Friday, February 29, 2008

CERITA TIGA CALON TERNAMA




Cerita Tiga Calon Ternama
A Kadir Jasin


NURUL IZZAH, 27 tahun anak sulung Anwar Ibrahim. Bertanding di Lembah Pantai melawan seorang Menteri (Shahrizat Abdul Jalil).

Khairy Jamaluddin, 32 tahun anak lelaki tunggal seorang bekas duta dan menantu kepada Perdana Menteri. Bertanding di Rembau melawan seorang bekas cikgu sekolah (Badrul Hisham Shaharin).

Mukhriz, 43 tahun anak bongsu bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad. Bertanding di Jerlun melawan Timbalan Ketua Pemuda Pas (Idris Ahmad).

Nurul Izzah terjun ke dunia politik sebagai pengarak panji bapanya ketika Anwar dalam penjara.

Dia dilahirkan dan membesar dalam gelora politik Anwar Ibrahim yang unik dalam sejarah politik Malaysia. Dia melihat bapanya berada di puncak tinggi kuasa. Dia melihat bapanya dalam penjara.

Khairy Jamaluddin atau singkatannya KJ dilahirkan dengan “silver spoon” dan membesar dalam suasana elit di luar negara secocok dengan kedudukannya sebagai anak duta.

Dunia remajanya jauh dari desa pingitan seperti Kampung Bongek, Astana Raja dan Cengkau yang kini menjadi padang percaturan politiknya. Dunia asalnya adalah Kuwait City di mana dia dilahirkan, Singapura (di mana dia memperoleh pelajaran awalnya), London dan Paris.

Sekembalinya ke tanah air dia “jatuh cinta” dengan politik dan kuasa berserta visi yang bergemerlapan – khabarnya berikrar mahu menjadi Perdana Menteri pada usia empat puluhan.

Dia menjadi pegawai khas Timbalan Perdana Menteri (Abdullah Ahmad Badawi). Cinta laranya berahi membara akhirnya ketua bertukar menjadi bapa mertua. Takdir menentukan bapa mertua menjadi Perdana Menteri. Maka lebih berserilah masa depan Saudara Khairy.

Dikatakan oleh yang arif, tidak pernah dalam sejarah Malaysia di mana seorang muda yang berupa menantu kepada pembesar negara begitu berpengaruh dan berkuasa. Satu fenomena. Bukan fenomena biasa, tetapi luar biasa.

Mukhriz juga anak perjuangan. Tetapi aspirasi politik dan perjuangannya terhalang. Hukum Dr Mahathir: “Anak-anak saya tidak boleh cergas dalam politik selagi saya menjadi Perdana Menteri.”

Hanya selepas Dr Mahathir bersara dari jawatan Perdana Menteri dan Presiden Umno barulah Mukhriz boleh cergas dalam politik. Itu pun usianya sudah mendekati 40 tahun – usia di mana KJ bercita-cita menjadi Perdana Menteri.

Belum setapak melangkah masuk ke gelanggang, laluannya sudah dihalang. Percubaannya memenangi kerusi Ketua Pemuda Bahagian Kubang Pasu disekat dan dia dimalukan. Pengkhianat, penderhaka dan manusia talam dua muka ada di mana-mana.

Tetapi tidak semua manusia boleh dibeli dengan wang dan janji. Tidak semua manusia boleh dijadikan mangsa politik kotor budak-budak jalanan. Pada pemilihan nasional Pemuda Umno 2004, dia mendapat undi terbanyak sebagai calon Majlis Kerja (Exco).

Bagi Nuzul Izzah, arus laju terpaksa ditongkah. Yang dicabarnya bukan alang kepalang orang – seorang Menteri, orang lama Lembah Pantai dan mesra pula.
[Pada pilihan raya 2004, dengan undi sebanyak 37,873 Shahrizat menang dengan majoriti 15,288. Kini pemilih Lembah Pantai berjumlah 55,989.]

Tetapi siapa tahu? Tuah ayam pada kakinya, tuah manusia siapa yang boleh meneka. Yang pastinya, sahabat lama saya, Datuk Shahrizat Abdul Jalil, mungkin tidur malamnya tidak lena.

Dari jauh saya dalam dilema. Saya kenal baik mereka berdua.

Shahrizat ibarat saudara sekandungan. Nurul Izzah macam anak dalam timangan.

Khairy orang muda bertuah. Laluan yang sudah dijejakinya lancar dan mudah. Dari kampung ayahnya bernama Kota (Rembau) ke Universiti Oxford dan Seri Perdana ibarat sebuah cerita penglipur lara.

Dalam sekelip mata menjadi Naib Ketua Pemuda tanpa perlu berlawan berlumba – kemenangan percuma. Berkongsi memiliki (biar sementara) korporat istimewa ECM-Libra dan merata-rata orang berkata dialah orang muda yang paling berkuasa di bumi Malaysia.

Kemenangannya sudah boleh dijangka. Rembau kerusi selamat yang dulu diisi suku sakat. Simpati saya kepada Cikgu Bad. Tugas anda berat. Tetapi komitmen saudara mendapat hormat.

Ini bukan calang-calang kerusi. Ini bakal kerusi keramat menantu Perdana Menteri. Pastinya mereka akan berjuang hidup mati. Kemenangan harus lebih besar, takut nanti imej Perdana Menteri tercalar. Kalau kemenangan sekadar-kadar saja, ia akan menjadi tamparan kepada bapa mertua. Kemenangan Khairy mesti raksasa --- noktah – tiada lain cerita.
[Pada PRU 2004, dengan undi sebanyak 39,866 Firdaus Mohamad Rom bin Harun menang dengan majoriti 18,656. Kini pemilih Rembau berjumlah 61,690.]

Bagi Mukhriz yang patuh kata orang tuanya, pertarungan di Jerlun tidak semudah dijangka. Jerlun bukan kerusi selamat. Ia antara kubu Pas yang terkuat. Pilihan pengundi bertukar ganti. Tahun 1999 Barisan kecundang. Tahun 2004 kembali menang.
[Pada PRU 2004, dengan undi sebanyak 36,822 Abdul Rahman Ariffin menang dengan majoriti 2,142 undi sahaja. Kini pemilih Jerlun berjumlah 45,056.]

Kalaulah anda diberi pilihan, antara tiga calon ternama ini yang mana satu anda utamakan?

No comments: