Sunday, March 30, 2008

WAKIL RAKYAT JANGAN BERMEGAH - SULTAN KELANTAN


Sultan Ingatkan Wakil Rakyat Di Kelantan Jangan Bermegah Dengan Kedudukan

KOTA BAHARU, 30 Mac (Bernama) -- Sultan Kelantan, Tuanku Ismail Petra Ibni Almarhum Sultan Yahya Petra hari ini mengingatkan wakil rakyat di Kelantan agar tidak sekali-kali menggunakan kedudukan yang dipegang untuk bermegah dan kepentingan diri.

Baginda mahu mahu wakil rakyat yang diberi mandat menerusi pilihan raya umum baru-baru ini memikul tanggungjawab dan amanah yang diberikan itu dengan sebaik mungkin.

"Beta ingin mengingatkan semua wakil rakyat bahawa mandat yang diberikan rakyat adalah satu amanah dan tanggungjawab, bukan satu kemegahan yang menjadi bahan perebutan dan peluang keemasan untuk kepentingan diri.

"Jadilah pemimpin yang bertakwa dan ingatlah kita akan mati dan orang sekeliling kita tahu apa yang kita buat, jangan pijak memijak antara sesama sendiri," titah baginda.

Baginda bertitah demikian selepas Istiadat Pengurniaan Darjah dan Bintang Kebesaran sempena sambutan Ulang Tahun Keputeraan baginda yang ke-58 di Istana Balai Besar, di sini.Turut berangkat ke majlis hari ini ialah Raja Perempuan Kelantan, Tengku Anis Tengku Abdul Hamid; Tengku Mahkota, Tengku Muhammad Faris Petra; Tengku Ampuan Mahkota, Tengku Zubaidah Tengku Nooruddin; Tengku Bendahara, Tengku Muhammad Faiz Petra dan Tengku Temenggong, Tengku Muhammad Fakhry Petra dan Tengku Amalin A'isyah Puteri. Hadir sama ialah Menteri Besar Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Pada pilihan raya umum 8 Mac lepas, PAS sekali lagi membentuk kerajaan negeri setelah memenangi 38 daripada 45 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dipertandingkan. Barisan Nasional (BN) menang enam kerusi dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) satu kerusi.

Sambil mengucapkan tahniah kepada Menteri Besar, anggota majlis mesyuarat kerajaan negeri (Exco) dan wakil rakyat, baginda melahirkan harapan agar kerajaan yang baru dibentuk akan terus melaksanakan pembangunan yang membolehkan rakyat hidup dalam keadaan aman dan sejahtera.

"Ahli exco perlu berperanan mengikut potfolio masing-masing. Jika ada perkara yang kurang jelas, rujuklah kepada pihak berkenan melalui saluran tertentu," titah baginda.

Sultan Ismail Petra juga mahu kerajaan negeri yang baru dibentuk memperkukuhkan pengurusan kewangan kerajaan serta mengambil langkah lebih berkesan bagi menjana sumber pendapatan negeri selain mengelakkan pembaziran.

"Pastikan perbelanjaan kerajaan diurus tadbir dengan baik dan cekap, mencari sumber-sumber baru bagi meningkat punca hasil negeri dengan menjadikan sumber mineral seperti minyak dan emas sebagai sumber baru, di samping menarik pelabur ke negeri Kelantan," titah baginda.

Baginda turut menyeru semua pihak terlibat memelihara sumber hasil negeri dengan merancang pembangunan sebaik mungkin. Untuk itu, titah baginda, pegawai kerajaan perlu memastikan pengusaha terlibat mematuhi undang-undang dan peraturan dan pengurusan berkaitan hutan simpan perlu dibuat dengan telus, berkesan dan memikirkan implikasi jangka panjang kepada rakyat.

"Beta bersyukur bila mendapat faham bahawa jalinan perpaduan antara pegawai perkhidmatan awam negeri dan persekutuan serta agensi dan badan berkanun semakin erat dan mantap.

"Sesungguhnya kerjasama ini merupakan salah satu kunci penting kejayaan dalam penyampaian perkhidmatan jabatan dan agensi kerajaan kepada rakyat jelata," titah baginda.

No comments: