Wednesday, September 05, 2007

ISU BABI DI MELAKA ISU ALAM SEKITAR BUKAN PERKAUMAN

Isu khinzir di Melaka isu alam sekitar bukan perkauman

Isu operasi bersepadu bagi mengurangkan jumlah ternakan khinzir dari lebih 100,000 ekor kepada 48,000 ekor di kawasan Bukit Beruang, Paya Mengkuang dan Man Lok di Alor Gajah, Melaka turut menjadi bahan perbahasan antara anggota-anggota Parlimen hari ini.
Datuk Mohd Said Yusof (BN-Jasin) ketika membahaskan isu itu berkata, ia bukan masalah perkauman seperti mana yang dipersoal oleh pembangkang, tetapi ia merupakan isu alam sekitar yang melibatkan semua lapisan penduduk.
“(Pembangkang) Jangan nak pertahan 64 penternak ini sahaja, walhal lebih 20,000 rakyat Melaka di kawasan terlibat tidak diperjuangkan,” katanya ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan Tambahan (2007) 2007 di peringkat jawatankuasa di Dewan Rakyat di sini hari ini.
Mohd Said berkata, sensitiviti orang Melayu yang merupakan majoriti penduduk di kawasan berkenaan perlu diambil kira.
Beliau turut memuji penduduk Melayu di situ yang tidak melakukan tunjuk perasaan tetapi merujuk isu berkenaan kepada UMNO untuk mencari jalan penyelesaian.
“Perkara ini sudah lama diberi amaran, ada rundingan dan mereka berjanji akan pindahkan ternakan mereka di tempat lain, kita benarkan tetapi hari ini kepercayaan itu telah dinodai.
“Kes ini sudah 50 tahun dahulu, ini masalah kehidupan dan alam sekitar, jangan dipolitikkan (oleh pembangkang),” katanya.
Operasi bersepadu itu yang dijadualkan dilakukan semalam terpaksa ditangguhkan berikutan permintaan penternak yang berjanji untuk memindahkan baki khinzir itu ke kawasan lain.
Sebelum operasi dimulakan, penternak dikatakan mengepung ladang masing-masing serta menggunakan murid sekolah, sangkar babi sebagai perisai pertahanan, malah ada yang melontar bom petrol ke arah pihak berkuasa bagi menghalang tindakan menghapuskan khinzir terbabit.
Operasi itu melibatkan polis, Rela, Jabatan Imigresen, Jabatan Veterinar, Tenaga Nasional Berhad (TNB), Jabatan Alam Sekitar, Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG), Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Jabatan Hal Ehwal Orang Asli Melaka/Negeri Sembilan.
Kerajaan Melaka sebelum ini memutuskan untuk mengurangkan jumlah ternakan itu berikutan pencemaran sungai dan udara akibat kegiatan berkenaan, selain bantahan penduduk yang tidak tahan lagi bau busuk najis khinzir.
Ketua Pembangkang Lim Kit Siang yang membangkitkan isu itu berkata, kerajaan harus meneliti dan berbincang dengan semua pihak terlibat mengenai operasi yang didakwanya tidak bersifat “perpaduan nasional.”
“Operasi itu menimbulkan ketegangan dan ia tidak sepatutnya berlaku, operasi ini perlu dihentikan.
“Ini merupakan isu alam sekitar yang perlu diselesaikan dengan baik bukan secara konfrontasi,” kata anggota Parlimen dari Ipoh Timur itu.
Datuk Idris Haron (BN-Tangga Batu) pula menafikan bahawa berlakunya ketegangan ketika operasi semalam.
“Saya berjumpa dengan Yang Dipertua MPAG (Baharom Majid) sendiri dan beliau kata tiada ketegangan berlaku, sebenarnya sejak saya jadi Yang Dipertua MPAG lagi sudah ada tiga rundingan mengenai isu ini dan penternak bersetuju untuk keluarkan khinzir mereka sendiri,” katanya.
Idris berkata, kerajaan negeri juga sudah memberi kelonggaran dengan mengadakan satu garis panduan sama ada lebihan ternakan mereka akan dihapuskan, sembelih atau jual sehingga empat tahun iaitu tarikh akhir pada 31 Ogos lepas.
Namun, garis panduan itu tidak diendahkan oleh para penternak.
Kerajaan negeri semalam, memberi tempoh sehingga 21 September ini untuk penternak mengehadkan 48,000 ekor khinzir sahaja ditempatkan di tiga kawasan berkenaan.

No comments: