Wednesday, February 13, 2008

PUBLISITI MURAHAN DI SAAT-SAAT AKHIR


Apabila Perdana Menteri mengumumkan pembubaran Parlimen pada hari ini (13 Februari), golongan yang keluh resah dan bergelora degupan jantungnya adalah orang politik. Tidak kira dari parti mana, bermula saat ini sehinggalah pada hari penamaan calon, masing-masing berdoa agar dapat terpilih sebagai calon.

Penonjolan diri dan mempublisitikan diri masing-masing di kalangan pucuk pimpinan parti semakin giat dilakukan tanpa mengira waktu. Bagi golongan sebegini tempoh 24 jam sehari adalah terlalu pendek bagi mereka. Ahli politik yang berumur semakin galak "memudakan diri" untuk menempatkan diri mereka sebagai calon parti.

Yang muda dan bercita-cita hendak menjadi Yang Berhormat (YB) akan melipatgandakan usaha untuk mencuba nasib di saat-saat genting ini agar nama mereka tersenarai.

Dikalangan sebahagian besar ahli politik, istilah "pencen politik" sememangnya tiada di dalam kamus mereka. Sekali mereka berpolitik, ia akan terus berpolitik sehingga akhir hayatnya. Mereka boleh berpolitik semasa ada jawatan atau kuasa di dalam parti dan juga semasa mereka tiada jawatan atau pun di luar parti. Kepada yang baru berpolitik dan terus memegang jawatan dalam parti, ada juga yang menggelarkan mereka ini "politik tingkap" kerana mereka mendakwa orang yang baru dalam politik ini naik mendadak dalam karier politiknya tanpa susun galur dari peringkat bawah dan terus ke atas.

Semacam ada pertembungan "ego" antara dua pihak ini yang sebenarnya lebih menjurus kepada siapa yang lebih hebat berpolitik. Maka timbullah "serang-menyerang" antara kedua belah pihak ini. Siapakah yang untung dalam pertikaian sebegini?. Yang pasti politik orang Melayu semakin bergerak ke belakang dan bukannya maju ke hadapan.

Senario sebegini semakin hebat menjelang pengumuman tarikh hari penamaan calon dan hari mengundi Pilihan Raya Umum ke-12. Golongan tua dan muda dalam politik masing-masing mencari "cable" untuk merealisasikan impian mereka menjadi kenyataan.

Yang tua tetap pasti akan terpilih semula sebagai calon. Malah ada yang penuh yakin akan mengekalkan "empayar" kawasan masing-masing. Ada juga dengan penuh keyakinan menyatakan mereka akan bertukar kerusi dari dewan negeri ke parlimen. Mengapa perlu tamak dan ego dalam politik?

Kebanyakan yang tidak lagi aktif berpolitik adalah mereka yang sudah tiada lagi memegang jawatan di dalam parti, sudah tiada lagi gelaran yang berhormat dan juga setelah kalah dalam pertandingan di dalam parti. Sejak akhir-akhir ini sudah timbul kembali mereka yang sudah dikira bersara dari politik, mula memunculkan namanya di persada politik negara.

Orang politik adalah golongan yang paling cerdik dan cekap dalam mengambil kesempatan di atas sesuatu isu atau perkara yang hangat menjadi perbualan di kalangan orang ramai. Justeru itulah pada hari ini kita lihat beberapa nama yang terkenal suatu masa dahulu di arena politik negara, tiba-tiba muncul.

Kebanyakan dari mereka itu adalah golongan ahli politik "pencen" yang merasakan suara dan tindakan mereka masih bersengat lagi. Ada juga dikalangan mereka itu telah tewas dalam perebutan jawatan, dipecat dari parti, tidak dilantik semula sebagai EXCO dan yang paling ramai ialah golongan yang kecewa kerana tidak mendapat tempat dan kepercayaan daripada pucuk pimpinan parti.

Golongan ahli politik seperti ini sememangnya bijak dan licik dalam mengambil kesempatan yang ada untuk menonjolkan diri mereka semula supaya nama mereka kembali menjadi sebutan oleh orang ramai terutamanya ahli dan pemerhati politik. Mereka akan menggunakan pelbagai platfom untuk menaikkan kembali "rating" mereka di persada politik tanah air.

Atas kebijaksanaan mereka, wujudlah apa yang dikatakan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di atas nama "majlis bertindak", "jawatan kuasa bertindak", "kumpulan" dan "majlis tindakan rakyat". Persolannya adakah benar NGO seperti ini wujud dan berdaftar dengan Pendaftar Pertubuhan (ROS) atau ianya ditubuhkan semata-mata untuk memenuhi impian "syok sendiri" ahli politik berkenaan?.

Golongan ahli politik seperti ini seharusnya faham dan peka terhadap perubahan dan tuntutan semasa yang telah membuatkan mereka sudah tiada jawatan atau kuasa melalui saluran parti politik masing-masing. Hidup kita di dunia ini umpama roda. Ada kalanya kita di atas dan jangan lah pula menafikan apabila kita berada di bawah.

Hakikat hukum karma sebeginilah yang tidak dapat diterima oleh sebahagian ahli politik yang merasakan mereka masih mempunyai pengaruh dan pengikut. Atas kapasiti ahli politik ini yang sememangnya cerdik mengambil kesempatan dan menangguk di air yang keruh, kini mereka muncul kembali.

Tiada penyokong dan sokongan, mereka membeli individu tertentu dengan diberikan upah tertentu untuk menghadiri majlis dan mengikut apa sahaja arahan mereka. Cara inilah mereka dapat meramaikan kehadiran di sesuatu majlis yang mereka anjurkan. Golongan ahli politik "pencen" seperti ini sanggup melakukan apa sahaja demi mengejar publisiti murahan.

Mereka tidak kisah apa yang orang hendak kata, janji matlamat namanya menjadi sebutan oleh media dan majlisnya itu menjadi bualan orang ramai sudah cukup untuk memuaskan nafsu untuk kembali popular. Amalan ahli politik yang mengamalkan publisiti murahan ini perlulah di tolak dan jangan digembar-gemburkan aktiviti mereka.

Golongan ini sebenarnya menggunakan kuasa wang yang ada untuk membeli segala-galanya. Individu yang tidak kuat pegangan dan masih mentah dalam berpolitik akan cepat terpengaruh dengan taktik dan gaya berpolitik golongan ini. Tidak hairanlah apabila kita melihat muka yang sama bersorak dengan penuh semangat di suatu majlis meraikan bekas pemimpin negara, dan individu yang sama juga bersorak dan bertempik mengutuk bekas pemimpin yang sama semasa peristiwa hitam 1998 dahulu.

Akibat pengaruh wang mereka sanggup melakukan apa sahaja walaupun terpaksa berlakon dan berpura-pura menyokong pihak tertentu. Kewujudan individu seperti ini adalah disebabkan adanya golongan ahli politik "pencen" yang masih tidak berpuas hati terhadap kumpulan tertentu dan ingin mencari tapak baru dalam karier politik mereka. Mereka seolah-olah sukar untuk menerima hakikat bahawa zaman politik mereka sudah berakhir.

Mereka juga sukar untuk menerima kepimpinan baru yang menggantikan mereka. Malah menentang dengan cara mereka sendiri sedangkan gaya penentangan tersebut ditegah semasa mereka memimpin suatu masa dahulu. Inilah suasana baru politik di Malaysia. Jika suasana ini tidak ditangani secara serius, kita takut arena politik tanah air terutamanya politik Melayu akan bercelaru dan sentiasa bergolak.

Tidak ikhlas melepaskan jawatan dan menghargai golongan muda dan baru untuk memimpin parti adalah punca sebenar mengapa ahli politik yang sudah "pencen" kembali berpolitik. Tiada kepercayaan dan sokongan terhadap kepimpinan baru adalah petunjuk terdapat segolongan bekas pemimpin sering mengganggu gaya kepimpinan yang sedia ada. Sikap yang "baru dan "muda" dalam politik masih perlu diajar oleh "pencen" politik ini perlulah dihindari. Berilah masa kepada pemimpin muda dan baru ini memimpin sama ada di peringkat cawangan, bahagian, negeri, kebangsaan malah di peringkat organisasi kerajaan juga.

Perbalahan ini tidak berakhir selepas Pilihan Raya Umum yang akan datang ini. Yang tidak mendapat tempat untuk menjadi YB akan menggunakan platform parti politik pula untuk memuaskan nafsu politik yang tidak akan tamat sehinggalah akhir hayatnya. Dendam dan kecewa tidak terpilih sebagai calon pilihan raya akan digunakan semasa pemilihan jawatan parti yang bakal di adakan selepas pilihan raya.

UMNO dan MCA pasti akan mengadakan pemilihan jawatan parti selepas pilihan raya. Pertembungan "angin" antara golongan muda dan tua ini sekali lagi akan bertembung.

Hakikatnya orang Melayu tidak akan ada kerja lain tahun ini selain daripada beradu nasib mencari jawatan dalam politik yang rata-rata lebih terjurus kepada kepentingan peribadi daripada tugas tradisi untuk membela rakyat.

No comments: