Friday, March 21, 2008

AHLI POLITIK UMNO KENA UBAH SIKAP





Ahli politik Umno kena ubah sikap


TERLEBIH dahulu saya mohon maaf bukan niat saya di sini untuk mengajar Umno, tetapi saya sebagai seorang berbangsa Melayu saya juga 'terasa' bila melihat sesuatu yang sedang berlaku kepada Umno pada saat ini. Oleh itu izinkan saya menyatakan sesuatu dengan untuk perhatian semua Pemimpin-Pemimpin Umno khasnya dan pengikut-pengikut Umno amnya.


Mulai hari ini saya minta semua Pemimpin Umno agar berubahlah sikap bila berpolitik. Belajarlah menerima kekalahan dan jangan hanya tahu menerima kemenangan sahaja. Ingat, tidak ada apa yang kekal dalam hidup ini. Jika kalah terima dengan hati terbuka, jangan menyalahkan sesiapa.


Saya amat malu bila saya lihat pemimpin politik kaum lain yang lebih matang berpolitik. Mereka lebih matang sama ada mereka kalah mahu pun menang. Disebaliknya pemimpin Umno tak habis-habis dengan sikap suka menyalahkan orang lain.


Kenapa kita harus takut menerima kekalahan. Kerana dalam politik ia tidak ada batas sempadan dan waktu. Hari ini kita kalah mungkin suatu hari nanti kita menang semula. Hari ini kita terkeluar mungkin suatu hari nanti kita terpilih semula. Hari ini kita dipecat mungkin suatu hari kita diterima semula. Hari ini kita dipenjara mungkin suatu hari kita dimahkotakan juga. Jadi matanglah sikit bila berpolitik.


Isu di Pulau Pinang. Sepatutnya pemimpin dan ahli-ahli Umno tidak perlu berkumpul dengan membuat berbagai kecaman dan tuduhan kepada kerajaan negeri sekarang. Sebenarnya rakyat amat meluat melihat gelagat pemimpin dan penyokong Umno ini.


Biarkan rakyat keseluruhan menilai sendiri sama ada apa yang dilakukan oleh kerajaan negeri sekarang itu merugikan rakyat atau disebaliknya. Jika rakyat tidak setuju, maka saya yakin tanpa tuntutan dari pemimpin Umno pun kerajaan ini akan jatuh ditolak oleh rakyat dalam PRU-13 nanti.


Bagi saya, Pemimpin-pemimpin Umno sekarang tidak perlu untuk melakukan pemantauan ke atas parti pembangkang, biarlah rakyat sendiri yang memantau. Begitu juga Pemimpin Umno sekarang tidak perlu lagi memberitahu kepada rakyat bahawa yang ini salah pembangkang, yang itu salah pembangkang.


Biarkan rakyat yang menilainya sendiri kerana mata rakyat kini lebih tajam dari mata pemimpin. Disebaliknya pemimpin-pemimpin Umno mulai hari ini hendaklah mencari idea-idea yang bernas bagaimana untuk mendekati rakyat dan apa perkara yang perlu dipersembahkan kepada rakyat agar pemimpin Umno boleh diterima semula oleh semua rakyat. Kini bukan tugas utama pemimpin Umno untuk menjaga ditepi kain pembangkang.


Isu perlantikan Menteri Besar. Saya rujuk kepada negeri Perlis dan Terengganu. Dalam hal ini kita perlu faham siapa yang melantik siapa. Bagi fahaman saya, rakyat hanya memilih wakil rakyat tetapi rakyat tidak berkuasa memilih Menteri Besar. Perdana Menteri hanya boleh mengeluarkan surat sokongan atau disebut 'watikah'. Faham tak apa itu erti 'surat sokongan'?


Ia bukan satu surat perintah tetapi hanya surat sokongan sahaja. Yang berkuasa mutlak(Final Say) ialah Raja atau Sultan sesebuah negeri untuk melantik Menteri Besar selaras dengan akta tubuh negeri masing-masing. Walaupun dalam pilihan raya seseorang pemimpin itu menang besar dan mendapat sokongan PM tetapi ingat dan kena fahamlah Menteri Besar dilantik oleh Raja atau Sultan bukan oleh rakyat mahupun PM.


Kita mengata bahawa pemimpin DAP biadap kepada Sultan tetapi kini siapa yang lebih biadap? Cukuplah kerana sudah banyak perkara yang dilemparkan oleh Umno akhirnya menikam diri sendiri.


Antaranya, tahun merawat Kelantan, kini siapa kena rawat siapa? Kita kata pembangkang tak boleh buat yang itu dan yang ini. Kini mereka membuktikan mereka boleh?Kita kata akan memporak perandakan pembangkang. Kini siapa yang berporak peranda?


Kini saya cadangkan sudah tiba masanya untuk pucuk pimpinan Umno mengkaji dan melaksanakan supaya jawatan dalam parti dan kerajaan 'Dihadkan' untuk sesuatu tempoh tertentu sahaja.


Mungkin setiap wakil rakyat hanya boleh untuk 2 penggal sahaja. Begitu juga jawatan Menteri dan Timbalan Perdana Menteri. Mungkin jawatan Perdana Menteri boleh dilanjut sehingga 3 penggal sahaja. Semoga ini akan menyedarkan semua pihak pemimpin-pemimpin Umno agar mereka sedar dan tahu siapa mereka dan apa tujuan dan tanggong jawab mereka yang sebenar. Sama ada nak kumpul harta atau nak bekerja untuk rakyat bila nak jadi wakil rakyat.


Kini ramai anak-anak bangsa kita yang cerdik pandai. Baru-baru ini dah ada yang dapat 21A dalam SPM 2007. Janganlah ingat jika kita letak jawatan, turun jawatan atau tak dipilih lagi sebagai Wakil Rakyat ka, Menteri ka atau Perdana Menteri ka maka akan lenyaplah negara ini dan tak boleh 'survive' lagi.


Buanglah pemikiran dan tanggapan seperti itu. Yang bertungkus lumus bekerja ialah kaki tangan kerajaan dari peringkat tertinggi hingga ke bawah. Yang bekerja adalah organisasi bukan individu. Menteri atau Perdana Menteri hanya memberi kata putus atau membuat keputusan terakhir sahaja.


Itu pun belum pasti sama ada keputusan yang dibuat itu betul atau tepat. Silap keputusan, silap haribulan, silap langkah - kelam kabut jadinya!


Mulai hari ini, saya juga cadangkan agar hentikanlah budaya 'mencium tangan' dikalangan pemimpin dan ahli Umno itu. Bagi saya ia adalah ciuman yang tidak ikhlas. Malah yang penting sekali rakyat meluat dan merasa geli bila melihat budaya itu, kerana mereka tahu itu adalah niat 'bodek' yang amat kuat diamalkan dikalangan pemimpin Umno sekarang.


Malah tidak salah jika saya katakan ada ahli Umno yang tak pernah mencium tangan ibu bapa mereka sendiri tetapi boleh mencium tangan pemimpin Umno. Jika ada pun mungkin mereka mencium tangan ibubapa hanya setahun sekali atau dua kali sahaja bila hari raya. Tetapi mencium tangan pemimpin mungkin 5 atau 6 kali setahun.


Saya minta selepas ini semua ahli-ahli dan pemimpin Umno dapat mengubah sikap sebagai ahli politik. Kita tidak perlu ganas, kita tidak perlu memfitnah, kita tidak perlu menuduh lawan, kita tidak perlu berlakon tetapi lakukan dan persembahkan apa perkara-perkara yang diingini rakyat dan kebaikan-kebaikan untuk rakyat dari masa ke semasa.


Setakat ini saya belum jumpa lagi blog-blog yang dipunyai oleh para pemimpin Umno. Sedangkan pemimpin-pemimpin pembangkang ramai yang telah ada. Malah 'Mat Sabu' pun ada blog? Mana blog pemimpin kanan Umno? Jika ada pun rakyat tak tahu. Kenapa tidak iklankan dalam akhbar-akhbar utama seperti Utusan Malaysia, B.Harian, Star dan lain-lain. Kini zaman internet. Rakyat lebih mudah berinteraksi dengan pemimpin melalui internet. Maka lebih mudah bagi rakyat meluahkan apa-apa masalah yang dihadapi oleh mereka.


Akhir sekali saya memohon maaf sekali lagi jika apa yang saya telah tulis ini telah menyinggung perasaan sesetengah pemimpin dan ahli Umno. Niat saya ikhlas . Terima kasih.


SAAD J

1 comment:

sallehin said...

Betul apa yang diperkatakan oleh saudara. Bila DAP bertindak membelakangkan sultan, org2 UMNO bukan main lagi memprotes. Tetapi kini org2 UMNO yang sama juga lah yang tidak menghormati Sultan kita.

Apa kata Hishamuddin pula kali ini apabila org UMNO pula yg kurang ajar mempersoalkan keputusan institusi diraja kita ni.

Ini lah sebabnya rakyat malaysia menolak umno sekaligus menolak barisan nasional. Jika ini berlarutan saya pasti barisan nasional akan kecundang.