Thursday, March 13, 2008

RAKYAT PULAU PINANG MESTI BERSIHKAN PULAU




Rakyat Pulau Pinang mesti bersihkan pulau untuk industri pelancongan

PULAU PINANG: Kebersihan ialah kunci untuk Pulau Pinang menarik semula pelancong, kata anggota exco Pelancongan Pulau Pinang Law Heng Kiang. Beliau mengulangi kata-kata Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng semasa bertemu anggota Persatuan Agensi-agensi Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) cawangan Pulau Pinang semalam, bahawa beliau akan menangani isu-isu pelancongan daripada akar umbi. “Antara perkara utama ialah kebersihan dan kami harap rakyat dapat bekerjasama untuk membersihkan sampah mereka sendiri.
“Ini sangat penting kepada industri pelancongan. Sebagai contoh, tempat tumpuan pelancong di Singapura, yang berjaya menarik kunjungan pelancong kerana kebersihannya,” katanya kepada pemberita selepas majlis angkat sumpah anggota exco negeri di hadapan Yang Dipertua Negeri Tun Abdul Rahman Abbas di Dewan Sri Pinang di sini hari ini. Law mahu penduduk di negeri itu bekerjasama dengan kerajaan negeri bagi memastikan negeri itu khususnya tempat tumpuan pelancong, bersih. “Keseluruhannya Majlis Perbandaran Pulau Pinang akan mengendalikan kawasan tumpuan pelancong manakala penjaja menjaga kebersihan tempat menjaja manakala orang ramai pula menjaga kebersihan tandas dan kawasan awam lain,” katanya.
Law juga berkata beliau tidak mempunyai rancangan untuk mengubah pelan industri pelancongan Pulau Pinang kerana keutamaannya ialah menangani isu kebersihan. Setiausaha DAP negeri itu berkata beliau akan membangunkan kawasan pelancong baru, namun tidak memberikan butiran lanjut. Sementara itu, Pengerusi MATTA Pulau Pinang, Anne Tan bersetuju dengan pandangan Law bahawa kebersihan, terutama penyelenggaraan dan kebersihan tandas awam dan kawasan awam lain merupakan tanggungjawab orang ramai. “Ya, memang ada pekerja yang membersihkan tandas tetapi mereka tidak berada di sana 24 jam. Kita yang menggunakan tandas dan wajar membantu kerajaan dan lebih bertanggungjawab. Kita tidak boleh mengharapkan kerajaan melakukan semuanya,” kata Anne. - Bernama

No comments: