Saturday, April 21, 2007

PKR MAHU JADIKAN IJOK ZON PERANG


PKR MAHU JADIKAN IJOK “ZON PERANG”

Bukan perkara luar biasa apabila tiba masa hari penamaan calon pilihan raya kecil, seluruh “bala tentera” parti politik akan keluar untuk berarak maraikan calon. Lakaran sebegini bukannya perkara baru dalam politik di negara ini.

Hari penamaan calon Pilihan raya Kecil Ijok adalah contoh terbaik insiden Lunas berulang kembali. Malah jika tidak dikawal segera oleh polis dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), pasti akan wujud kembali insiden bas penyokong parti kerajaan “ditawan” dan “direjam” dengan batu gara-gara cerita fitnah pembangkang bas tersebut membawa “pengundi hantu”.

Peristiwa “serangan mortar” botol air mineral dan tiang bendera pasti tidak berlaku di Ijok jika para penyokong parti politik bersikap terbuka dan matang dalam berpolitik. Yang menjadi masalahnya ialah sebahagian besar “penyokong berbayar” dan tangkap muat yang yang di bawah masih mentah dan buta tentang proses demokrasi dan aturan peraturan pilihan raya.

Pada golongan ini, di bawa menaiki bas, diupah dengan duit, dapat baju T percuma, dan berarak bagaikan menempuh medan perang, adalah suatu kebanggaan dan perlu dilaksanakan. Kebanyakan penyokong parti Keadilan Rakyat (PKR) adalah bukan ahli parti tersebut. Muka yang sama jugalah yang memakai baju T parti DAP di Machap. Muka yang sama jugalah yang memakai kupiah putih yang baru di beli di Pasar Buluh Kubu semasa pilihan raya kecil Pengkalan Pasir.

Pada mereka “janji masyuk”, janji dapat makan angin, dapat makan minum percuma dan dapat “bekal” untuk beli rokok. Mereka tidak kisah dikutuk dan dihina kerana mereka sudah diajar oleh “pemimpin reformis” mereka bahawa hari penamaan calon inilah “kebebasan mutlak” tanpa gangguan dari mana-mana pihak termasuk polis kerana “kita sedang melaksanakan amalan demokrasi”.

Tersepit, terdesak dan perasan mereka masih ada pengaruh, maka penonjolan PKR semasa penamaan calon di Ijok adalah gimik kepada seluruh negara kononnya parti mereka masih kuat dan masih mempunyai penyokong.

Senario Ijok adalah saling tak tumpah seperti di Lunas. Parti yang bertanding pun sama. PKR diwakili calon Melayu melawan Barisan Nasional (BN) yang diwakili oleh MIC. Pada siri ceramah mereka yang sudah berjalan sejak seminggu yang lalu, isu perkauman menjadi topik utama. Mereka menyemai marak api sentimen orang Melayu wajib mengundi calon Melayu.

Apakah pemimpin PKR sudah lupa bahawa parti mereka adalah parti berbilang kaum?. Mungkin mereka asyik mengenangkan kemenangan di Lunas dahulu pasti berulang di Ijok. Ghairah sebegitulah yang membuatkan mereka akan melakukan apa sahaja untuk memastikan calon “tokoh korporat” mereka menang.
Mereka akan menggunakan taktik yang sama seperti di Lunas untuk memancing undi penduduk Ijok. Jika di Lunas perayu undi PKR memainkan slogan “ undilah orang yang sama-sama berpuasa seperti anda hari ini” (kerana pilihan raya kecil Lunas dalam bulan puasa), kali ini pula mereka membawa slogan “undilah calon yang makan makanan halal”. Lawak murahan sudah mula menjalar ke Ijok.

Menariknya pilihan raya kecil Ijok ini ialah penyokong-penyokong parti politik adalah daripada Lembah Klang seperti Kuala Lumpur, Shah Alam, Pucong dan Klang. Sebabnya untuk sampai ke Ijok hanya memakan masa 45 minit berkereta.

Yang pasti mereka yang rajin berdemonstrasi di KLCC kini sudah beralih tempat untuk meluahkan perasaan benci kepada kerajaan di Ijok pula. Ijok kini menjadi platfom “halal” mereka untuk “berperang” dengan kerajaan. Daripada isu tol sehinggalah ke isu peribadi. Pada mereka menghabiskan masa seketika di Ijok untuk mendengar ceramah yang berunsur fitnah, penghinaan, maki hamun dan cerita palsu adalah hiburan mingguan mereka setelah penat mengharungi kehidupan di Lembah Klang yang menuntut kepada kesibukan harian yang padat dengan pelbagai aktiviti.

Kempen agresif PKR lebih dirasakan selamat dan sentiasa dilindungi apabila pemimpin mereka dengan lantang bersuara “inilah masanya kita menunjukkan tentangan kepada kerajaan dan anda akan dibela jika seuatu terjadi kepada anda”.

Jaminan seperti “jihat untuk berperang” sudah mula disebarkan kepada penyokong PKR yang masih mentah dan belum layak mengundi itu melalui sebaran SMS dan mulut ke mulut.

Lebih terdesak lagi pemimpin mereka dengan celupar berkata “ kalau ada jamuan, nasi bungkus dan minuman mineral dari BN, ambil sahaja kerana itu semua duit rakyat..duit kita juga”.

Maka itu tidak hairanlah dengan muka tidak tahu malu sambil memakai baju T PKR, mereka dengan selamba mengambil minuman air mineral penyokong BN dan nasi bungkus. Tempat buangan sisa tersebut adalah dengan “memulangkan” kembali ke BN dengan dijadikan alat seperti “ bom mortar” ke kumpulan penyokong BN semasa hari penamaan calon.

Jenis orang yang terdesak yang mengamalkan publisiti murahan sebegini tidak lain hanya ingin mencetuskan pergaduhan dengan tekanan provokasi terhapdap penyokong BN. PKR jelas mengamalkan taktik yang sama seperti di Lunas tanpa memikirkan batas-batas kesopanan, keharmonian kaum dan menghormati undang-undang kerana pada mereka Ijok sudah menjadi “zon perang”. Maka itu tiada mana-mana undang-undang pun boleh didaulatkan di sini.

Pada mereka jika ada penyokong mereka ditangkap oleh polis lagi bagus. Kerana itu lah masanya mereka akan mendapat publisiti percuma dengan kenyataan pembelaan dan menuduh polis pula tidak mengamalkan demokrasi. Lebih ramai penyokong mereka ditangkap polis adalah lebih seronok mereka berkempen dan mendapat liputan meluas dari seluruh media cetak dan elektronik. Itulah juga yang mereka mahu apabila akan ada gambar penyokong mereka berdarah dan cedera di kepala akibat pergelutan dengan polis, kerana mereka akan mengambil kesempatan ini untuk disebarkan ke seluruh dunia melalui internet.

Kepada pemimpin PKR, mereka sanggup “menggadaikan nyawa” penyokong mereka semata-mata kerana cita-cita mereka yang hanya mimpi diharapkan terlaksana. Mereka terlupa bahawa penyokong mereka itu adalah golongan yang tersepit dan terdesak seperti mereka sendiri. Sanggup melakukan apa sahaja. Kebanyakan penyokong PKR yang di bawa dari Lembah Klang adalah golongan lepasan sekolah, mat rempit, belia yang tiada pekerjaan dan bermasalah. Golongan belia malang ini lebih memandangkan wang ringgit yang menjadi habuan mereka semasa kempen di Ijok. Pada mereka menjadi “tentera upahan” PKR pun tidak apa asalkan poket mereka berisi dan ditanggung makan dan minum.

Harapan kepada pihak yang berkuasa adalah tinggi agar tidak wujud lagi beberapa insiden hitam seperti yang pernah berlaku di Lunas. Memang sukar untuk memintas gelodak penyokong parti politik yang sedang panas membara di Ijok. Masing-masing ada strategi dan cukup mekanisme untuk menangkis pelbagai serangan dari pelbagai sudut.

Diharapkan para jenderal parti-parti politik dapat mengawal agresif dan emosi semasa berkempen. Biarkan sahaja PKR “terjun dengan labunya”. Biarkan sahaja PKR berlawan dengan bayang-bayang mereka sendiri.

2 comments:

General Rizal said...

Apakah Moral yang dapat di ambil oleh pelajar-pelajar sekolah apabila melihat di kaca TV, seorang pemimpin UMNO yang berpangkat Menteri Pelajaran Malaysia berteriak dan menjerit-jerit seperti seorang samseng?

znri77 said...

Bang, Pemuda BN tak agresifkah? Ungkapan "Pemuda Gempur Keadilan Terkubur" itu pada saya cukup agresif.

Oh, ya! Khabarnya petugas PAS tidak berdarah dibelasah FRU. Tapi dek penangan Pemuda BN.