Friday, September 26, 2008

UMNO RAMAI HANTU


TERLALU banyak spekulasi berkaitan peralihan kuasa 2010 kebelakangan ini. Begitu juga dengan cakap-cakap tentang pemilihan UMNO bahagian bermula Oktober dan Majlis Tertinggi (MT) pada Disember.

Sejak dua minggu lalu, ada sahaja perkembangan baru mewarnai senario politik UMNO menjadikan parti itu mendapat perhatian besar.
Hari ini, akan berlangsung mesyuarat khas MT UMNO yang turut mengundang desas-desus tentang kemungkinan peralihan kuasa lebih awal dan pemilihan parti mungkin ditangguhkan.

Ada yang melihat perkembangan dalam UMNO sekarang sebagai tidak sihat tetapi ada pula yang menganggapnya sebagai proses yang dinamik.

Persoalannya ialah sampai bila senario sebegini akan berlarutan dan tiadakah penyelesaian bagi menanganinya?

Semoga barisan ahli MT akan membuat keputusan terbaik dan penuh permuafakatan demi kepentingan agama, bangsa dan negara.

Dalam pada itu, Awang lega kerana pelan peralihan kepimpinan Pergerakan Wanita UMNO pada Jun tahun depan berjalan dengan baik. Ternyata Rafidah Aziz dan Shahrizat Abdul Jalil semakin mengukuhkan komitmen mereka.

Ada orang percaya hantu jembalang. Ada yang tidak. Tetapi yang paling panjang taringnya dan sangat ditakuti bukanlah hantu yang bergayut di pohon jejawi, tetapi hantu jembalang yang bertakhta di dalam hati.Inilah agaknya hantu yang benar-benar mengusik dan mengacau Abdullah dan Mohd Najib. Hantu yang menghuni hati mereka adalah ketakutan.

Hantu yang mengusik Presiden Umno dan Perdana Menteri Abdullah Ahmad Badawi kini bukan calang-calang hantu. Hantu yang lebih menakutkan daripada jin afrit.Kalau jin afrit, iblis dan syaitan penawarnya ada. Baca ayat-ayat al-Quran dan beri selawat, kalau doakan kita dimakbulkan, nyahlah mereka.

Mohd Najib juga ada hantu di dalam hatinya. Dia takut Abdullah belot. Takut penyokongnya hilang sabar kerana dia berdolak-dalik. Dan takut Muhyiddin Yassin mencabarnya sebagai Timbalan Presiden.

Kerana ketakutan dan ketidakyakinan inilah, Abdullah dan Mohd Najib tidak habis-habis berkhalwat, duduk rapat-rapat, bermesyuarat dan berpadu erat.

Mesyuarat luar jadual Majlis Tertinggi Umno yang dijadualkan pagi ini – hari Jumaat dan waktu kerja --- boleh dianggap sebagai rentetan kepada ketakutan Abdullah dan Mohd Najib ini.

Dalam mesyuarat MT minggu lalu terdengar suara-suara lantang mempertikaikan kepemimpinan Abdullah dan jadual peralihan kuasa dua saudara pada tahun 2010.Yang sangat memalukan Abdullah adalah tersebarnya berita itu di alam siber (portal berita dan blog).

Media massa arus perdana pun nampaknya tidak dapat lagi menahan nafsu untuk sama-sama menyiarkan berita seperti itu.

Saya perhatikan semakin banyak komponen media arus perdana yang tidak lagi terikat dan terpaut dengan “official line” (pendirian rasmi) dalam pemberitaan mereka.Lantas Abdullah bergegas menggerakkan jentera perhubungan Pulau Pinang yang beliau sendiri mempengerusikan dan perhubungan Kelantan yang dipengerusikan oleh penyokong tegarnya Anuar Musa untuk mengikrarkan sokongan dan taat setia.

Nampaknya ikrar mereka dan maklum balas yang diperoleh belum meyakinkan Abdullah bahawa segala-galanya sedang berjalan seperti direncanakan.Tetapi apakah yang dapat harapkan daripada mesyuarat luar biasa hari ini?

Apakah mesyuarat hari ini akan mengulangi trend mesyuarat minggu lalu? Adakah Mohd Najib akan sekali lagi menyekat ahli daripada berhujah semata-mata untuk membuktikan taat setianya kepada Abdullah?

Adakah Mohd Najib rela berenang dan lemas bersama Abdullah atau dia akan membenarkan ahli memberitahu Abdullah apa yang dia perlu dengar dan bukan apa yang dia suka dengar?

Lantaran itu, tempoh masa yang bermula 9 Oktober ini penting bukan sahaja kepada Abdullah tetapi sama penting bagi Mohd Najib. Kalau Abdullah musykil, Mohd Najib tidak boleh terlalu yakin.Kalau Umno dan BN menderita pada pilihan raya umum 8 Mac lalu kerana protes terhadap kepemimpinan Abdullah, hal yang serupa tidak mustahil berlaku kepada Mohd Najib kerana dia dilihat sebagai terlalu taasub kepada Abdullah.


Pokok pangkalnya kita kembali kepada janji keselamatan, keamanan dan kemakmuran yang dibuat oleh Abdullah pada pilihan raya umum lalu.


Justeru itu, kita perlu bertanya, bolehkah seorang ketua kerajaan yang dalam ketakutan dan tidak berkeyakinan mentadbir dan menguruskan negara dengan sebaik-baiknya pada saat yang genting seperti sekarang?


Bolehkah Abdullah, dengan kapasiti pengurusan politik dan ekonomi yang tidak menyerlah itu, menangani masalah ekonomi dan keselamatan negara yang semakin mencabar?

sumber:
www.kadirjasin.blogspot.com

No comments: