untuk mengundi parti mana yang bertanding. Jika asyik dimomokkan dengan slogan politik dan majlis rasmi negara pun masih hendak berpolitik, saya rasa sampai satu peringkat rakyat akan meluat.

Rakyat sekarang memerhati setakat mana tindakan kerajaan dalam menangani isu ‘bendera baru’ dan memijak gambar Perdana Menteri. Jika tiada tindakan drastik, maka terjadilah seperti apa yang telah terjadi di laman sosial hari ini.

Sama ada di Facebook atau Twitter, sudah tidak terkawal lagi posting mengina kerajaan dan pemimpinnya. Malah sokongan terhadap ‘bendera baru’ semakin ketara. Mereka sudah tidak segan silu mengutuk negara sendiri. Mereka sudah tiada adab mencaci pemimpin tertentu. Mereka seperti di rasuk syaitan memaki hamun sesama sendiri.

Ada yang berkata, selagi propaganda dan perhimpunan didalangi pembangkang, selagi itulah kerajaan dan pihak berkuasa tidak berani mengambil tindakan. Rakan Facebook saya terang-terang mengutuk negara dan pemimpin, dan menyanjung tinggi ‘bendera baru’. Dia berkata,”habis kuat report polis sahaja. Kena tangkup pun bukan masuk penjara. Kerajaan mana berani”.

Inilah kenyataan. Lagi lambat kerajaan mengambil tindakan, lagi ramailah pengikut mereka. Kerajaan mesti melakukan sesuatu. Mengapa harus takut kepada minoriti sedangkan majoriti rakyat inginkan negara terpelihara dan kedaulatannya tidak diganggu gugat?.

Saya secara peribadi merayu kepada pihak kepimpinan negara, lakukan sesuatu dengan segera. Ramai masih sayangkan kerajaan yang didokong oleh BN pada hari ini. Ramai juga telah mula bersuara di laman sosial mengapa kerajaan lambat bertindak. Tidak semestinya mereka yang memberi komen yang keras menentang kerajaan.

Jika saya yang tiada “back up” daripada parti pembangkang, menganjur, mengedar dan mengibarkan ‘bendera baru’, nescaya sekarang ini saya berada di dalam lokap. ‘Beruntung’ anak-anak muda tersebut. Walaupun gambar mereka terpampang di akhbar-akhbar dan laman sosial, mereka masih bebas dan terus bebas mengibarkan ‘bendera baru’ dan memijak-mijak gambar pemimpin negara. ‘Bertuah’ sungguh penderhaka.

No comments: