Tuesday, September 04, 2012

PERLAMBANGAN NEGARA TIADA DOKUMENTASI PERUNDANGAN







Jika benar, adalah sesuatu terlepas pandang paling besar berlaku setelah 55 tahun Malaysia merdeka kerana negara masih tidak mempunyai perundangan khusus tentang bendera negara, jata negara, lagu kebangsaan, bunga kebangsaan dan juga Rukun Negara. Kesemua perlambangan negara ini masih tiada perundangan khusus untuk memeliharanya daripada dipersenda, diganggu gugat dan dicabul sehingga mencetus kemarahan rakyat.

Lebih menyedihkan lagi tiadanya suatu garis panduan, peraturan, kaedah penggunaan dan larangan terhadap kelima-lima perlambangan negara yang membolehkan rakyat Malaysia mematuhi, mengikuti dan memeliharanya sebagai suatu kewajipan kepada seluruh warganegara.

Hakikat yang terbentang pada hari ini apabila Jalur Gemilang yang dicanang untuk digantikan dengan ‘bendera baru’ diambang malam kemerdekaan yang ke 55 amat menyakitkan hati. Dipromosi dan dikibarkan bendera pengganti yang mirip bendera negara jiran, telah menimbulkan kemarahan yang amat sangat.

Ditambah dengan ‘terlupanya’ seorang pemimpin parti politik pembangkang mengangkat tangat semasa Rukun Negara dibacakan. Semuanya ini mencetuskan pelbagai reaksi yang lebih menjurus fokus kepada berpolitik daripada patriotik.

Penghinaan Jalur Gemilang akan disiasat oleh polis di bawah Seksyen 4(1)(a) Akta Hasutan 1948. Ianya disiasat di bawah akta tersebut kerana tiada akta khusus yang melindungi perlambangan negara apabila ianya dihina.

Seawal tahun 1949 lagi Majlis Raja-Raja telah memerintahkan supaya ditubuhkan sebuah jawatankuasa khas untuk menimbang dan membuat perakuan berhubung rekabentuk bendera Persekutuan Tanah Melayu. Hasilnya tiga reka bentuk dipilih untuk dipamerkan kepada orang ramai untuk diadili dan ianya telah dikelolakan oleh akhbar The Malay Mail. Pada 28 November 1949 keputusan memutuskan majoriti orang ramai memilih reka bentuk ciptaan seorang Arkitek kerajaan dari Johor iaitu Mohamad bin Hamzah.

Jelas menunjukkan pemilihan Jalur Gemilang ketika itu melibatkan rakyat yang di beri pilihan memilih. Bukan sewenang-wenang untuk membuat penetapan bendera rasmi negara. Ianya perlu melalui proses-proses tertentu seperti, pada 23 Februari 1050 reka bentuk mendapat perkenan Mesyuarat Majlis Raja-Raja. Pada 19 April 1950 Majlis Perundangan Persekutuan telah meluluskan usul yang dibentangkan oleh Pemangku Ketua Setiausaha Negara seperti berikut:"That in the opinion of this Council, the Flag of the Federation of Malaya should be as follows:-Eleven horizontal stripes alternately red and white in colour, the uppermost stripe being red, having a blue quarter with a cresent and eleven-pointed star in yellow superimposed, the standard size of the flag to be six feet by three feet."


Reka bentuk bendera tersebut telah mendapat kelulusan King George VI pada 19 Mei 1950. Pertama kali Bendera Persekutuan Tanah Melayu dikibarkan ialah dalam majlis menaikkan bendera tersebut yang dianjurkan oleh Pesuruhjaya Tinggi British pada 26 Mei 1950 di perkarangan Istana Sultan Selangor dengan dihadiri oleh D.Y.M.M. Raja-Raja Melayu dan Pegawai-Pegawai King George VI.

Begitu tinggi darjat Jalur Gemilang untuk diluluskan sebelum di kibarkan di angkasa negara. Begitu banyak proses yang perlu dilalui. Apakah generasi muda hari ini tahu sejarahnya?. Bukan mudah untuk menukar Jalur Gemilang sesuka hati mereka. Buta sejarah negaralah yang mengakibatkan penghinaan berlaku di malam sambutan kemerdekaan.

Begitu juga sejarah bagaimana lagu Negaraku boleh menjadi Lagu Kebangsaan. Irama Negaraku dipetik daripada irama lagu rasmi negeri Perak pada ketika itu. Lagu negeri Perak pula mendapat ilham asal daripada lagu Terang Bulan yang merupakan lagu yang amat disukai oleh Sultan Abdullah, Sultan Perak, ketika baginda dalam buangan di Pulau Seychelles.

Idea untuk mencipta Lagu Kebangsaan timbul ketika negara sedang bersiap menyambut hari kemerdekaan pada 31 Ogos 1957. Lantaran itu, pada bulan Februari 1957, skor lagu Negaraku telah disediakan oleh Alfonso Soliano (Pemimpin Orkestra Radio Malaya), D.S.P Croff (Pengarah Muzik, Pancaragam Polis Diraja), Kapten Lenthall (Pengarah Muzik, Pancaragam Askar Melayu, Port Dickson) dan A.T Reed (Ketua Pengarah Radio Malaya). Seni kata Lagu Kebangsaan Negaraku telah disediakan oleh satu jawatankuasa khas yang diketuai oleh Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj dengan persetujuan Majlis Raja-Raja ketika itu.

Begitulah proses bagaimana Negaraku dicipta. Pelbagai pihak terlibat. Walaupun ilham asal daripada lagu Terang Bulan, tetapi ianya tidak mencedok bulat-bulat lagu tersebut.

Lagu Kebangsaan juga pernah di hina oleh Namewee. Namun tiada tindakan tegas malah tiada tindakan undang-undang dikenakan. Sebabnya tiada perundangan khas memelihara perlambangan negara sehingga boleh di hina dengan perkataan yang menjijikkan dan boleh di tonton oleh seluruh dunia.

Rakyat menunggu tindakan dari pihak berwajib. Tetapi sebaliknya berlaku. Namewee dijemput pula oleh seorang menteri untuk berjumpa dengannya di bangunan Parlimen. Penghina Negaraku mendapat layanan istimewa pula. Pelik.

Sekadar perbandingan. Indonesia memelihara bendera rasminya di dalam Undang-Undang Dasar Republik Indonesia 1945 melalui Bab XV Fasal 35. Malah Lambang Negara dan Lagu Kebangsaan juga termaktub di dalam BabXV Fasal 36.

Berikutan adanya pemuliharaan perlambangan negara di dalam perlembagaan mereka, rakyat Indonesia di lihat begitu setia dan taksub terhadap bendera dan lambang mereka. Suatu jenayah jika perlambangan mereka dihina dan dicerca.

Begitu juga di Amerika Syarikat, United States Flag Code 1942 jelas menunjukkan mereka menilai bendera negara sebagai suatu khazanah negara dan kedaulatan yang perlu dipatuhi dan dipertahankan. Ia terbukti melalui seksyen 175 Position and manner of display dan seksyen 176 Respect for the Flag.

Rasanya negara kita masih belum terlambat untuk menggubal undang-undang khas perlambangan negara khususnya bendera Jalur Gemilang. Ini kerana Amerika Syarikat sendiri yang merdeka pada tahun 1776, mengambil masa sehingga 166 tahun untuk mewujudkan undang-undang khas berkaitan bendera negara. United States Flag Code 1942 diwujudkan semasa pentadbiran Presiden Franklin D. Roosevelt pada 22 Disember 1942.

Rukun Negara sewajarnya diperkasakan sejajar dengan matlamat asal kewujudannya. Hari ini Rukun Negara sekadar memenuhi kulit belakang buku tulis pelajar-pelajar sekolah. Laungan ikrar sambil mengangkat tangan kanan hanyalah setahun sekali iaitu semasa sambutan hari kemerdekaan. Begitulah nasib Rukun Negara yang telah diisytiharkan pada 31 Ogos 1970 sempena ulang tahun kemerdekaan Malaysia yang Ke-13.

Rukun Negara dibentuk dengan tujuan utama iaitu membentuk perpaduan yang kukuh. Prinsip-prinsip yang terkandung dalam Rukun Negara jelas merupakan kunci kepada keharmonian dan perpaduan kaum demi kejayaan dan kestabilan Malaysia.

Kelalaian kita menghayati doktrin negara ini adalah salah satu penyebab keharmonian dan ketaatan kepada negara mula pudar. Rukun Negara sepatutnya menjadi suatu ideologi warganegara Malaysia yang mampu mengatasi garis pemisah antara kaum.

Jika setiap warganegara menjadikan Rukun Negara sebagai teras dan landasan hidup bermasyarakat, nescaya nilai-nilai murni dan tatasusila antara kaum dapat diharmonikan.

Rakyat Malaysia sepatutnya cemburu dengan rakyat Indonesia dan Thailand yang sangat terkenal dengan jatidiri dan semangat kenegaraan yang tinggi.

No comments: