Thursday, January 15, 2009

EZAM BOM ANWAR

Oleh Lukman Abas

Kuala Terengganu -- Umpama bom berangkai, bekas Ketua Angkatan Muda Keadilan, Mohd Ezam Mohd Nor pada ceramah di Kampung Kubang Parit malam tadi bukan sahaja mendedahkan kandungan surat ‘damai’ Datuk Seri Anwar Ibrahim kepada Tun Dr Mahathir Muhamad malah membongkar agenda sebenar Pas memperkudakan Anwar Ibrahim.

Lebih menarik lagi Ezam mendakwa Pas sebenarnya tahu perangai sebenar Anwar atas kelakuannya yang tidak boleh diterima Islam.

Perkara ini kata beliau lagi dijelaskan kepada Naib Presiden Pas, Husam Musa ketika beliau hendak keluar parti Keadilan dahulu.

"Pada malam ini, saya nak bagi tahu, dengan lafaz ‘ Wallahi, Wabillahi, Watallahi’ saya beritahu Husam bahawa saya nak tinggalkan Anwar kerana ada beberapa perkara yang dilakukan oleh Anwar secara peribadi dan politik yang saya tak boleh terima sebagai orang Islam.

"Saya bagi tahu kalau saya terus membantu beliau (Anwar) jadi pemimpin, saya berdosa besar. Saya tak nak bagitahu yang lain kerana tak mahu aibkan orang," katanya.

Menurut Ezam, sebagai kawan dan pemimpin Pas yang dihormati, beliau bertemu Husam untuk memberitahu keputusannya keluar Keadilan.

"Nak tahu apa jawapannya?, Saya cabar dia nafikan. Anwar saya tak mahu cabar dia, kerana saya tahu, mana dia mahu.

"Tapi saya cabar Husam nafikan...nak tahu apa jawapannya, Husam kata “kita pun tahu ( perangai Anwar) tapi sebab politik, kita nak pakai dia, kita nak tunggang dia,” ujarnya.

Ezam berkata, beliau terkejut kenyataan itu yang keluar daripada Naib Presiden Pas itu.

"Saya nak cabar Husam menafikan kata-katanya pasal Pas nak tungang Anwar itu sebelum habis tempoh berkempen pada pilihan raya kecil parlimen Kuala Terengganu 17 Januari ini.

"Saya cabar Husam datang Kuala Terengganu jawab tuduhan kata saya masuk UMNO kerana nak cari makan. Di ada dua malam atau dua hari jawab cabaran saya," tegasnya.

Menurut Ezam, sebelum ini beliau tidak mahu sentuh perkara itu tetapi beliau cukup terguris dengan tuduhan dibuat oleh Husam yang menjejaskan kredibilitinya.

"Dia tahu sebab saya keluar Keadilan tetapi mungkin kerana terpengaruh janji Anwar nak bagi jawatan menteri atau apa, dia sanggup buat kenyataan saya masuk UMNO kerana nak cari makan.

"Kerana Husam sudah mencabar maruah saya, dengan lafaz sumpah saya tadi, saya cabar beliau, dua malam lagi supaya turun Kuala Terengganu dan buat sumpah nafikan kenyataan saya ini," ujarnya.

Katanya, kalau perkara itu tidak selesai selepas 17 Januari, beliau akan ‘ pusing keliling’ seluruh Kelantan selepas pilihanraya kecil Kuala Terengganu untuk berdepan dengan Husam.

"Kalau nak perang, kita perang. Kerana apa, kerana Anwar juga kata saya jadi alat pada UMNO. Saya bukan diperalatkan tetapi dulu Anwar peralat saya untuk bebaskannya.

"Tetapi untuk agama dan bangsa saya, saya rela diperalatkan malah seluruh nadi, denyut jantung dan darah saya rela," tegasnya.

Mengenai surat damai Anwar kepada Mahathir, beliau berkata surat tersebut didedahkan kerana ingin membuktikan Anwar pemimpin paling hipokrit dan munafik yang berbahaya kepada negara.

Menurut Ezam, surat berkenaan adalah untuk menunjukkan betapa hipokritnya sikap Anwar yang pada ketika yang sama mengutuk Dr Mahathir kerana dipecat tetapi tanpa pengetahuan para penyokongnya menulis surat nak berdamai dengan Dr Mahathir.

"Ini surat dibuat selepas dia dipecat dan kritik hebat Dr Mahathir. Daripada surat ini, seluruh rakyat boleh menilai jenis pemimpin apa Anwar Ibrahim ini," katanya.

Menurut Ezam bekas bosnya itu adalah jenis yang boleh bercakap dengan Lim Kit Siang lain dan kemudiannya cakap lain dengan Datuk Seri Haji Hadi Awang.

Surat Anwar bertulis tangan kepada Dr Mahathir.

YAB Datuk Seri Dr Mahathir.

Assalamualikum Warahmatullah.

Perkembangan beberapa hari ini kebelakangan ini sungguh merimaskan. Berita-berita yang mengaibkan peribadi saya secara berterusan oleh media tempatan nampaknya tidak berkesudahan.

Saya dan Azizah harus tabah. Anak-anak saya mulanya agak sugul dan gundah. Hati mereka luka dan pelajaran mungkin terjejas. Alhamdulillah, mereka kian teguh berkat sokongan keluarga besar kami, rakan-rakan rapat-khususnya Azizah yang sentiasa disamping mereka.

Saya masih kebingungan, bertanyakan punca konspirasi untuk mengaib dan menjatuhkan saya. Harapan saya, ialah agar keadaan sedikit reda bagi membolehkan saya membela diri dan mengembalikan kepercayaan rakyat.

Seperkara lainnya, ialah perihal keselamatan keluarga saya. Ibu bapa saya mengulangi pertimbangan Datuk Seri agar anak angkat mereka ( menurut Ezam, anak angkat dimaksukan adalah Sukma) tidak harus ditahan.

Memadailah, penderaan yang kami alami sebagai keluarga dengan menghadapi tuduhan yang amat berat.

Betapa getir dan cemas kedudukan kami, saya dan Azizah tidak pernah melupakan curahan kasih sayang, bimbingan dan peluang yang Datuk Seri berikan.

Meskipun perhubungan diantara kita agak renggang, saya tidak mungkin melupakan jasa baik Datuk Seri.

Semoga Allah S.W.T memberikan taufik dan hidayah, memelihara kesejateraan kita bersama.

Salam saya dan Aizah kepada Datuk Seri dan kak Hasmah.

Anwar Ibrahim.
8 September 1998

No comments: