Friday, November 23, 2007

AHLI MAJLIS JUGA WAJAR DAPAT PENYAPU


Kecoh anegerah penyapu masih belum reda di seluruh negara sehinggakan menjadi topik perbualan dan jenaka sinis walaupun hampir seminggu insiden mengaibkan kakitangan perkhidmatan awam itu berlaku.

Anugerah penyapu yang disampaikan oleh Menteri Besar Selangor di majlis Anugerah Khas Prestasi Kutipan Hasil Negeri Selangor 2006 pada 12 Novemver lalu secara tidak langsungnya telah mencalar arang ke muka seluruh penduduk daerah Hulu Selangor dan Selangor amnya.

Walaupun anugerah tersebut di beri kepada dua jabatan kerajaan dalam daerah yang sama, iaitu Pejabat Daerah dan Tanah Hulu Selangor dan Majlis Daerah Hulu Selangor, namun fokus umum adalah terdorong kepada Yang Dipertua Majlis Daeah Hulu Selangor (YDP MDHS).

Mengapa begitu? Jawabnya MDHS adalah pihak berkuasa tempatan (PBT) dan sesungguhnya ianya lebih dekat dengan rakyat kerana ada wakil kepada rakyat yang menganggotai dalam carta organisasinya iaitu "Ahli Majlis". Media sendiripun seperti terlepas pandang untuk mendapatkan ulasan daripada Pegawai Daerah Hulu Selangor. Semuanya terarah kepadaYDP MDHS.

Dikalangan rakyat biasa, mereka mula bertanyakan dimanakah peranan ahli majlis dan apa yang mereka lakukan selama ini?. Umum mengetahui terutamanya orang politik bahawa hendak menjadi ahli majlis pun sama seperti hendak menjadi wakil rakyat. Tetap ada konsep melobi pemimpin atasan untuk mendapatkan jawatan ahli majlis. Setakat hendak bermegah dengan lambang majlis di kereta dan kemudahan parking percuma, lebih baik tidak payah menjadi ahli majlis jika masih buta tentang apakah tugas sebenar ahli majlis.

Harapan rakyat begitu tinggi terhadap ahli majlis supaya dapat meningkatkan kualiti PBT seperti meningkatkan kutipan cukai taksiran. Mereka lebih hampir dengan rakyat untuk memberi penjelasan mengapa pentingnya hasil kutipan cukai taksiran kepada seluruh penduduk di dalam kawasan pentadbiran PBT itu.

Dalam kes MDHS ini, adalah wajar semua ahli majlis turut di berikan anugerah penyapu kerana mereka juga telah gagal berfungsi sebagai seorang ahli majlis. Itulah peranan dan tanggungjawab sebenarnya ahli majlis dan bukannya diletakkan sepenuhnya masalah dan bebanan kepada YDP. Lebih pilu lagi YDP MDHS sekarang ini berkhidmat tidak sepenuhnya di sepanjang tahun 2006 yang diukur prestasi sehingga mendapat anugerah yang terhina itu.

Sepatutnya dipanggil bekas YDP yang berkhidmat di dalam sebahagian tahun 2006 itu untuk turut sama menerima penyapu supaya tidak semua pihak menuding jari kepada Tukiman Nail, YDP MDHS sekarang ini. Ini kerana Tukiman mengangkat sumpah sebagai YDP MDHS pada 25 Mei 2006. Apakah penjawat jawatan YDP sebelum Tukiman hendak dilepaskan begitu sahaja untuk menerima anugerah "paling berprestij" di negara ini?. Kewajaran dan keadilan sepatutnya dilakukan sebelum sesuatu "anugerah" hendak disampaikan.

Kerajaan negeri wajib bersikap adil di dalam apa sahaja anugerah yang hendak diberikan. Jangan pula apabila sesuatu agensi kerajaan negeri yang baik prestasinya, berebut-rebut pula hendak menerima anugerah sehinggakan hampir semua pegawai di dalam sesuatu jabatan naik ke pentas untuk menerima sekeping sijil penghargaan sahaja. Apakah adil membiarkan Tukiman seorang sahaja naik ke pentas mengambil sebatang penyapu?. Di mana setiausaha, ketua jabatan dan ahli majlis MDHS?.

Kontroversi dan publisiti murahan menjelang pilihan raya umum seharusnya difikirkan semasak-masaknya sebelum dilaksanakan. Janganlah kita memikirkan "political milage" kita sahaja tanpa memikirkan buruk baik dan kesannya terhadap apa yang kira rancang hendak dilakukan.

Perlu diingat kakitangan awam adalah jentera penting di dalam karier politik seseorang pemimpin. Memang benar masih ada sistem dan cara perlaksanaan jentera kerajaan yang tidak baik dan mengundang cemuhan rakyat. Tetapi apabila dirungkaikan susun galurnya, siapakah pemimpin nombor satunya disesebuah negeri?.

Rakyat tetap pada dasarnya akan menuding jari kepada pucuk pimpinan kerajaan negeri kerana tidak menjaga jentera pentadbiran di peringkat dawahan terutamanya di daerah. Jika sudah tahu apa masalahnya pada tahun 2006 mengapa penduduk Hulu Selangor amat liat untuk membayar cukai taksiran dan cukai tanah, apa tindakan susulan yang telah dilakukan? Itu sebenarnya rakyat hendak tahu apa kerja pihak kerajaan untuk memastikan rakyat membayar cukai.

Apakah kurang promosi dan maklumat? Apakah masih tiada kesedaran dan keprihatinan rakyat untuk menjadikan "bayar cukai" suatu kewajipan? Di sinilah peranan ahli majlis yang sering dilupai oleh ahli majlis sendiri. Mereka hanya memandang jawatan mereka bermotifkan politik tanpa memikirkan apakah sumbangan mereka sebagai perantara antara rakyat dan PBT. Jangan asyik memikirkan projek dan peruntukan sahaja tanpa memikirkan bagaimana sesuatu PBT boleh menjana pendapatan melalui kutipan cukai taksiran.

Ahli majlis jangan hanya bermegah dengan lambang pada kereta dan sibuk dengan perniagaan dan lupa tentang apakah peranan yang sepatutnya dimainkan sebagai ahli majlis. Apakah perlu kerajaan negeri memberikan kursus kepada semua ahli majlis untuk diperjelaskan peranan dan tanggung jawab yang sebenarnya sebagai seorang ahli majlis?

Jika perlu, kerajaan negeri haruslah merjalankan kursus sebegini dengan kadar segera agar isu sebegini tidak disensasikan sebagai isu utama bila tiba demam pilihan raya umum nanti.

Mungkin benar pendapat sesetengah pengkritik bahawa pemilihan ahli majlis oleh pucuk pimpinan kerajaan negeri sewajarnya diubah daripada berlatar belakangkan politik kepada berlatar belakangkan profesionalisme. Ramai yang tahu termasuk juga Menteri Besar bahawa ada ahli majlis yang tidak tahu membaca dan menulis. Malah ada juga ahli majlis yang pelat berbahasa Melayu. Itulah akibat pemilihan ahli majlis mengikut kuota parti politik yang memerintah.

Selangor umpama, pemilihan ahli majlis masih lagi bergantung kepada kuota parti komponen Barisan Nasional(BN). Akibatnya terdapat ahli majlis yang mewakili parti komponen BN (bukan UMNO) yang berlatar belakangkan pengusaha pusat video haram, pemandu jentolak, kontraktor dan peniaga kedai runcit. Mereka menjadi ahli majlis disebabkan mereka berjawatan politik di dalam parti seperti ketua, setiausaha dan bendahari bahagian.

Dengan berlatar belakang pendidikan yang rendah, tetapi "berjawatan tinggi" dalam politik, maka mereka layak secara "automatik" sebagai ahli majlis.
Golongan seperti inikah yang boleh diharapkan oleh pembayar cukai untuk mencorak dan merangka dasar pembangunan dan perancangan sesuatu PBT?

Akibatnya mereka ini hanya tahu datang ke mesyuarat penuh dan mendengar sahaja apa yang diperbincangkan tanpa mengambil bahagian di dalam perbahasan. Apakah itu suatu jalan mudah pentadbiran dalam merancang dan melaksana sesuatu rancangan pembangunan dengan harapan jika lebih ramai ahli majlis berpendidikan rendah lebih mudahlah pentadbiran PBT menjalankan tugas?

Kesimpulannya, perlantikan ahli majlis perlulah mempunyai martabatnya yang tersendiri. Ketepikan soal kuota politik jika inginkan ahli majlis yang berwibawa dan berwawasan. Nescaya jika kesemua 24 orang ahli majlis di dalam sesuatu PBT itu dianggotai oleh mereka yang profesional dan intelek, sudah pasti anugerah penyapu tidak akan berlaku.

Jika tidak, ahli majlis yang ada sekarang sewajarnya diheret bersama ke atas pentas untuk sama-sama menerima penyapu. Sekurang-kurangnya mereka tahu bahawa mereka juga bertanggungjawab terhadap prestasi buruk kutipan hasil PBT dan tidak hanya melepas tangan dan menuding jari ke arah YDP.

No comments: