Tuesday, July 01, 2008

SIAPA KONSPIRASI SIAPA???

SIAPA KONSPIRASI SIAPA?

Ada unsur teori konspirasi? Ada cubaan bunuh? Mendapat suaka politik di kedutaan asing? Mengapa mengaku kalah sebelum bertarung? Atau takut kepada bayang-bayang sendiri? Inilah persoalan yang berlegar di fikiran rakyat biasa apabila mula memperkatakan semula suatu proses “drama bersiri” lakonan bekas Timbalan Perdana Malaysia yang juga penasihat (yang bukan ahli) kepada Parti Keadilan Rakyat(PKR).

Sesiapa yang rapat dengan Anwar Ibrahim dari zaman remajanya sehinggalah kini pasti tidak terkejut dengan tindak tanduknya sejak bergelar pemimpin pelajar sehingga menjadi seorang yang ternama dalam dunia politik tanah air. Banyak sangat tindak tanduknya yang melawan arus norma kehidupan dan logika berpolitik.

Dahulu semasa zaman sebagai pemimpin pelajar, apabila terdesak dan takut dengan bayang-bayangnya sendiri, beliau berlindung di Masjid Negara. Apabila pertubuhan belia Islam yang beliau terajui mula sangsi dan mempertikaikan kewibawaan gaya kepimpinannya, beliau mula beralih arah ke arena politik.

Akibat gemar menonton filem Tamil dan Hindustan, beliau mampu menguasai beberapa bahasa dari benua kecil India . Tidak hairanlah beliau mendapat sokongan dari kaum India yang bumi Malaysia sebagai satu cara penerus pengekalan kuasa politiknya.

Semasa zaman puncaknya bersama kerajaan, beliau jugalah peneraju beberapa terma dan klosa bahasa yang indah-indah sebagai menunjukkan kehebatanya berbicara dan berpidato. Banyak sangat pembaharuan politik Melayu yang beliau terajui dan menjadi pengasasnya.

Siapa yang memulakan langkah amalan “politik wang” di dalam UMNO?. Siapa yang memulakan pembaharuan”kaya segera” melalui pemberian “pink form” syarikat-syarikat tertentu di bursa saham?. Siapa yang membawa masuk ramai ahli perniagaan untuk berpolitik sehingga menjadikan UMNO seperti sebuah syarikat yang boleh dijual beli keahlian, pangkat dan kuasa?

Impian untuk menjadi Perdana Menteri tidak pernah padam dalam riwayat hidupnya. Apa cara sekalipun beliau tetap mahu menjadi Perdana Menteri walaupun sesaat. Maka beliau sanggup melakukan apa sahaja untuk mencapai realisasinya agar impian menjadi kenyataan.

Fenomena dan aspirasi yang boleh menukar wajah dalam sekelip mata bukan asing kepada Anwar Ibrahim. Pencetus dan mewujudkan propaganda politik ibarat sebuah drama bersiri sememangnya mainan beliau dalam arena politik tanah air.

Beliau tahu kelemahan rakyat Malaysia yang “cair” dengan momokkan skrip cerita yang sadis dan meronta mendapatkan simpati agar hero mendapat sokongan dan pembelaan di akhir sebuah penceritaan drama atau filem. Hero pasti menang pada penghujung cerita biarpun mendapat halangan yang melampau dan di luar norma fikiran biasa.

Kini, setelah hampir hampir 10 tahun, hero tersebut kembali ke persada “hiburan politik” tanah air. Akibat skrip di tahun 1997 dan 1998 tidak dapat difilemkan ekoran tiada producer asing yang ingin membiayainya, kini beliau kembali lagi untuk menjaja skrip drama bersiri. Kali ini beliau mengharapkan producer asing dan rakyat tempatan sama-sama berpadu tenaga secara perkongsian pintar agar drama bersiri ini dapat diterbitkan untuk tontonan seluruh dunia.

Banyak persoalan muncul apabila PKR sudah meraih banyak kerusi di Parlimen dan Dewan Undangan Negeri. Dengan mengandaikan beliau sendiri sebagai ketua Pakatan Rakyat (walaupun tiada dokumentasi sah dan persetujuan dari parti-parti komponen yang lain), beliau mula mengorak langkah untuk berkuasa dengan gelaran Perdana Menteri dalam pembikinan.

Dengan penuh yakin, beliau mendakwa kerajaan sekarang bakal tumbang menjelang pertengahan September iaitu hari ulangtahun penubuhan Malaysia . Maka ditumpukan sepenuh tenaga untuk “menawan” ahli parlimen Barisan Nasional dari Sabah dan Sarawak supaya berpaling tadah untuk melenyapkan penguasaan BN di parlimen dengan target beliau sekurang-kurangnya 30 ahli parlimen dapat dibeli oleh beliau.

Latah dan acah beliau dengan “mengarahkan” Yong Teck Lee dan partinya membuat gempar nyata tidak berjaya. Sifir politiknya jika langkah parti dari Sabah itu berjaya dan pemangkin kepada gerakan keluarnya beramai-ramai ahli parlimen BN, langkah seterusnya ialah mendaftarkan Pakatan Rakyat sebagai sebuah “front” untuk menyaingi BN.

Langkah pertama telah kecundang. Pelan kecemasan diutarakan dengan mengaitkan pemimpin tertentu terlibat dengan kes pembunuhan Altantunya. Teorinya untuk melaga-lagakan orang nombor satu dan nombor dua negara melalui “statutory declaration” juaknya yang juga seorang pengendali laman blog yang anti kerajaan, ternyata gagal.

Pelan kecemasan juga tidak mengena. Percaturan yang dijangka akan melatahkan kedua-dua pemimpin negara, rupa-rupanya berlaku sebaliknya.

Ditambah dengan kemelut dan porak peranda pentadbiran negeri Selangor yang satu-satunya negeri yang dikuasai oleh PKR, Anwar semakin terdesak untuk mencapai niatnya. Beliau arif sangat tentang kegelisahan dan rasa tidak puas hati ahli PKR terutamanya ahli “hardcore” yang sama-sama ber “refomasi” dengan beliau ekoran beberapa tindakan Khalid Ibrahim yang sama sekali membuatkan ahli setia orang Melayu PKR terutamanya yang sama-sama mengasaskan Parti Keadilan mula memberontak dan mempertikaikan gaya kepimpinan Khalid Ibrahim.

Orang Melayu yang menganggotai PKR sebenarnya lebih selesa jika parti mereka masih mengekalkan status seperti dahulu, iaitu sebelum bergabung dengan Parti Rakyat Malaysia (PRM) yang berbilang kaum.

Ini kerana mereka orang Melayu yang berada di dalam PKR kini sebilangan besarnya adalah bekas ahli UMNO yang masih tebal dan kuat dengan semangat Kemelayuannya.

Kegelisahan mereka makin membara apabila kemenangan yang “tidak disangka” calon-calon bukan Melayu PKR dalam pilihan raya umum yang lalu, telah mengakibatkan suara mereka semakin mengecil dalam parti. Penonjolan wakil rakyat bukan Melayu dari PKR melalui publisiti di media arus perdana dan lawan web, menjadikan mereka “dengki” terhadap apa yang berlaku.

Senario ini semakin kuat bermain di benak Anwar. Beliau perlu menjadikan PKR sebagai contoh parti yang padu dan sifar kontraversi. Tetapi hakikatnya sudah menjadi terbalik. Baru 100 hari lebih memerintah sudah banyak perkara sumbang berlaku. Lebih memalukan Anwar ialah perkara-perkara yang menjadi anti kepada beliau (kononnya) seperti nepotisme dan kronisme, sebenarnya berlaku berleluasa di dalam pemerintahan PKR masa kini.

Bagaimana hendak memerintah negara sedangkan baru tiga bulan lebih mendapat kuasa sudah bercelaru dan bermasalah?. Demi untuk menjaga nama dan reputasi beliau dan partinya yang kononnya tunjang Pakatan Rakyat, beliau perlu melakukan sesuatu untuk mengalih tumpuan peminat politik, ahlinya dan rakyat jelata supaya dapat melupakan kemelut yang beliau hadapi dengan memesongkan tumpuan negara kepada sesuatu yang menagih simpati dan perhatian semua pihak.

Gaya seperti anak-anak kecil yang meminta perhatian dari ibu bapanya, Anwar mula mengorak langkah yang sebenarnya bukan luar biasa kepada beliau. Beliau gemar jika dirinya “dibelai” dan sentiasa diperkatakan. Beliau juga gemar jika lebih ramai yang menangis dan meratap simpati kepadanya. Tak ubah seperti adegan filem Tamil atau Hindustan .

Logik atau tidak jika diperkatakan seperti di atas, Anwar sendiri yang mereka dan merangka konspirasi terhadap dirinya sendiri?. Kemungkinan dengan andaian berikut, tidak mustahil ianya berlaku jika dinilai dan dianalisis siapa Anwar yang sebenarnya.
v Mungkinkah pembantu beliau yang mendakwa diliwat, bersekongkol dengan Anwar mengheret pihak polis dalam keadaan yang tertekan dan serba salah. Ini kerana ahli PKR sememangnya anti polis, dan apa sahaja kenyataan dari pihak polis sememangnya tidak benar belaka.
v Anwar tidak akan melaporkan kepada polis berkaitan tuduhan liwat ke atas dirinya. Sebaliknya beliau akan terus menfailkan melalui tuntutan mahkamah terhadap budak muda tersebut. Sebabnya PKR sememangnya tidak percaya kepada pihak polis dan liputan publisiti lebih meluas jika membuat tuntutan di mahkamah.
v Mengapa perlu gundah dengan sibuk berbincang dan mengadakan sidang akhbar sehingga subuh, sedangkan polis baru sahaja menerima aduan dan siasatan belumpun lagi dilakukan. Strategi “lengkapkan kubu pertahanan” seperti tindakan Jose Rizal melawan Amerika di Filipina. (Anwar mengagumi perjuangan Jose Rizal).
v Mengapa tidak disoal siasat pengadu yang mendakwa diliwat dalam konteks pekerja parti dan partinya, kerana pengadu adalah pekerja Anwar.
v Mustahil ditangkap muat sahaja sesiapa yang hendak bekerja dengan seorang tokoh politik yang handal seperti Anwar tanpa di selidik latar belakangnya. Dakwaan tidak mengetahui asal usul pekerjanya amat tidak masuk akal sedangkan untuk menjadi pemandu Anwar pun perlu empat kali tapisan dan enam kali temuduga.
v Akibat kewibawaan PKR sebagai parti yang kononnya telus, amanah dan adil mula goyah, apa cara untuk memulihkannya? Iaitu dengan memburukkan kerajaan agar tumpuan beralaih kembali kepada keburukan kerajaan.
v Jika benar lagak sebagai pejuang, mengapa pula sanggup berlindung di kedutaan Turki?. Dakwaan kononnya ada cubaan bunuh sebagai alasan “mengurungkan” Anwar di kedutaan Turki berkemungkinan sudah dirancang awal. Bukan mudah dari segi diplomatik dan peraturan antarabangsa untuk secara tiba-tiba dengan hanya panggilan telefon, seorang duta negara asing “mudah tunduk” kepada seseorang yang bukan warganegaranya.
v Mengapa kes liwat? Kerana ianya sudah sinonim dengan nama Anwar. Nama “liwat” lah yang membuatkannya terus popular dan mudah meraih simpati. Dalam filem Tamil, seburuk mana perlakuan heronya tetap tidak salah kerana itulah identiti dan imej sebagai seorang hero. Maka itu ditonjolkan kembali “buruk laku” tersebut kerana ianya terbukti berjaya sepuluh tahun lalu dalam konteks meraih populariti politik.
v Mengapa tidak berani mengadakan sidang akhbar? Berani kerana benar dan tampillah berdepan dengan wartawan. Apakah takut diajukan soalan “cepu emas” yang akan membelit beliau?. Dalam konteks ini beliau memainkan peranan untuk bersembunyi supaya lebih lama lagi kes ini diperkatakan, lebih kuat lagi sokongan yang beliau perolehi. Juga seperti strategi Jose Rizal.
v Target untuk menjatuhkan kerajaan menjelang pertengahan September jelas sudah menampakkan kegagalan. Maka itu sesuatu perlu dilakukan untuk menaikkan lagi imej beliau. Harapannya jika wujud sesuatu kes yang besar, rakyat akan lupa seketika cita-citanya yang tidak kesampaian itu.
v Untuk menaikkan kembali kebencian rakyat kepada pihak polis dan perundangan negara dengan mensasarkan IGP dan AG yang kononnya berkospiransi dalam perbicaraan dahulu. Persoalannya mengapa sekarang?. Mengapa sekarang baru hendak membuat laporan polis bahawa ada konspiransi?. Kerana pada beliau inilah caranya untuk mendapatkan paduan sokongan apabila rakyat hilang percaya kepada dua pihak ini.
v Wujudkan rusuhan secara besar-besaran dan mengulingkan kerajaan melalui “coup de tat”. Istilah yang sering dipakai semasa Anwar di Yayasan Anda, yang merujuk kepada pemberontakan rakyat untuk menggulingkan kerajaan yang tidak bagus.
v Apakah tidak boleh dikatakan wujud konspirasi untuk menjatuhkan Datuk Seri Najib Tun Razak oleh PKR?. Mengapa pula diperbesarkan isu gambar budak muda tersebut yang berlatar belakangkan pejabat Timbalan Perdana Menteri? Apakah tidak mustahil perancangan telah dibuat awal-awal lagi?. Mesti ada sesuatu yang mendorong dakwaan kononnya terdapat pita rakaman perbualan budak tersebut dengan beberapa pemimpin besar UMNO? Sungguh besarkah pengaruh budak berusia 23 tahun itu untuk berbual dengan pemimpin UMNO seperti dakwaan PKR?

Jadi, siapa yang konspirasi siapa?

Yang jelas target utama Anwar sekarang ini ialah Najib. Ikutilah drama bersiri politik Anwar selepas ini. Pastinya yang menjadi sasaran adalah Najib.

Kita harus menilai dan menghalusi apakah intipati dan muslihat yang ada ekoran tuduhan kali kedua Anwar melakukan liwat. Pemikiran rasional dan terbuka akan menampilkan kewarasan kita untuk menilai gelagat ahli politik masa kini yang lebih kepada menyalahgunakan simpati rakyat untuk meraih tujuan peribadi dan memaparkan aksi lakonan politik yang semakin muak untuk ditonton.

2 comments:

Unknown said...

first time aku masuk blog nie.
best gak isi kandungannya. macam2 ada...
tapi kalau boleh korek sikit lagi pasal lina joy punya cerita.
aku tak puas ati betul kalau betul dia tu org jawa. korek lagi.
kes anwar tu keep writing.

Anonymous said...

Teori yang ni lagi logik dari teori konspirasi ala citer hindustan Anwar tu... Anwar tu patut jadi pelakon telenovela je. Hahaha.