Monday, April 09, 2007

PEMBANGKANG LEBIH BERSEDIA DI IJOK DARI MACHAP




PEMBANGKANG LEBIH BERSEDIA DI IJOK DARI MACHAP

Mungkinkah kita akan melihat “menjilat balik ludah” akan dilakukan oleh parti pembangkang terutamanya parti PAS dan Keadilan di Ijok akan berlaku setelah kedua-dua parti pembangkang itu telah “meludah” untuk memboikot pilihan raya kecil Batu Talam beberapa bulan yang lalu.

Kita jangan rasa gundah kerana pemimpin parti pembangkang telah menyediakan alasan dan dalil yang panjang berjela-jela untuk mengembalikan kepercayaan umum bahawa boikot sebab “takut” di Batu Talam dan signifiken “memberi peluang” kepada DAP di Machap adalah stereotype pembangkang dan mereka sanggup menjilat balik ludah mereka di Ijok.

Percaturan dan fomulanya cukup jelas. Di Batu Talam mereka tiada calon yang berwibawa untuk diketengahkan disamping Batu Talam adalah kubu kuat UMNO. Maka sebelum dilebelkan takut oleh penyokong parti kerajaan, mereka mengisytiharkan boikot dengan mengambil Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebagai kambing hitam untuk menegakkan alasan kukuh mengapa mereka boikot.

Di Machap pula, oleh kerana sifat setiakawan pemimpin pembangkang, PAS dan Keadilan dengan rela hati memberi laluan kepada DAP untuk meneruskan misi “Tawan Kota Melaka” yang dicanang oleh DAP sejak hampir 10 tahun yang lalu.

Kini, akibat kekosongan kerusi Dewan Undangan Negeri Ijok di dalam Parlimen Kuala Selangor, PAS dan Keadilan sedang sibuk mempersiapkan diri untuk bertanding di DUN Ijok. Yang menariknya pemimpin mereka telah mula memperkatakan kepada ahli-ahlinya bahawa parti mereka akan bertanding di Ijok. Apakah kerana sudah nampak ‘gula’ di depan mata, maka semua semut mula mengarunginya?.

Tidak akan menjadi luar biasa jika PAS dan Keadilan akan meletakkan calon masing-masing. Malah DAP juga boleh ikut bertarung demi menguji kecekapan jentera pilihan raya parti masing-masing sebagai “test run” sebelum pilihan raya umum yang tetap akan muncul sebelum Mac 2009.

Tidak hairan juga pakatan pembangkang yang kononnya cukup padu sekarang akan terlerai buat seketika kerana masing-masing ingin mencuba nasib dan menguji “power” di Ijok nanti. Pilihan raya kecil Ijok akan menyaksikan PAS dan Keadilan akan bermusuh sekejap demi merealisasikan misi dan visi serta kehendak penyokong akar umbi mereka di Kuala Selangor.

Bagi Keadilan, bekas ahli UMNO yang kini menjadi Bendahari Agungnya, Datuk Khalid Ibrahim pasti akan melobi untuk dicalonkan. Kelebihan Khalid ialah beliau adalah anak jati daerah Kuala Selangor di samping pernah bergiat aktif dalam politik UMNO Kuala Selangor.

Faktor lain yang menjadi Ijok seperti “gula” oleh parti pembangkang ialah kerana mereka memandangkan kemenangan mendiang Datuk K. Sivalingam pada pilihan raya umum 2004 dengan majoriti 1,649 undi ke atas calon Keadilan sebagai daya penarik untuk memberikan saingan sengit kepada BN. Pada mereka majoriti tersebut boleh dikecilkan lagi semasa pilihan raya kecil kerana pemusatan kempen disamping penonjolan isu-isu tempatan yang bakal mendominasi agenda ceramah pembangkang.

Sejarah DUN Ijok sememangnya menarik. Pernah terjadi UMNO Bahagian Kuala Selangor mendesak pucuk pimpinan ketika itu memberikan memberikan kerusi Ijok kepada UMNO tetapi di tolak atas dasar semangat setiakawan dan perpaduan BN. Alasan UMNO ialah kerana kawasan ini mempunyai hampir separuh pengundi kaum Melayu. Semenjak pilihan raya umum 1959, kawasan ini adalah seperti “kawasan rasmi” MIC. Sebelum ini DUN Ijok dikenali sebagai DUN Seri Cahaya.

Mendiang Sivalingam bertanding kali pertama pada tahun 1990 yang pada masa itu kawasan berkenaan di atas nama DUN Seri Cahaya dan menang dengan menewaskan Datuk Mohd Shahir Abdul Majid dari parti Semanagat 46 dan calon Bebas, Suhaimi Amnan dengan majoriti 1,317 undi.

Pada pilihan raya umum 1995, Seri Cahaya telah ditukar nama menjadi Ijok akibat persempadanan semula kawasan pilihan raya. Sekali lagi mendiang menang dengan majoriti 6,797 undi menewaskan calon DAP, P.Sinniah. Pada pilihan raya umum 1999, mendiang sekali lagi menewaskan calon DAP, V.Krishnan dan calon Bebas Mohd Yusof Abdul Rahim dengan majoriti 3,166 undi.

Pada pilihan raya umum 2004 yang lalu, mendiang menang lagi untuk penggal keempat dengan menewaskan Abdol Raman Moharam dari Keadilan dan Mohamed Shariff Nagoorkani dari Bebas dengan majoriti yang agak berkurangan iaitu 1,649 undi sahaja.

Dari statistik jelas menunjukkan PAS dan Keadilan berminat untuk bertanding atas alasan BN tetap akan meletakkan calon dari MIC sedangkan majoriti pengundi adalah Melayu. Perangkaaan SPR pada Disember 2006 menunjukkan 50.6 peratus adalah pengundi Melayu, 28 peratus pengundi India manakala pengundi Cina diwakili sebanyak 20.9 peratus.

Kemungkinan pertandingan tiga penjuru di Ijok bukanlah suatu perkara baru bagi pengundi Ijok. Sejak dulu lagi kawasan “panas’ ini sering dimainkan isu dan sentimen perkauman dari memancing undi.

Sejarah empat pilihan raya umum sebelum ini memberikan gambaran yang cukup jelas ke mana arah pengundi Melayu. Apabila pembangkang meletakkan calon bukan Melayu, BN akan mendapat majoriti yang selesa. Ini disebabkan undi Melayu diberikan kepada BN. Contohnya boleh dilihat semasa pilihan raya 1995 dan 1999, di mana isu pemecatan Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 1998 tidak menggugat BN mendapat lebih 3,000 majoriti undi pada pilihan raya 1999.

Apabila pembangkang meletakkan calon Melayu seperti pada tahun 1990 dan 2004, undi BN jauh merosot kerana ramai pengundi Melayu memangkah calon Melayu dari pembangkang terutamanya orang Melayu yang bukan ahli UMNO.

Trend pengundi seperti ini sebenarnya lebih memberi cabaran kepada UMNO daripada MIC sendiri. Atas kapasiti perpaduan anggota komponen BN, MIC tetap akan meletakkan calonnya. Yang pasti UMNO Selangor harus bekerja dengan lebih kuat untuk memastikan Ijok tidak akan menjadi DUN yang ketiga menjadi milik pembangkang.

Pembangkang pasti akan menggunakan isu semasa dalam negeri Selangor sebagai usaha memancing undi. Tidak hairanlah belumpun lagi SPR mengumumkan tarikh penamaan calon dan tarikh mengundi, PAS dan Keadilan sudah dilihat kelibat mereka di sekitar DUN Ijok. Beberapa siri ceramah telah pun dirangka.

Apakah benar PAS akan meletakkan Datuk Hassan Ali bertanding?. Apakah Keadilan juga sanggup mengenepikan seketika pakatan pembangkangnya dengan PAS demi meraih undi orang Melayu?.

Yang pasti seramai 12,310 pengundi berdaftar pasti akan menunaikan tanggung jawab mereka. Mereka juga mahu keamanan dan perjalanan pilihan raya kecil kali ini berjalan dengan lancar tanpa insiden yang boleh mencemarkan nama Ijok.

Parti politik yang bertanding diharap dapat mengenepikan isu sensitif berkaitan dengan perkauman dan agama. Lebih penting lagi serangan peribadi seharusnya tidak timbul sebagai membuktikan kematangan warganegara Malaysia yang hampir 50 tahun merdeka.

Itulah harapan kita semua. Tetapi bagi pembangkang tanpa isu sentitif agama, kaum dan serangan peribadi, lebih baik mereka tidak bertanding dalam pilihan raya kerana itu sahajalah modal mereka untuk meraih undi dan memenuhkan siri ceramah mereka.

No comments: