Tuesday, April 15, 2008

TERESA KOK - AHLI POLITIK PENGECUT


KALAU takut dilambung ombak, jangan berumah di tepi pantai. Itulah kata perumpamaan orang Melayu yang senang untuk difahami.

Untuk menjadi seorang ahli politik, janganlah takut dengan kritikan.
YB Teresa Kok perlu tahu peranan akhbar. Sama juga dengan laman blog Teresa Kok yang memuatkan cerita-cerita mencari kesalahan kerajaan.
Tak perlu menyalahkan Utusan Malaysia yang menyiar berita-berita yang mengkritik anda. Peranan Utusan Malaysia sebagai akhbar ‘penyebar fikiran rakyat’ tidak boleh dinafikan.
Bagaimana pula dengan peranan-peranan akhbar-akhbar lain di pihak pembangkang yang sering menyiarkan berita-berita yang menghentam kerajaan.
Kami sebagai rakyat berhak juga menyampaikan bantahan atau rasa tidak puas hati kami melalui saluran media seperti akhbar Utusan Malaysia.
Teresa berkata, sejak isu kandang babi di Selangor hebat diperkatakan, berita-berita yang telah disiarkan yang mengaitkan nama beliau di akhbar-akhbar telah sedikit sebanyak mencalar imejnya sebagai wakil rakyat.
Sebenarnya imej anda sebagai wakil rakyat telah lama ‘tercemar’ gara-gara anda menjaja cerita klip video seorang wanita yang dipercayai pada mulanya warga China semasa di tahanan polis tidak lama dulu. Anda telah menjaja klip video termasuk di Dewan Rakyat yang akhirnya membawa kepada kerajaan Malaysia terpaksa memohon maaf kepada kerajaan China. Rakyat tidak akan lupa.
Cerita ini telah mendapat liputan yang meluas di akhbar-akhbar di China pada ketika itu. Tetapi sebaliknya setelah siasatan dijalankan dan didapati tahanan wanita itu adalah warga tempatan berketurunan Melayu.
Anda nampaknya telah mendahului pihak polis ketika siasatan dijalankan. Saya nak tanya pada Teresa, pernahkah anda memohon maaf kepada rakyat dan kerajaan Malaysia berhubung peristiwa ini?
Apakah pula tujuan sebenar Teresa dalam laman blognya menyiarkan gambar ‘lima ekor babi panggang’ setelah diumumkan yang parti pembangkang berjaya menguasai lima negeri dalam pilihan raya yang lepas?
Mengapa anda padamkan gambar tersebut di laman blog anda sekarang? Adakah anda takut rakyat akan membantah atau- pun anda takut dengan bayang-bayang sendiri?
Anda sebagai wakil rakyat DAP mungkin ada sebab berasa bangga dengan kelulusan yang diberikan oleh kerajaan baru negeri Selangor.
Tetapi jangan lupa semasa kerajaan BN memerintah sebelum ini, projek itu baru dikenal pasti seperti memperkenalkan teknologi yang akan digunakan dan mencari kawasan yang sesuai untuk ladang baru babi yang berskala kecil sahaja.
Dan sebelum pilihan raya lepas dilihat pihak pembangkang ketika itu (Pas dan PKR) beria-ia membantah cadangan mendirikan ladang ternakan babi yang baru.
Masa berkempen mereka dengan lantang menolak dan menuduh BN menyokong projek ternakan babi yang baru dicadangkan itu.
Tetapi setelah berjaya memerintah negeri Selangor lain pula jadinya. Ia menjadi agenda utama kerajaan baru untuk meluluskan projek mega ladang babi dengan segera.
Sebab itulah rasanya Teresa berasa amat berbangga dengan kelulusan cepat ini. Pelik tapi benar. Pas dan PKR seperti talam dua muka.
Semasa menjadi pembangkang mereka membantah, tetapi semasa memerintah mereka menyokong pula.
Ini adalah kenyataan yang harus ditelan oleh penyokong-penyokong Pas dan PKR yang selama ini membantah projek tersebut. Bantahan anda selama ini adalah macam anjing menyalak bukit. Sia-sia sahaja.
Nasihat saya kepada penyokong-penyokong Pakatan Rakyat agar teruskan usaha murni anda semua untuk membantah kerajaan yang anda semua pilih sama seperti anda semua membantah kerajaan BN yang terdahulu daripada terus menjadikan projek ladang babi ini menjadi kenyataan.
Sepatutnya selepas berjaya memerintah, Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim ada kuasa untuk membatalkan cadangan projek tersebut demi menjaga hati penduduk Sepang dan juga penyokong Pas dan PKR yang bertungkus-lumus membantah projek tersebut.
Yang menjadi kemusykilan sekarang mengapa Menteri Besar tetap dengan keputusan ahli Exco meneruskan projek ini. Macam ada udang di sebalik batu.
Kepada tiga ahli Exco Selangor daripada Pas yang turut sama menyokong meluluskan ladang ternakan babi, mungkin anda boleh memberi pelbagai alasan untuk meredakan perasaan marah penduduk Melayu Selangor.
Jadi, ingatlah Teresa. Jangan takut pada kritikan kerana ia adalah asam garam kehidupan kepada anda sebagai seorang ahli politik.
Jadilah kritikan sebagai cermin untuk anda melihat dan mengenali diri anda sendiri dengan lebih dekat dan mendalam.
Ia akan menjadikan anda lebih berhati-hati dalam mengeluarkan kenyataan pada masa akan datang.
Jangan salahkan akhbar jika mereka mengkritik anda kerana tugas mereka hanya menyampai dan menyuarakan keresahan rakyat tentang isu ini.
TAMINSARI
Shah Alam

3 comments:

kamal said...

ye ke...
sapa yg makan babi dia yg rasa marah...

Jebat said...

kalau lah sistem penternakan babi german itu bagus,bukan Malaysia tetapi Singapura adalah negara yang akan melaksanakan perniagaan yang pasti akan menguntungkan negara Singapura..lagi pun kenapa perlu dibuat di kawasan orang melayu...kenapa tidak dibuat di tengah-tengah kawasan Jinjang atau Kepong jika ia tidak mendatangkan masalah..biar dia makan dia yang bela di kawasan kaum cina.....

Anonymous said...

minta tolong ingatkan keroni BN sekali yek...lebih2 lagi RTM..jangan sampai macam Zam english speaking lintang pukang,sampai naik menyampah tengok rancangan RTM. Media agong kerajaan tu....