KEMELUT politik yang bergolak di Malaysia pada masa ini amat membimbangkan rakyat jelata. Kesannya amat buruk kepada ekonomi, perpaduan dan kesejahteraan rakyat. Namun yang nyata, ini berlaku antaranya kerana kelemahan yang ada pada Barisan Nasional.
Dalam konteks BN, UMNO menguasai tampuk pemerintahan negara melalui kuasa politik, namun ekonomi orang Melayu masih berada pada tahap yang rendah walaupun setelah 51 tahun merdeka.
Baik dari segi ekuiti, pemilikan hartanah dan lain-lain lagi telah menunjukkan kesemuanya pada tahap yang tidak menyebelahi orang Melayu.
Selain itu, sejarah telah membuktikan bahawa kejatuhan empayar Melaka adalah disebabkan angkara perangai orang Melayu sendiri. Sikap tamak, angkuh dan tiada jati diri Melayu telah menjadi topeng menjahanamkan bangsa.
Senario semasa berkenaan kempen pemilihan UMNO cawangan dan bahagian pada masa ini telah menunjukkan penyakit ini menjadi lebih parah.
Ini kerana masing-masing pihak yang mempunyai kepentingan bertanding sesama sendiri. Memang amalan demokrasi wujud di dalam UMNO.
Namun ketika mana UMNO masih terkejut dek tsunami politik dalam Pilihan Raya Umum Ke-12 yang lalu, ramai di antara individu telah menonjolkan diri sebagai adijagat atau pahlawan di kawasan masing-masing serta menyalahkan antara satu dengan yang lain punca kekalahan UMNO dan BN.
Saya sebagai pemerhati yang ikhlas terhadap parti UMNO, kepimpinan dan ahli-ahlinya, merasakan bahawa ketika ini UMNO perlu bersatu dan menyatu. Bersatu di kalangan pemimpin dan menyatukan ahli-ahli di peringkat bawahan.
Jika ini berlaku, kita akan dapat melihat ramai di antara individu yang memberi laluan kepada muka baru dan ada yang kekal di bahagian masing-masing. Sifat toleransi perlu dihayati semua ahli dalam UMNO. Sebagai contoh di negeri Selangor sahaja berlaku banyak pertandingan dikebanyakkan bahagian.
Apa yang hendak dipertahankan oleh mereka yang menang kalau bertanding nanti? Memang menang tetapi negeri masih di bawah pembangkang.
Tidak tahulah jika menang esok, kerajaan boleh bertukar kepada Barisan Nasional. Apa yang amat membimbangkan saya ialah ketaksuban berpolitik yang keterlaluan sehinggakan ia menjadi satu kerjaya yang bakal memberi kesan buruk kepada orang Melayu.
Ini kerana sikap sebegini akan memecahbelahkan perpaduan Melayu kerana apabila Melayu dengan Melayu bermasam muka, bergaduh dan bermacam-macam lagi, imej dan identiti Melayu itu akan hilang. Yang tinggal hanyalah kepentingan diri melebihi atau mengatasi segala-galanya.
Saya mencadangkan agar diadakan kompromi dalam pemilihan nanti dan dilakukan oleh pemimpin besar UMNO. Sehingga ke hari ini, saya dimaklumkan ada terdapat agenda kompromi namun ia lebih molek jika kesemua bahagian mengamalkan konsep ini ke arah perpaduan total.
Dengan kata lain, siapa nak jawatan ambil tapi pastikan UMNO menang dan padu dalam pilihan raya akan datang. Kemukakan strategi agar dapat diterima oleh ahli dalam mesyuarat bahagian. Bukannya bertelagah sesama sendiri tanpa memikirkan kesan jangka panjang ke atas parti. Bak kata pepatah menang sorak kampung tergadai.
Seperkara lagi yang perlu ditekankan oleh pemimpin UMNO ialah keikhlasan. Adakah kita mendengar di dalam pemilihan Pas, isu-isu politik wang? Memang tidak elok untuk kita bandingkan Pas dan UMNO. Namun hakikatnya ialah apa yang digembar-gemburkan di dada akhbar tentang perangai orang yang hendak bertanding yang menabur wang sana sini, berhabis wang belanja, makan panggil pengurus kempen dan pengikut-pengikut.
Ini tidak termasuk belanja keraian di tempat- tempat eksklusif dan lain-lain lagi. Apakah kerusi yang dipertanding itu bakal menjanjikan kesenangan diri sehingga sanggup berbelanja besar sedangkan rakyat jelata masih kais pagi makan pagi.
Perjuangan UMNO perlukan keikhlasan dan saya mohon keikhlasan ini dikembalikan agar UMNO terus relevan sepanjang zaman. Pemimpin besar UMNO perlu menyekat gejala ini sebelum ia bertambah parah. Carilah pendekatan yang holistik agar pemimpin-pemimpin baru UMNO yang bakal dipilih terserlah kejujuran dalam perjuangan dan bukan materialistik.
Sikap bermewah-mewah pemimpin UMNO juga perlu dijauhi kerana tanggapan rakyat sekarang sudah berbeza. Rakyat terutamanya golongan muda dapat menilai yang mana satu intan dan yang mana satu kaca. Kenapa pendapat veteran UMNO tidak diambil endah berkenaan perjuangan UMNO dahulu dan perjuangan UMNO sekarang. Ia memang berbeza. Bahaskan dalam perhimpunan dan cari jalan penyelesaian. Buat rumusan dan tindakan. Bukannya bermesyuarat untuk berseronok-seronok.
Ramai pemikir kreatif dan kritis di dalam UMNO dan pemikir-pemikir ini perlu membantu parti dalam perjuangan ke-100 tahun yang akan datang.
Keperluan kepada wajah baru atau dengan kata lain rebranding UMNO sangat-sangat perlu memandangkan UMNO dibidas dan diherdik oleh ahli sendiri. Ahli tidak menyokong parti dan ahli memboikot mesyuarat.
Mungkin ada pihak atau individu yang tidak bersetuju dengan pandangan saya namun saya berhak memberi pendapat berdasarkan kebebasan dan kemerdekaan saya sebagai anak jati Melayu yang sayangkan bangsa, agama dan tanah air. Biarlah yang berlalu itu menjadi iktibar. Buang yang keruh ambil yang jernih. Semoga ahli UMNO bermuhasabah dan merenung kembali kesilapan masa lalu sementara kuasa masih ada.
AHLI UMNO TULEN
No comments:
Post a Comment