Tuesday, July 15, 2008

TIADA LAGI DEMOKRASI DALAM UMNO?????


SAYA berasa bertanggungjawab untuk memberi pendapat dan komen apabila melihat senario politik semasa. Saya percaya ramai yang ingin berkongsi pendapat dan komen apabila melihat keadaan politik yang agak mencemaskan dan merisaukan.

Apa yang rakyat harapkan apa sahaja yang berlaku keamanan dan kesejahteraan rakyat dikekalkan. Generasi selepas merdeka diberi peluang hidup dengan aman setelah melihat bagaimana perit dan menderitanya generasi sebelum merdeka ketika era penjajahan.

Tetapi peranan yang lebih besar sebenarnya adalah pemimpin kerana pemimpin umpama pemandu sebuah keretapi, rakyat umpama gerabak. Jika tersilap memilih pemimpin, rakyat akan menderita.

Hari ini di seluruh dunia berlaku krisis kepimpinan, dimana sukar mencari pemimpin yang benar-benar ikhlas dan meletakkan kepentingan negara melebihi kepentingan peribadi.

Pemimpin banyak dikelilingi tukang ampu dan pombodek sehingga mata pemimpin dikaburi dan hanya melihat yang seronok-seronok sahaja tentang kepimpinannya. Budaya ini amat merbahaya kerana boleh mengkhayalkan pemimpin tersebut daripada situasi sebenar.

Selepas pilihanraya ke-12 pada 8 Mac yang lalu, bermacam-macam perkara yang mengejutkan berlaku dalam senario politik negara. Sedikit sebanyak telah menyebabkan wujud kebimbangan mengenai keharmonian dalam negara.

Diharapkan pihak kerajaan akan mengambil beberapa langkah dan pendekatan yang positif supaya pelabur terus melihat wujud kestabilan politik. Pihak pembangkang juga perlu memainkan peranan, diharapkan pakatan rakyat hentikan provokasi mahu menubuhkan kerajaan baru seterusnya menggulingkan kerajaan yang ada sekarang.

Tunggulah sehingga pilihanraya umum ke-13 dan menang secara demokratik dan bermaruah. Serahkan kepada rakyat menetukannya dan hormatilah keputusan pilihanraya. Ini bagi memastikan keadaan negara terus stabil dan ekonomi terus berkembang.

Pada tahun ini akan berlaku pertandingan jawatan dalam parti UMNO. UMNO sebagai tulang belakang pemerintahan kerajaan BN sudah pasti akan menarik minat semua rakyat untuk melihat pemilihan pada tahun ini berjalan penuh dengan demokrasi.

Saya berpendapat, jika berlaku pertandingan pada pemilihan UMNO tahun ini tidak melemahkan parti jika semua pihak bertanding secara sihat. Sebab itu, pengumuman pengerusi UMNO negeri tertentu seperti Pulau Pinang, Selangor dan terbaru Melaka yang mengumumkan sebulat suara mencalonkan individu tertentu adalah tindakan tidak wajar.

Ini boleh dianggap membelangkangkan suara demokrasi dan wajar diserahkan kepada peringkat akar umbi untuk menetukan soal pencalonan. Ini kerana pemilihan peringkat cawangan bermula pertengahan Julai, bahagian pada Oktober dan nasional pada Disember ini.

Jadi ketua-ketua bahagian negeri Pulau Pinang, Selangor dan Melaka tidak wajar membuat ketatapan rasmi bersama pengerusi UMNO negeri kerana mereka juga perlu bertanding pada pemilihan peringkat bahagian.

Tunggulah selepas mesyuarat agung bahagian, barulah dikeluarkan kenyataan mencalonkan individu-individu tertentu pada pemilihan peringkat nasional. Ini barulah amalan demokrasi dan bebas daripada unsur-unsur tekanan.

Biar ahli di peringkat akar umbi menetukan calon pilihan mereka sendiri bermula daripada ketua cawangan, ketua bahagian sehingga ke timbalan presiden dan presiden UMNO.

Mereka hendaklah disedarkan bahawa pemilihan ini adalah demi negara dan boleh berkhidmat untuk negara dengan ikhlas, cekap dan berkesan. Jika ahli UMNO tersilap memilih pemimpin, meraka telah mengkhianati rakyat keseluruhannya kerana pemimpin UMNO adalah pemimpin kepada kerajaan.

Para pemimpin yang telah dipilih hendaklah mempunyai kesedaran yang tinggi mengenai tanggungjawabnya dan tidak menggunakan saluran yang salah untuk menang. Saya mencadangkan pihak BPR diberi kuasa untuk menanggani gejala politik wang dan melabelkannya sebagai jenayah dan tertakluk kepada akta pencegahan rasuah.

Rakyat pada hari ini merindui seorang pemimpin yang betul-betul ikhlas berjuang dan menjalankan tugas dengan penuh amanah bagi mengangkat negara kembali bangkit dan terus maju dengan rakyat hidup sejahtera dan tidak dihimpit dengan bebanan ekonomi.

1 comment:

Penulis said...

Tidak berpijak di bumi nyata.