Saturday, February 02, 2008

MENCARI KEIKHLASAN 727 BAKAL WAKIL RAKYAT



MENCARI KEIKHLASAN 727 BAKAL WAKIL RAKYAT

Hanya nawaitu sahaja sebagai penentu sama ada orang yang bakal bergelar Yang Berhormat (YB) dapat berkhidmat dengan ikhlas kepada segenap lapisan masyarakat yang diwakilinya tanpa syak wasangka, telus dan jujur berkhidmat sesuai dengan namanya sebagai “wakil rakyat”.

Hakikatnya pucuk pimpinan setiap parti yang bakal bertanding dalam Pilihan raya Umum kali ke 12 sedang memikirkan dengan sebaik mungkin siapa bakal menjadi calon yang akan mewakili parti masing-masing. Sememangnya yang layak untuk bertanding mestilah calon yang dinamik, bersih, berkaliber dan ada sifat kepimpinan.

Bukan mudah pucuk pimpinan Barisan Nasional (BN) untuk memilih 727 calon yang bakal bergelar Yang Berhormat yang memenuhi aspirasi dan cita-cita seluruh rakyat di negara ini.

Bukan mudah juga untuk memilih wakil rakyat yang berkualiti untuk menduduki 222 kerusi di parlimen dan 505 kerusi di dewan undangan negeri(tidak termasuk Sarawak) dalam pilihan raya umum yang tetap akan diadakan pada bila-bila masa sahaja dari sekarang.

Namun begitu tetap ada calon yang “terlepas pandang” oleh pucuk pimpinan parti yang berbudi pekerti teruk, lemah disiplin, tiada karisma dan kurang popular terpilih sebagai calon.

Calon “terlepas pandang” inilah yang membuatkan pengundi memberontak dan menyalahkan pucuk pimpinan parti mengapa mereka menjadi calon parti. Sejarah telah membuktikannya calon parti sebegini terutamanya dari BN menerima padah dengan mengalami kekalahan dan yang menangpun begitu tipis undi majoritinya. Jika keadaan ini berlaku, wajarkah dipersalahkan kepada pengundi mahupun penyokong parti kerajaan?

Rakyat yang layak mengundi pada pilihan raya kali ini amat berbeza daripada pilihan raya-pilihan raya sebelumnya. Mereka kini lebih peka, cerdik dan bijak menilai latar belakang seseorang calon. Mereka mahu seseorang YB itu benar-benar berjiwa rakyat dan sentiasa berdamping dengan masyarakat. Pengundi sudah bosan dengan YB yang mempunyai agenda peribadi sebaik sahaja bergelar YB.

Tanpa mengira parti mana yang diwakili, sesiapa sahaja calon yang menang dalam pilihan raya perlulah menyimpan tekad untuk berkhidmat dengan bersungguh-sungguh kepada rakyat tanpa memilih bulu. Yang pentingnya YB tersebut mudah untuk ditemui.

Rakyat juga sudah bosan dengan janji manis calon semasa kempen pilihan raya terutamanya daripada pembangkang yang jelas dengan mudah menaburkan janji-janji yang amat mustahil untuk ditunaikan. Apakah parti pembangkang menganggap pengundi-pengundi sebagai orang yang bodoh dan tiada akal fikiran untuk berfikir?

Taburan janji yang mengarut dan tidak masuk akal demi untuk memancing undi sudah tidak relevan pada pilihan raya kali ini. Taktik sebegini sudah ketinggalan zaman dan rakyat tidak mudah terpengaruh dengan janji-janji kosong.

Akan ada bakal YB yang membuat janji peribadinya sendiri selain daripada manifesto yang menjadi asas dan pedoman semasa berkempen. Janji peribadi inilah yang sebenarnya menjerat diri bakal-bakal YB. Jika tidak mampu jangan mudah membuat janji.
Dengan gaya berucap ikut sedap kata tanpa berfikir panjang, pasti ada bakal YB yang merayu undi dengan janji-janji manis seperti akan berkhidmat tanpa mengira masa, boleh datang ke rumah jika ada masalah, boleh mengadu masalah di mana-mana sahaja jika bertemu dan boleh menghubungi telefon bimbit mereka.

Apabila sudah bergelar YB, segala janji dan kata-kata manis terus dilupakan tanpa mengambil kira harapan tinggi menggunung daripada pengundi. Susah untuk bertemu, di suruh balik apabila datang ke rumah dan telefon tidak pernah berjawab adalah lumrah yang dihadapi oleh pengundi sekarang ini. Apakah pemimpin sebegini akan diundi sekali lagi oleh rakyat setelah terbukti YB berkenaan mungkir janji?

Itu belum lagi dikira dengan janji-janji berbentuk material dan wang ringgit. Itulah lumrah sebelum bergelar YB. Cakap apa sahaja semuanya boleh dilaksanakan. Akibat segelintir yang berperangai sebegini, ianya sedikit sebanyak mencalarkan imej wakil rakyat secara keseluruhannya dan menjatuhkan maruah parti yang diwakilinya.

Harapan rakyat amat tinggi kepada setiap orang yang bergelar YB. Mereka mahukan wakil mereka di parlimen ataupun di dewan undangan negeri sentiasa berjiwa rakyat dan berkhidmat untuk rakyat. Mereka tidak mahu lagi YB yang amat susah untuk ditemui. Walaupun ada pejabat, tetapi YB tidak pernah ada di pejabat. Malah wajarkah seseorang wakil rakyat boleh melantik seorang yang lain untuk menjadi “wakil peribadi kepada wakil rakyat”?

Jika begitu keadaannya lebih baik “wakil kepada wakil rakyat” sahaja yang menjadi wakil rakyat di kawasan tersebut. Fenomena ini berlaku sekarang ini dan rakyat akan menilai kembali YB berkenaan jika beliau terpilih sekali lagi sebagai calon.

Istilah “mintak nyawa” sering kedengaran masa kini di kalangan ahli politik terutamanya yang masih bergelar YB sebelum parlimen dibubarkan. Mereka akan mula menonjolkan muka kepada masyarakat yang diwakilinya, mula mengadakan berbagai program yang kadang-kadang tidak masuk akal, dan yang penting hendak menunjuk kepada pucuk pimpinan bahawa YB ini “kuat bekerja” untuk rakyat sedangkan ‘usia’ YBnya hanya tinggal nyawa-nyawa ikan sahaja.

Rakyat mahukan seorang YB yang ikhlas berkhidmat. Mereka mahukan seorang wakil rakyat yang bertanggung jawab dan benar-benar berjiwa rakyat. Komitmen yang tinggi dalam menjalankan tugas sebenarnya bakal mendapat sanjungan dari pengundi kawasan yang diwakili.

Rakyat sudah jelak dengan perangai YB yang tidak tahu menjalankan tugas, berlagak, sombong, memilih bulu, dan asyik sibuk dengan urusan perniagaan sahaja. Mereka mahukan YB yang berkualiti, berhemah, dinamik, jujur dan amanah dalam menjalankan tugas.

Siapakah yang silap jika kita masih mempunyai YB yang bermentaliti terarah kepada materialistik? Apakah itu nawaitunya apabila menjadi calon?. Mungkinkah rakyat dahulu terlampau mengagung-agungkan seseorang yang bergelar YB, maka darjatnya perlu dikekalkan sehingga kini?. Tidakkah ini menjurus kepada takbur dan mudah lupa asal usul sehingga mengundang jurang antara rakyat dan wakil rakyat?.

Yang pentingnya kepada sesiapa yang layak untuk mengundi, tunaikanlah kewajipan kepada negara semasa hari mengundi nanti. Satu undi anda bakal merubah segala-galanya.

No comments: