Sunday, December 23, 2007

CERITA PERJUMPAAN PADA 11 DISEMBER



Apakah rahsianya? Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Dr. Mohd. Khir Toyo sebenarnya layak menjadi duta produk keterampilan lelaki. Transformasi wajah dan fisikalnya begitu ketara sekali.
Dari seorang yang dulunya kelihatan flabby beliau kini lebih fit dan steady.
Jangan kata para suri rumah dan orang biasa malah orang politik sendiri hairan apa yang buat Dr. Khir jadi berubah begitu. Plastic surgery …cucuk sana …cucuk sini..botox?
Kalau rajin pasang telinga ada cakap-cakap bernada sindiran berlegar kata sekarang ni jangan buat jemputan minta Menteri Besar Selangor datang ke acara waktu panas terik.
Ikut empunya cerita mukanya akan cair.
Kisah ini mencetuskan deraian ketawa panjang sewaktu beliau mengadakan pertemuan dengan para pengarang laman media internet dan blog di sebuah hotel di Shah Alam petang Selasa 11 Disember.
Hadir sama ialah Setiausaha Politik beliau, Datuk Dr. Karim Mansor.
Dr. Khir sebelum ini tidak pernah bercakap cakap panjang soal itu sejak perubahan ketara wajahnya disedari ramai kira-kira setahun lampau.
“Tak ada plastic surgery atau apa-apa. Cuma saya pakai sejenis sabun pencuci muka dan saya banyak bersenam,” katanya.
Sambil menunjukkan muka dan bahagian bawah lehernya, Menteri Besar Selangor itu bertanya, “mana ada parut dan kesan-kesan bedah. Kalau plastic surgery mesti ada kesannya.”
Lagipun, katanya, mana pernah beliau mengambil cuti panjang atau ‘menghilangkan diri’ lama.
Bekas doktor gigi itu menjelaskan proses penyembuhan mereka yang menjalani pembedahan plastik mengambil masa sekurang-kurangnya lebih sebulan.
“Saya gunakan sabun pencuci muka…satu produk yang digunakan oleh isteri saya,” katanya.
Beliau menyebut nama produk buatan dalam negeri itu.
Apa yang mendorongnya nak buat perubahan pada fisikalnya?
Katanya, kesedaran ini timbul setelah melihat salah seorang saudaranya kena stroke .
Katanya, selepas itu beliau banyak bersenam untuk menurunkan berat badannya. Beliau turut tertawa mendengar cakap orang mengatakan mukanya akan cair kalau berjemur di panas terik. "Ada masa saya main golf...bukankah panas di padang golf tu," tanyanya.
Dalam perbualan lebih tiga jam itu, beliau nampaknya berminat nak tahu apa persepsi sebenar orang di bawah terhadapnya secara peribadi mahupun corak pentadbirannya.
“Bab puji memuji ni biasalah…saya suka dengar the other side ... ,” katanya.
Bagaimana pula dengan soal pemilihan calon untuk pilihanraya umum akan datang? Sebelum ini, beliau pernah menyatakan sekurang-kurangnya 30 peratus calon pada pilihan raya umum kelak adalah muka baru. Katanya, senarai-senarai calon akan dihantar kepada Badan Pencegah Rasuah (BPR) dan polis untuk semakan kes-kes rasuah atau jenayah. Malah pada pilihan raya lalu, katanya ketika pembangkang mendakwanya terbabit rasuah,namanya adalah senarai teratas dihantar kepada BPR untuk siasatan.
Ada cakap-cakap timbul mengatakan beliau cenderung memilih kawan-kawannya termasuk yang bergelar ‘doktor’ sebagai calon.
Antara yang terpilih yang dikatakan sebelumnya tidak begitu dikenali dalam arena politik ialah ahli parlimen Ampang, Dr. Rozaidah Talib dan ahli parlimen Gombak, Datuk Dr. Raman Ismail.
Dr. Khir menolak andaian faktor kawan menjadi penentunya.
“Bagi saya kriteria utama dalam pemilihan calon ialah orang yang dipilih itu mesti diyakini boleh membawa kemenangan dalam pilihanraya. Kalau pilih orang yang susah nak menang... nak buat apa.
“Kasihan pada jentera parti yang bekerja keras dan bertungkus lumus nak menangkan calon BN. Yang penting calon parti menang,” katanya.
Menteri Besar Selangor itu bertegas beliau telah membuat pemilihan calon yang tepat dalam pilihanraya umum lalu. "Lepas itu mungkin ada yang buat hal…saya tak taulah,” katanya.
Beliau memberitahu, pemilihan calon yang mengutamakan kriteria itu akan dikekalkan dalam pilihanraya umum akan datang.
“Saya hanya buat cadangan…kata putus akhirnya terletak di tangan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi selaku Pengerusi BN,” katanya.
Menjawab soalan mengenai desas desus kononnya beliau akan bertukar ke kerusi Parlimen seterusnya diberi tugas baru di peringkat kerajaan Pusat dalam pilihanraya umum akan datang beliau berkata: “Kalau Perdana Menteri lihat saya boleh beri sumbangan di Pusat, saya tak tolak.Bagaimanapun, ada dua atau tiga perkara lagi saya belum selesai di Selangor.Sebagai negeri yang diisytihar negeri maju pada 2005, kita sedang mempersiapkan diri dan perancangan bagi memberi gambaran sebagai sebuah Negara maju pada 2020. “Kalau diberi peluang, saya ingin terus kerja di sini (Selangor) dan terpulang kepada PM,” jelas beliau lagi.
Bagaimana pula dengan desas desus yang turut tersebar mengatakan beliau mungkin mencabar Datuk Seri Hishamuddin Hussein atau Khairy Jamaluddin untuk jawatan Ketua Pemud UMNO Malaysia pula ? Kepada soalan ini Dr Khir menyifatkan dirinya sudah terlalu tua untuk jawatan Ketua Pemuda Umno Malaysia. “Saya terlalu tua untuk Ketua Pemuda,” katanya sambil ketawa. Bekas Pengerusi Biro Agama Pemuda Umno itu melihat barisan pemimpin Pemuda hari ini amat baik begitu juga tugas dan aktiviti mereka. Ditanya siapa layak jika Hishamuddin melepaskan jawatan itu, Menteri Besar Selangor itu berkata, ada dua tiga pemimpin yang baik. “Khairy lebih baik daripada saya untuk Ketua Pemuda,” ujarnya apabila ditanya adakah Naib Ketua Pemuda sekarang, Khairy paling layak menerajui sayap parti Umno itu seandainya Hishamuddin bertanding Naib Presiden. Kepada satu soalan lain beliau menolak dakwaan kononnya tidak mempunyai hubungan baik dengan menantu Perdana Menteri itu. “Setakat ini tak ada masalah. Saya ada jumpa dia dua tiga kali.,” ujar beliau.
Dalam pemilihan UMNO akan datang apakah Dr Khir akan bertanding merebut jawatan Naib Presiden atau menumpukan perhatian mengekalkan undi tertinggi kerusi MKT?
Disebalik soalan ini nama Dr Khir hangat disebut-sebut akan mencuba nasib pada jawatan barisan nombor tiga dalam pimpinan UMNO. Walau agak keberatan menjawabnya tapi beliau berkata," saya akan lihat dan buat kajian. Saya tak mahu, hidung tak mancung, pipi tersorong-sorong,” Menurutnya, faktor itu juga bergantung kepada keadaan pilihan raya umum nanti. Katanya,beliau bukan sahaja perlu bijak tetapi keputusan dibuat perlulah tepat. Menurut Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor itu, walaupun dalam pemilihan tahun 2004 dapat undi terbanyak dalam barisan Majlis Tertinggi , beliau mengangganya amanah. “Saya tak fikir ke mana nak pergi tetapi saya mahu tumpu memberi sumbang kepada agama, bangsa dan negara. Kalau ada yang lebih baik, saya akan sokong,” tegasnya. Menteri Besar Selangor ke 13 yang menggantikan Tan Sri Abu Hassan Omar pada tahun 2000 itu, juga tidak sesekali menganggap jawatan berkenaan sebagai orang yang berkuasa. “Jawatan MB bukan orang berkuasa tetapi ada amanah perlu dilaksanakan dan kerja perlu dibuat,” ujar Dr Khir.
Mengenai andaian kerap menjadi bahan serangan sesetengah media, beliau berkata “ Dalam politik saya anak yatim. Saya tak ada godfather dan saya orang baru. Saya tak kenal senior editor , mungkin sebab tu la.” Namun katanya, beliau tidak berdendam dengan sesiapa walaupun pelbagai tohmahan mengenai beliau serta cara pentadbirannya termasuk isu anugerah penyapu kepada Pihak Berkuasa Tempatan di Selangor yang gagal mencapai sasaran kutipan cukai. “Yang penting, saya tahu kerja saya,” tegasnya. Menjawab mengenai persiapan pilihan raya umum akan datang, terutama keyakinan PAS serta parti KeADILan untuk menang di Selangor, Pengerusi BN Selangor ituberkata,” Ini bukan kali pertama, dulupun mereka kata begitu malah sudah ada Exco bayangan. Bagi saya, rakyat Selangor tahu apa yang terbaik.” Pada pilihan raya lalu, hanya kawasan Dewan Undangan Negeri Sungai Pinang dan Sekinchan dimenangi DAP. BN turut merampas semula beberapa kerusi dimenangi PAS dan KeADILan termasuk menumbangkan Naib Presiden PAS, Datuk Dr Hassan Ali di Sungai Burong.
Dr. Khir juga bercakap panjang tentang stail pentadbirannya khususnya dalam matlamat nak jadikan Selangor setinggan sifar.
Beliau mengakui adakalanya menghadapi dilema dan keadaan yang sebak dalam tindakan nak meroboh dan membersihkan kawasan setinggan.
“Ini kerja yang perlu dibuat. Kita ada matlamat setinggan sifar. Kita roboh tetapi ganti yang baru dan selesa. Tak ka nada surau papan yang dah buruk di kawasan rumah baru. Kita roboh dan ganti dengan yang baru. Masalahnya, pembangkang yang memainkan isu ini. “Kita mahu jadi kerajaan yang membela rakyat. Bukan seperti pembangkang, berbohong pada rakyat, janji beri itu ini. Di Selangor, rakyat bijak, Mereka tahu apa yang kerajaan buat. “Mereka juga tahu matlamat pembangkang. Belum jadi kerajaan dah langgar undang-undang. Macam mana nak jadi kerajaan yang adil,”kata Dr Khir.
Menurutnya memang ada kisah-kisah sedih seperti melihat ada yang berdegil nak terus tinggal di kawasan itu... duduk dalam khemah dan sebagainya.
Katanya, misalnya tindakan meroboh satu kawasan setinggan dekat Ampang tidak lama dulu melibatkan rumah saudaranya sendiri.
“Mereka marah-marah…tapi saya tak ada pilihan. Ini satu tugas yang perlu dilakukan. Lagi pun itu tanah orang. Cuba letakkan diri anda sebagai pemilik tanah itu. Macam di Rimba Jaya juga tanah itu milik syarikat swasta,” katanya.
Katanya, kebiasaanya majoriti setinggan yang terlibat menerima tawaran kerajaan negeri bagi penempatan baru tetapi ada segelintir yang berdegil.
“Apa nak buat…selalunya apabila parti pembangkang dan orang luar campurtangan ia jadi isu politik ..sedangkan niat kita baik,” katanya.
Dr. Khir berkata, beliau sentiasa berpegang kepada keputusan yang dibuatnya. "Apabila saya sudah set …saya tidak pandang ke belakang lagi. Untuk mentadbir…saya kena yakin dengan apa yang saya nak buat,” katanya.
Di sebalik kecaman terhadap kempen setingan sifar, kata Khir Toyo, beliau berbangga kerana ada anak-anak penduduk setinggan yang berpindah ke penempatan semula yang diatur oleh kerajaan negeri berjaya dalam pelajaran mereka.
"Saya bangga apabila diberitahu 280 anak-anak bekas penduduk setingan yang berpindah ke penempatan baru yang lebih selesa berjaya dengan cemerlang dalam pendidikan mereka.Ini kerana di penempatan baru mereka boleh menumpukan kepada pelajaran dengan lebih selesa berbanding di kawasan asal."
Menurutnya, selain masalah sosial, kempen menghapuskan setingan juga bertujuan untuk menaik taraf hidup penduduk setempat terutamanya orang-orang Melayu dan India.

No comments: