Monday, July 07, 2008

ANWAR AHLI POLITIK TIDAK JUJUR - kata EZAM

'Anwar ahli politik tidak jujur'
Ezam dedah muslihat Penasihat PKR mengadu-domba ketenteraman dalam negara

SEKARANG ini, ramai yang keliru selepas Datuk Seri Anwar Ibrahim sekali lagi dituduh dengan kes meliwat. Saudara pernah bekerja bersama Anwar. Bagaimana saudara melihat keperibadiannya secara keseluruhan.
Saya tidak mahu ulas mengenai hal peribadinya. Yang tahu mengenai kes ini hanya Anwar, pembantunya, Mohd Saiful Bukhari Azlan dan mungkin polis (hasil siasatan). Kita serahkan kepada mereka. Dari segi politik, saya melihat Anwar seorang ahli politik yang tidak jujur dan telus kepada sahabat tetapi suka bermain politik. Segala-galanya adalah permainan politik untuk kepentingan dirinya. Kita melihat sejarah dunia, ramai pemimpin yang hebat berpidato, tetapi menjahanamkan negaranya. Ada juga pemimpin terdahulu yang tidak hebat berpidato tetapi berjaya membawa negara ke kemuncak kejayaan, makmur dan lebih baik dari negara lain kerana bersifat jujur. Sifat itu yang tidak ada pada Anwar. Saya tidak sangka dia akan dikenakan tuduhan liwat sekali lagi. Bagaimanapun, bagi saya, tidak logik untuk Anwar mengeluarkan kenyataan bahawa tuduhan liwat itu adalah konspirasi.

Penyokong Anwar kata, dia bakal Perdana Menteri (PM) selepas beberapa Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) melompat menyertai Pakatan Rakyat.
Saya tahu Anwar tidak ada pun nombor 30 (Ahli Parlimen BN yang mahu berpaling tadah). Malah 10 pun tidak ada. Saya tidak menganggap Anwar sebagai satu ancaman dalam politik dan itu juga diakui oleh Perdana Menteri. Anwar saja yang menghebohkan dirinya. Apabila didakwa dalam isu meliwat, dia kata konspirasi. Tidak ada dalam sejarah politik, konspirasi membabitkan orang, watak dan perlakuan. Itu bukan konspirasi namanya. Kita tidak tahu sama ada beliau terbabit dalam kes liwat dan jika sekiranya dakwaan itu benar, mungkin Anwar rasa tidak akan ditangkap. Dalam blog, Saiful diserang teruk, sedangkan kita tidak tahu dan pasti. Oleh itu jangan kita aibkan seseorang. Tuduhan konspirasi dan sebagainya itu juga tidak adil. Anwar tidak mahu orang menuduh dia. Anwar juga tidak boleh menuduh pemimpin kerajaan bersekongkol. Setakat gambar seorang menteri dengan lelaki yang membuat dakwaan terhadap Anwar, dalam telefon bimbit dan disebarkan, itu mengaibkan menteri terbabit. Adakah gambar itu bukti konspirasi? Saya tidak campur hal liwat. Bagi saya itu hal peribadinya.

Adakah saudara berpendapat, Anwar tidak layak menjadi PM.
Saya tidak nampak Anwar boleh menjadi Perdana Menteri kerana dia tidak mempunyai kekuatan di dalam Parlimen, malah Pakatan Rakyat yang ada, agak rapuh. Kini, Datuk Seri Najib Razak adalah Timbalan Perdana Menteri dan dalam Umno, proses peralihan kuasa sudah dimulakan. Secara praktikalnya, Najib adalah Perdana Menteri selepas Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi. Najib berbakat dan mempunyai ketrampilan untuk menjadi Perdana Menteri. Malah saya pernah bertanya kepada Anwar ketika dia masih dalam kerajaan iaitu di kalangan ramai Exco Pemuda Umno, siapa yang paling pandai? Anwar kata, Najib dan jauh mengatasi yang lain. Itu adalah pengakuan Anwar sendiri. Dari segi kecerdikan dan daya saing sebagai pemimpin, Najib memenuhi kriteria itu.

Apa pandangan saudara mengenai kepemimpinan Abdullah sebagai Perdana Menteri.
Abdullah memperlihatkan satu kepemimpinan yang berusaha untuk melakukan perubahan dan tidak pernah dilihat dalam pentadbiran sebelum ini. Malah, Anwar yang hari ini menjadi hero reformasi, tetapi ketika berada dalam kerajaan dulu, dia tidak pernah melakukan apa yang dilakukan oleh Abdullah sekarang dari segi memberi kebebasan kepada media, walaupun ada hadnya. Abdullah juga mahu memberi kebebasan penuh kepada Badan Pencegah Rasuah (BPR) dan sudah melakukan perubahan untuk mewujudkan kebebasan badan kehakiman, dan semua ini mewujudkan suasana terbuka. Abdullah membuktikan bahawa beliau mempunyai komitmen untuk melakukan perubahan itu. Bagi saya itu penting, dan kehadiran saya di dalam Umno itu juga adalah untuk membantunya ke arah itu. Ini penting walaupun sukar melakukan perubahan, apatah lagi perubahan itu sudah tidak berlaku begitu lama ketika era pentadbiran Tun Dr Mahathir Mohamad. Ini harus dilaksanakan. Tugas kita dalam parti adalah untuk meneruskan agendanya. Abdullah juga seorang yang jujur. Dia mengamalkan politik yang jujur. Apabila saya masuk Umno, Abdullah menyatakan kepada saya, buat apa saja asalkan baik untuk negara, Saya nampak kejujuran itu. Saya tidak dipecat pada zaman Abdullah.

Ada dakwaan bahawa saudara menyertai Umno dengan niat tidak baik iaitu ingin memecahbelahkan Umno dan menjadi pengintip kepada Anwar.
Dakwaan itu masih kedengaran lagi walaupun media sudah menjelaskan mengenainya sebelum ini. Apa yang berlaku akhir-akhir ini, sudah menjawab sendiri mengenai dakwaan itu. Bagaimana saya boleh bekerja atau menjadi spy (pengintip) untuk kepentingan Anwar dan pada masa sama, ketika ini, saya orang yang paling lantang dan tegas dalam menyanggah pelbagai kenyataan berkaitan beliau. Kritikan saya terhadap Anwar lebih keras jika dibandingkan dengan pemimpin Umno. Apa yang saya lakukan dalam tempoh beberapa minggu ini secara langsung menolak dakwaan itu. Prinsip saya masuk Umno adalah melakukan perubahan, saya pegang dan dokong dasar ini. Saya masuk Umno bukan atas dasar Perdana Menteri atau individu dan sebagainya. Asas saya berpolitik adalah untuk melakukan perubahan. Itu yang diajar oleh Rasulullah dan pejuang bangsa demi berjuang ke arah kebaikan.

Mengapa saudara memilih untuk menyertai Umno selepas Pilihan Raya Umum Mac lalu, sedangkan sudah jelas saudara melihat Anwar mempunyai ideologi politik demi kepentingan peribadi.
Saya menyertai Umno, bukan daripada PKR. Saya sertai Umno menerusi pertubuhan bukan kerajaan (NGO), iaitu Gerakan Rakyat Antik orupsi (Gerak). Saya sudah keluar PKR sejak tiga tahun lalu. Saya memang sudah nampak PKR sebagai parti yang menolak asas Melayu. Pada awalnya, asas penubuhan Keadilan adalah parti berbilang kaum dan asasnya Melayu. Tetapi selepas Anwar bebas dari penjara, asas Melayu itu dipadamkan, malah serangan dibuat ke atas Dasar Ekonomi Baru (DEB). Jadi atas dasar itu saya keluar. Selepas keluar, saya tidak terus menyertai Umno, sebaliknya saya tubuhkan Gerak.

2 comments:

syamkaze said...

Tuan,

Saya sangat gembira sekiranya saudara ezam berani membongkarkan salah laku DSAI semoga seluruh rakyat Malaysia & terutamanya penyokong PKR terkedu dan nampak segala kepura-puraan DSAI selama ini. syabas dengan keberanian ezam.

Tetapi saya akan lebih-lebih gembira sekiranya saudara ezam berani membongkarkan segala salah laku dan skandal menteri-menteri umno. bukankah dulu ezam pernah mencanang satu malaya bahawa beliau ada menyimpan lebih 5-6 kotak bukti skandal dan rasuah menteri umno. sekarang ni bukankah beliau sudah masuk umno dan Pak Lah berdiri teguh dibelakangnya.

Saya berharap sangat dan mencabar saudara ezam untuk membongkar rahsia 6 kotak tersebut. mengapa cerita kotak tu sepi tanpa berita sekarang ni?

Saudara ezam sendiri berkata : "Prinsip saya masuk Umno adalah melakukan perubahan, saya pegang dan dokong dasar ini. Saya masuk Umno bukan atas dasar Perdana Menteri atau individu dan sebagainya. Asas saya berpolitik adalah untuk melakukan perubahan."

dan juga katanya "Apabila saya masuk Umno, Abdullah menyatakan kepada saya, buat apa saja asalkan baik untuk negara, Saya nampak kejujuran itu."

Nah, kepercayaan & sokongan Pak Lah jangan dipersiakan. segala nanah dan najis dalam umno harus dibersihkan. segala kecurangan dan salah laku harus didedahkan terutamanya menteri-menteri umno. jangan ada double standard. barulah ezam layak untuk bercakap soal kredibiliti orang lain.

SweetMalays said...

tuanhamba syamkaze,
Pada pendapat hamba 6 kotak ke 1001kotak ke itu adalah trend dan gimik ketika masih ahli pembangkang, kekotak itu entah diada-adakan...yang pasti kita rakyat 'diperkenakan' bagi tujuan membolosi lawan dan semata-mata halwa telinga seperti tuan hamba... PKR adalah Parti Perkena Rakyat...
Berjuang Jujur Untuk Bangsa dan Agama.. Sweet Malays