Thursday, September 18, 2008

JANGAN PADAM FAKTA SEJARAH

(Tulisan di bawah ini adalah satu pandangan ikhlas dari seorang pemuda Cina yang begitu jitu dan terbuka pemikirannya. Fakta yang diberikan cukup bagus. Artikel ini ditujukan kepada pembaca yang buta sejarah dan yang semborono mengeluarkan kata-kata apabila berbicara persoalan perkauman di Malaysia)
Jangan padam fakta negara
PRESIDEN MCA, Datuk Ong Ka Ting berkata, sebab utama komuniti Cina berang dengan kenyataan Datuk Ahmad Ismail yang menganggap mereka sebagai pendatang adalah kerana "nenek moyang mereka telah berkorban untuk negara ini lama sebelum negara ini mencapai kemerdekaan."

Saya tidak pasti sama ada boleh bersetuju dengan pendapat Ka Ting itu. Sebagai generasi muda keturunan bukan Melayu saya ragu-ragu dengan kebenaran kenyataan itu.
Benarkah nenek moyang kita telah berkorban untuk negara ini melalui kerja keras setelah berhijrah dari benua China ke Malaysia, dulunya Tanah Melayu?
Atau kerja keras yang dilakukan itu adalah pengorbanan untuk membebaskan diri mereka daripada kehidupan yang melarat sewaktu berada di negara asal mereka sehingga ada antara kita menjadi kaya raya dan tidak mahu lagi balik ke China atau India atau Indonesia?
Sebagai pelajar sejarah, saya lebih cenderung untuk percaya bahawa nenek moyang saya yang datang ke negara ini bekerja siang malam bukan sangat ingin berbakti kepada Tanah Melayu, seperti yang didakwa oleh Ong Ka Ting, tetapi lebih untuk memajukan diri supaya kesengsaraan kehidupan mereka sebelum itu berjaya diatasi.
Pengamatan ini saya buat setelah membaca buku V. Purcell berjudul Chinese in Malaya. Dalam buku itu, pengarang Inggeris itu antara lain merumuskan, " in Malaya their main concern was to make enough to retire to China as soon as possible ."
Menurut Purcell, matlamat Inggeris membawa pendatang asing China dan India adalah untuk memeras kerajinan mereka bekerja bagi meraih keuntungan ekonomi kepada kuasa Eropah itu. Tidak tertulis - secara tersurat atau tersirat yang pendatang China itu dibawa ke Tanah Melayu untuk memberi pengorbanan bagi membangunan negara ini.
Dengan kata-kata lain, kedatangan komuniti dari China ke negara ini bukan untuk berbakti untuk Tanah Melayu seperti yang didakwa oleh Kah Ting tetapi untuk meneroka atau malah memeras kekayaan negara Melayu ini, membuat sebanyak mungkin kekayaan pada waktu yang singkat, kemudian hidup untuk senang lenang di negara asal mereka.
Ka Ting dan warga Malaysia keturunan Cina yang lain patut menerima hakikat itu, bukannya memandai-mandai membuat kesimpulan untuk menyedapkan hati masyarakatnya dengan menolak hakikat sejarah. Usahlah kita menipu sejarah atau menggunakan sejarah sebagai expidient politik untuk menghalalkan tentangan kita terhadap persetujuan asas yang telah kita capai sewaktu negara ini mencapai kemerdekaan.
Fakta
Benar, generasi keturunan pendatang itu sekarang mungkin sudah menjadi warga negara Malaysia. Tetapi kita tidak akan dapat memadamkan fakta bahawa warga Malaysia keturunan Cina adalah berasal usul pendatang. Apa yang saya tahu tidak ada antara mereka yang berhijrah ke Tanah Melayu dulu dengan niat untuk berkorban membangunkan Tanah Melayu. Mereka datang untuk mencari kehidupan yang lebih baik. Setelah menemuinya, mereka membuat keputusan untuk tinggal terus di sini.
Tuan rumah pula bersetuju untuk mengiktiraf mereka bukan sebagai penumpang, tetapi sebahagian daripada warganya. Alangkah bertuahnya kita. Kalau orang luar berhijrah ke negara China, mereka belum tentu lagi diberi layanan yang sama.
Lihatlah bagaimana pihak berkuasa China melayan komunis Melayu yang tinggal dalam buangan di negara China. Setelah berpuluh-puluh tahun menetap di Beijing, mereka tidak diberi pengiktirafan sebagai warga negara. Mereka dilayan seperti sampah.
Akhirnya, pejuang komunis seperti Musa Ahmad, Khadijah Sidek dan ramai lagi terpaksa pulang ke Malaysia kerana berasa dianaktirikan oleh pihak berkuasa Republik Rakyat China walaupun mereka pernah berjuang untuk kepentingan ideologi yang sama.
Lantaran usahlah kita emosional kerana hakikatnya warga keturunan bukan Melayu memang bangsa luar dari alam Melayu ini. Cuma status kita sudah bertukar yang memberi kita hak untuk menetap di negara ini, sama seperti yang dimiliki penduduk pribumi. Kita sepatutnya bersyukur kerana dapat bernaung di bawah kepimpinan Melayu, dulunya Raja-raja Melayu sekarang UMNO. Kita dibenarkan membuat kekayaan mengatasi orang Melayu itu sendiri. Alangkah beruntungnya kita.
Jadi bagi saya sebab yang lebih munasabah mengapa orang Cina di Malaysia patut berang kalau dianggap sebagai pendatang bukan kerana nenek moyang kita pernah berkorban untuk Tanah Melayu, tetapi kerana mereka sudah menjadi warga negara Malaysia. Sebagai warga negara tentulah tidak kena jika label pendatang dipakai untuk kita.
Hak-hak kita sebagai warga dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan. Tentulah tidak ada jaminan yang lebih kudus daripada apa yang terkandung dalam undang-undang utama negara itu. Tiada siapa yang boleh menarik balik atau membatalkan apa yang tercatat di dalamnya.
Bagi saya apa yang saya pasti ialah pemberiaan kewarganegaraan kepada penduduk imigran Cina secara liberal berdasarkan prinsip jus soli adalah satu lagi bukti hasil kemurahan hati pemimpin Melayu pada 1957 telah membolehkan kita tinggal di bumi Melayu tanpa berasa takut diusir ke tempat lain. Kita hendaklah menjadi manusia yang tahu mengenang budi kerana dengan satu coretan pena, 1.5 juta penduduk imigran telah menjadi warga negara Tanah Melayu. Jika tidak, datuk nenek kita kita dulu mungkin menjadi orang tanpa warga negara. Bayangkan kesusahan yang akan kita alami.
Atau jika tidak besar kemungkinan nenek moyang kita terpaksa balik ke negara China dan kita tidak ada hak untuk tinggal di negara yang bernama Malaysia ini.
Hak istimewa
Bagi saya pemberian kewarganegaraan berdasarkan prinsip jus soli ini adalah hak istimewa yang diberikan oleh orang Melayu kepada penduduk imigran ketika itu. Kita menikmatinya serta merta, tidak seperti hak istimewa orang Melayu yang diabaikan pelaksanaannya oleh pemimpin Melayu itu sendiri pada tahun-tahun awal kemerdekaan sehingga terpaksa diperkenalkan Dasar Ekonomi Baru (DEB) pada 1970.
Warga Malaysia keturunan Cina patut berterima kasih dengan orang Melayu kerana pemberian kewarganegaraan itu adalah muktamad dan tidak boleh dipersoalkan.
Malah membangkitkan status kewarganegaraan kepada orang Cina sama seperti mempersoalkan kedudukan Raja-Raja Melayu, hak istimewa orang Melayu/bumiputera, kedudukan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan agama Islam sebagai agama Persekutuan, adalah suatu kesalahan di bawah Akta Hasutan 1948.
Sebagai mengenang budi pemberian orang Melayu, marilah kita akur dengan apa yang telah dipersetujui oleh nenek moyang kita dengan para pemimpin Melayu sewaktu negara mencapai kemerdekaan. Marilah kita belajar untuk menerima hakikat bahawa kedudukan hak istimewa orang Melayu adalah sesuatu yang sudah selesai dan tidak harus mempertikaikan lagi.
GENERASI MUDA REALISTIK
Shah Alam

1 comment:

Sutera Timur said...

Alhamdulillah ....dan terima kasih saya ucapkan kepada Generasi muda dari Shah Alam ini.

Sungguh mulia hatinya kerana dapat menerima apa yang telah menjadi fakta dan sejarah dan tidak sedikit pun emotional dgn isu pendatang @penumpang. Teringat saya semasa kecil kecil dahulu jiran saya orang China dan India. Kami sangat rapat dan tak pernah mengganggap mereka sebagai asing memang kadg kala bergurau dan bergaduh ,tapi taklah sensitif sampai emotional atas perkara yang kecil2.Kalau hari raya @tahun baru@ deepavali kami bertukar tukar makanan dan tak terlintas malah kadg kadg bercerita masalah keluarga masing2.Bila dah dewasa masing2 bawa diri tetapi kadg2 masih tertanya tanya dimana kawan-kawan baik ni berada.Rindu juga rasanya .Itu sebabnya saya pelek bila atas suatu perkataan jadi macam nak jadi perg dunia Gerakan dan DAP dgn MELAYU,dan kerajaan pula boleh anggap benda ini macam besar sangat...Kasihan Datok AHMAD ISMAIL...jadi kambing hitam ...atas benda yang tak sepatutnya diperbesarkan oleh mereka....Sangat mulia GENERASI MUDA SHAH ALAM kerana dapat melihat kebenaran dan tidak terikut-ikut dgn isu perkauman yg dibangkitkan oleh pengambil kesempatan.Sya salute pd generasi muda shah alam ni.Inilah contoh seorang warga yang perlu ada pada seorang rakyat malaysia.

SILA LAYARI;

sutera_timur@yahoo.com

untuk mendapatkan maklumat lanjut sejarah kewarganegaraan untuk kaum china dan india di tanah melayu sebelum merdeka supaya dapat kita renungkan bersama. wassallam