SAYA ingin meluahkan rasa marah, sedih dan kecewa dengan gelagat yang ditimbulkan sesetengah pekerja asing di negara ini, terutama dari Vietnam dan Nepal yang menjadikan haiwan peliharaan seperti kucing dan anjing sebagai makanan mereka. Pekerja ini menjadikan haiwan peliharaan sebagai sumber makanan, yang sudah tentu bertentangan dengan budaya penduduk negara ini, yang tidak memakan haiwan berkenaan. Mungkin atas faktor bahasa, pekerja asing dari Vietnam dan Nepal ini jarang menimbulkan kontroversi dengan rakyat tempatan, namun perilaku dan tabiat buruk mereka yang tidak menghormati budaya dan sensitiviti penduduk negara ini amatlah mengecewakan.
Tindakan pekerja dari Vietnam dan Nepal yang membunuh dan melapah haiwan ini untuk dijadikan sumber makanan adalah perbuatan kejam. Saya adalah antara rakyat tempatan yang tinggal di taman perumahan berhampiran dengan kawasan industri di mana pekerja Vietnam dan Nepal ini ditempatkan. Kebanyakan mereka bekerja di sekitar kawasan industri sekitar.
Pada mulanya kebanyakan penduduk sekitar menganggap bunyi teriakan anjing dan kucing yang kuat hampir setiap hari di rumah sewa pekerja asing adalah disebabkan pergaduhan haiwan berkenaan. Namun, alangkah terkejutnya kami apabila seorang jiran yang tidak tahan mendengar bunyi anjing melolong kesakitan dan pergi menyiasat mendapati rupanya kelihatan seekor anjing yang masih hidup tetapi berlumuran darah di kepala dan menggelupur kesakitan sedang dilapah hidup-hidup oleh beberapa pekerja asing di rumah sewa itu.
Apabila disergah jiran saya, mereka menunjukkan pisau seolah-olah mengugut kami. Kami kemudian yang menyiasat lebih lanjut mendapati banyak kepala, kulit anjing dan kucing dibuang di kawasan sekitar rumah sewa mereka.
Saya pasti ini bukan kejadian terpencil tetapi berlaku di mana-mana pekerja asing ini tinggal. Sebelum ini pun Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Shahrir Abdul Samad pernah menegur perilaku tidak berperikemanusiaan pekerja asing di sekitar Johor Bahru pekerja yang memakan anjing dan kucing milik penduduk.
Saya menggesa majikan dan juga pihak konsul atau kedutaan pekerja asing ini supaya lebih bertanggungjawab dengan memberikan maklumat mencukupi mengenai sensitiviti rakyat negara ini sebelum membawa mereka masuk ke negara ini untuk bekerja. Ini penting untuk mengelakkan sebarang konflik yang tidak diingini. Saya juga memohon pihak berkuasa seperti Jabatan Perkhidmatan Haiwan dan pertubuhan kebajikan haiwan lebih proaktif menjalankan kempen kesedaran di kawasan industri yang menempatkan ramai pekerja asing dari Vietnam dan Nepal. Ini perlu supaya mesej mengenai perbuatan membunuh anjing dan kucing untuk dijadikan makanan dilarang penduduk negara ini.
No comments:
Post a Comment