Friday, September 07, 2007

AKHIRNYA ERRA BERTUNANG KALI KE 3





ERRA BERTUNANG KALI LE 3
Primadona filem Melayu Erra Fazira, 33, menamatkan segala tohmahan terhadap dirinya apabila selamat melangsungkan pertunangan dengan jejaka pilihan hatinya, Engku Emran Dato Engku Zainal Abidin, 32, Ketua Pegawai Operasi (COO) SuriaFm di kediaman Erra, yang terletak di Damansara Kim petang tadi.
Setelah menjalinkan hubungan selama tiga bulan, kedua pasangan yang sama cantik dan sama padan ini, mengambil keputusan untuk meletak titik noktah kepada gosip liar yang melanda mereka sejak dua bulan sudah.
Pertunangan yang berlangsung secara sederhana tetapi tetap diselubungi dengan kemeriahan dan secalit glamor, turut dihadiri oleh para wartawan, sebilangan artis seperti Umie Aida, Zahida Rafik, Zaibo, penerbit filem Raja Alawiyah, beberapa kenalan dan keluarga terdekat.
Turut kelihatan ialah ibu saudara Engku Emran, penulis lirik tersohor Habsah Hassan dan rakan karibnya, aktres Rubiah Suparman.
"Saya rasa bersyukur dan gembira...," jelas Engku Emran sejurus selepas majlis pertunangan tamat.
Emran kelihatan segak dalam pakaian kemeja putih berseluar 'slack' hitam berada di perkarangan rumah Erra ketika itu.
"Alhamdulillah, sudah tentu saya gembira kerana majlis berjalan lancar serta mendapat persetujuan kedua belah pihak. Sekarang, saya hanya mahu pandang kehadapan," celah Erra yang kelihatan cukup teruja setelah majlis selamat disempurnakan. Ini merupakan pertunangan ketiga Erra.
Erra melahirkan kesyukurannya kerana majlis pertunangan berjalan dengan selamat.
"Erra rasa bersyukur kerana dah lari dari tohmahan," jelas Erra yang pernah mengikat tali pertunangan dengan penyanyi rock Awie dan bekas suaminya, Yusry KRU.
Erra mendirikan rumahtangga dengan Yusry pada tahun 2003 tetapi berpisah secara rasminya pada 26 April tahun lepas.
Majlis pertunangan Erra-Emran bermula pada jam 3.45 petang dan dihadiri oleh lebih kurang 100 orang tetamu yang membanjiri rumah teres dua tingkat Erra itu.
Sebelum itu, rombongan pihak lelaki seramai 30 orang, diketuai oleh bapa saudara Emran, Engku Abu Bakar Engku Ngah yang datang dari Terengganu dan Pahang telah membawa lima buah hantaran terdiri dari sebentuk cincin tunang berupa emas putih bertatah berlian dan sebentuk cincin risik yang juga emas putih, tepak sirih, sepasang persalinan, sepasang kasut serta sebiji kek.
Rombongan dari pihak Engku Emran telah mengenakan pakaian bertemakan biru kehijauan.
Sementara pihak perempuan yang terdiri dari 50 orang pula diwakili oleh suami Habsah Hassan, Mohamed Jusoh (ayah saudara kepada Engku Emran) yang berpakaian krim coklat. Rombongan pihak perempuan membalas dengan tujuh dulang bekas hantaran yang berisi tepak sirih, sepasang sampin songket berwarna hitam, sepersalinan kemeja, songkok, butang baju melayu, sepasang kasut, buah-buahan dan coklat.
Wang hantaran pula, tidak seperti lazimnya, kerana pihak perempuan hanya meminta senaskah Al-Quran. Difahamkan, pihak perempuan tidak menetapkan berapa wang hantaran kerana Erra inginkan kelainan pada kali ini.
"Wang hantaran hanya adat saja. Saya sudah lalui semua ini dahulu. Wang ringgit itu semua akan datang kemudian," ujar Erra lagi seolah-olah meminta pengertian dari semua orang.
Bonda Engku Emran, Toh Puan Salmah Hj Abdullah telah menyarungkan cincin ke jari manis Erra yang duduk persis seorang 'Puteri' di atas pelamin ciptaan Pak Abu. Pelamin indah yang bertemakan warna krim dan putih itu tampak menarik dengan hiasan jambangan bunga mawar merah di kiri dan kanan berlatarkan kain sutera berombak serta dipenuhi dengan taburan kelopak bunga mawar.
Erra kelihatan jelita dalam busana krim, putih hasil rekaan pereka muda Jovian Mandage. Wajah bekas ratu itu kelihatan sungguh ayu, setelah didandan oleh Nurul Syukur, siap dengan selendang renda warna putih suci.
Tema majlis pertunangan petang tadi berupa warna krim dan putih, malah rona krim dan putih juga menjadi pilihan pengiring hantaran dan keluarga kedua pihak.
Jika semalam, Erra memberitahu yang tarikh perkahwinan akan dilangsungkan selepas tiga bulan mengikat tarikh pertunangan, namun di hari ini Erra memberitahu yang mereka akan berkahwin "paling awal selepas Hari Raya dan paling lambat bulan Disember."

3 comments:

aRE - d- A- h said...

slmat berbahgia..smga kekal ntuk 4 eva..

malaysia baru said...

Bertunang pun dah pegang-pegang... Tunggulah nikah dulu....

Selamat memimpin isterinya supaya di redhai Allah...
Sehebat mana pun, malam pengantin akan berakhir jua.
Kalau hidup tak amalkan agama, rugilah kita...

Anonymous said...

drg nih bukan setakat pegang2 aje...dh kata artist..kalo dh kena tangkap kt umah tuh tahu2lah...tunang saja nk cover kes ari tuh la tuh.