Thursday, April 10, 2008

SEMBOYAN UMNO PERANGI MASALAH DALAMAN

Telah jelas segala-galanya walaupun setelah 29 hari pertempuran sengit di perang pilihan raya ke 12 yang lalu. Presiden UMNO, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dengan seikhlas hatinya menghuraikan satu per satu kelemahan UMNO yang telah menyebabkan banyak kerusi UMNO hilang dan semakin kurang keyakinan rakyat terhadap UMNO.

Ketelusan Pak Lah seharusnya dikupas dan renungkan dengan fikiran yang terbuka. Jika seseorang itu sememangnya benci UMNO daripada dulu lagi, walau siapa pun menjadi presiden, mereka tetap memperlekehkan dan menambah lagi pelbagai tuduhan dan fitnah kepada kepimpinan negara.

Serang balas Pak Lah terhadap tuduhan dan kata nista terhadap beliau baik dari segi gaya kepimpinannya, pentadbirannya dan malah peribadinya telah mula ditangkis dengan teratur dan tersusun. Perjumpaaan tertutup selama dua jam dengan "komander-komander" UMNO di peringkat bahagian sewajarnya dimanfaatkan sepenuhnya oleh kepimpinan UMNO di peringkat bahagian itu sendiri.

Kita tidak mahu mereka mengabaikan tugas sebagai ketua penerangan UMNO bahagian dengan mengambil mudah dan sambil lewa fakta-fakta "serangan balas" UMNO terhadap musuhnya. Gerak segera untuk disampaikan semboyan dari prediden kepada akar umbi dengan segera. Jangan sampai askar-askar memaksa untuk diadakan majlis penerangan peringkat bahagian pula.

Namun begitu terdapat golongan yang masih tidak siuman yang mahukan UMNO terus bersengketa dan jika boleh terus pupus di bumi bertuah ini. Mereka sebenarnya hipokrit dalam perjuangan orang Melayu. Komen, kritikan dan analisis yang pedas tidak bermakna kita benci UMNO. Ianya bertujuan untuk menyelamatkan UMNO supaya tidak terbabas dari landasannya. Tetapi golongan tidak siuman ini mengambil kesempatan dari kecelaruan UMNO masa kini sebagai batu loncatan untuk segera memporak perandakan UMNO. Mereka ini dengki di atas segala kejayaan UMNO sebelum ini.

Bermulanya semboyan untuk memulakan perang saikologi terhadap musuh UMNO telah mula disalah ertikan oleh golongan tidak siuman ini. Mereka telah mula melebelkan UMNO kini telah menghina dan mengecam Tun Dr Mahathir Mohamad, Tengku Razaleigh Hamzah dan Datuk Seri Anwar Ibrahim. Memutar belitkan kenyataan Pak Lah telah mula dimanipulasikan oleh beberapa pengendali laman web sedangkan mereka juga lah yang mendesak Pak Lah menjelaskan sebab sebenar mengapa banyak kerusi BN jatuh kepada pembangkang. Apakah salah Pak Lah menjawab segala kritikan terhadap beliau?.

Pada pendapat saya golongan seperti ini masih tidak layak untuk masuk ke gelanggang politik. Mereka hanya tahu menyerang sahaja dengan membabi buta.Dan apabila mereka diserang balas, terus menuduh UMNO mengecam mereka. Merekalah yang sebenarnya pengecam hebat orang UMNO. Walaupun saya mengkritik dan memberikan pandangan yang agak pedas, namun saya bertanggungjawab terhadap apa yang saya luahkan. Niatnya tidak lain dari untuk melihat UMNO kembali perkasa dan utuh sepanjang masa.

Sekarang ini UMNO sudah mula melaksanakan strategi serang balas di samping mengukuhkan pertahanannya agar tidak mudah diceroboh lagi. Apakah salah UMNO melakukan serang balas?. Selama ini pun telah bermula serang balas terhadap penentang UMNO tetapi pada skala yang kecil dan hanya melibat di peringkat "platon" yang dipimpin oleh seorang "sarjan" sahaja. Malah terdapat juga "rambo" UMNO yang bertindak bersendirian menangkis serangan terutamanya dari pembangkang melalui perjuangan di media cetak dan internet.

Sebenarnya semboyan UMNO untuk melakukan serang balas ini merangkumi tiga kumpulan. Yang pertama sudah tentulah parti pembangkang iaitu PAS, PKR dan DAP. Keduanya, bekas pemimpin besar UMNO yang masih menjadi ahli UMNO tetapi berterusan memberikan kritikan dan kecaman terhadap UMNO sekarang yang seolah-olah UMNO semasa kepimpinan kumpulan bekas pemimpin ini dahulu tersangat lah kuat, teratur dan tiada langsung pancaroba politik.

Yang ketiga, yang paling penting dan utama, dan perlu diserang dengan serta merta ialah pengkhianat UMNO yang terdiri daripada pensabotaj dan penggelap wang peruntukan pilihan raya umum yang lalu. Lembaga Disiplin UMNO perlu segera bersidang dan pastikan keadilan dapat ditegakkan. Jika pengkhianat parti ini terbukti bersalah jatuhkanlah hukuman yang paling keras agar ianya menjadi iktibar kepada ahli-ahli yang lain. Yang penting ianya dapat menghakis tohmahan dan fitnah terhadap parti.

Walaupun sudah ada kedengaran dari "askar-askar" akar umbi semasa pilihan raya yang lalu yang mendakwa jentera parti tidak bergerak kerana tiada peruntukan, namun pendedahan berani dari presiden sendiri telah membongkarkan segala kemelut yang ada.

Disamping tindakan disiplin yang tegas bakal diambil terhadap pelaku sabotaj parti sendiri, UMNO juga harus menjalankan kajian yang menyeluruh untuk mengkaji mengapa sabotaj boleh berlaku. Adakah mereka mensabotaj UMNO kerana marah atau tidak setuju perwatakan dan perbuatan kepemimpinan UMNO?. Adakah sabotaj berlaku kerana mereka tidak bersetuju dengan calon-calon terutamanya calon bukan anak tempatan, peribadi yang buruk dan calon pilihan pemimpin tertentu?.

Bukan perkara baru sebenarnya sabotaj berlaku apabila seseorang itu digugurkan atau tidak terpilih menjadi calon walaupun sudah digembar gemburkan bakal menjadi calon.

Apakah sabotaj dari pengundi atas pagar tidak diambil kira?. Sabotaj senyap dari pengundi yang bukan ahli UMNO sebenarnya lebih hebat dan besar kesannya terhadap kekalahan calon dari UMNO. Mereka sudah ditaburkan pelbagai janji oleh pemimpin UMNO sendiri. Sebagai balasannya mereka bakal mengundi BN. Apabila janji pemimpin UMNO sendiri tidak ditunaikan, maka berlakulah "vote swing" kepada pembangkang. Apakah pemimpin yang hanya pandai menabur janji kepada rakyat boleh juga diambil tindakan?.Kepimpinan UMNO juga perlu mengambil tindakan disiplin jika terbukti benar tuduhan bahawa pentadbiran Ibupejabat UMNO lembab yang menyebabkan bahan-bahan kempen seperti poster dan kain rentang lewat di terima oleh pejabat bahagian. Ini perlu juga diambil kira kerana moral akar umbi tenggelam begitu sahaja apabila kempen perang poster didominasi oleh pembangkang di tempat mereka.

Karisma pemimpin UMNO di peringkat bahagian perlu dinilai semula kerana mereka tidak jitu dan bersungguh-sungguh untuk memenangkan BN kerana tidak terpilih sebagai calon dan mereka ini sebenarnya semasa pilihan raya yang lalu berkempen untuk mengukuhkan diri mereka sendiri sebagai persiapan awal untuk mempertahankan kerusi ketua bahagian dalam menghadapi pemilihan peringkat parti.

Mungkin sikap sebeginilah yang menyebabkan 14 kerusi Parlimen dan 22 Dewan Undangan Negeri (DUN) yang sebelum ini diisytiharkan kawasan putih dan dijamin menang turut terlepas ke tangan pembangkang. Apakah ketua bahagian berkarisma sebegini akan diambil tindakan?.

Secara umumnya politik berunsurkan wang masih menjadi persoalan dan titik tolak kejayaan UMNO sebenarnya. Tidak boleh dinafikan tanpa wang segala perancangan agak sukar untuk dilaksanakan. Jika betul pengurusan kewangan yang disalurkan oleh UMNO peringkat pusat dikendalikan dengan profesional dan amanah, nescaya perbuatan menggelapkan wang kempen pilihan raya tidak menjadi salah satu sebab calon UMNO kalah. Lebih menyedihkan apabila presiden sendiri mendakwa wang tersebut tidak diagihkan semasa pilihan raya kerana untuk disimpan sebagai perbelanjaan untuk pemilihan parti.

Harapan besar ahli UMNO yang mahu melihat di cuci segera perosak dan parasit di dalam parti sebagai satu natijah kepada semua pihak. Lebih terhormat tindakan yang bakal dilakukan ini apabila ianya tidak memilih bulu dan pangkat, nama dan kedudukan, pro kepada kepimpinan tertentu atau tidak. Yang salah tetap salah dan perlu dihukum segera. Pengkhianat dan bacul UMNO ini sepatutnya diharamkan terus menjadi ahli UMNO sampai bila-bila.

No comments: