Kita kadang kala terlupa atau sengaja tidak menghiraukan peranan ejen perisikan asing yang menjelma dalam kehidupan seharian kita dengan pelbagai wajah untuk menjalankan peranan di sekeliling kita.
Kebanyakan daripada kita yang menikmati kehidupan yang baik dan selesa pada masa sekarang sering terlupa mengenai kemungkinan-kemungkinan yang boleh menghancurkan negara. Mereka lupa bahawa perisikan mampu memainkan peranan besar dalam menumbangkan seseorang dan sekali gus meruntuhkan sesebuah negara.
Perisikan di Asia Tenggara bukanlah satu perkara yang mengejutkan. Kuasa-kuasa besar akan menjalankan aktiviti perisikan mereka di negara-negara tertentu bagi memastikan dasar-dasar tertentu memenuhi matlamat dan ideologi mereka. Lebih hebat lagi perisikan juga akhirnya boleh membawa kepada kejatuhan sesebuah negara atau seseorang pemimpin. Sejarah telah memperlihatkan bagaimana ejen-ejen perisikan dapat memenuhi matlamat kuasa-kuasa besar ini walaupun kos yang diperlukan amat tinggi.
Sebelum Perang Dunia Kedua, Jepun telah meletakkan perisiknya di Tanah Melayu yang bekerja dan membuka klinik gigi. Amerika Syarikat telah menggunakan ejen-ejennya untuk melakukan provokasi sehingga tercetusnya perang saudara antara Vietnam Utara dan Vietnam Selatan. Walaupun Amerika gagal dalam misi Vietnam, namun kesannya berparut sehingga ke hari ini.
Kejatuhan pemimpin lantang Indonesia, Sukarno dalam tahun 60-an merupakan satu kejayaan bagi perisikan asing. Ini diakui oleh ahli sejarah British, David Easter dalam jurnal Intelligence and National Security. Sukarno ketika itu dianggap sebagai duri dalam daging kuasa-kuasa Barat. Namun kelicikan perisikan dengan di tambah peranan media Barat berjaya membohongi rakyat Indonesia untuk menerima hakikat Sukarno akan tunduk kepada tekanan komunis.
Mereka yang memainkan peranan utama perisikan British ketika itu sehingga tersungkurnya Sukarno ialah Duta Britain ke Jakarta, Andrew Gilchrist dan pakar propaganda Pejabat Luar Britain, Norman Reddaway. Mereka inilah yang menggoncang kestabilan kerajaan Indonesia. Malaysia juga sebenarnya tidak terlepas daripada intipan ejen perisikan. Pada awal 80-an, seorang bekas Setiausaha Politik Perdana Menteri turut dilatih oleh kuasa luar untuk menjadi ejen perisikan Soviet Union.
Kewujudan pejabat kedutaan Israel di Singapura tidak harus dipandang ringan kerana negara di selatan Semenanjung ini adalah satu-satunya negara di Asia Tenggara yang mempunyai hubungan diplomatik secara langsung dengan negara Yahudi itu. Tidak mustahil rakyat Singapura diupah oleh ejen-ejen perisikan Israel untuk menjalankan intipan terhadap negara kita.
Perisikan alaf baru kini lebih mirip kepada risikan dan rahsia kerajaan yang melibatkan propaganda dan gerak saraf ideologi. Ejen-ejen perisikan akan menyusup masuk ke sektor ekonomi, pentadbiran, sistem pertahanan negara dan malah akan cuba berbaik-baik dengan pemimpin parti politik dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO). Mereka akan mengeluarkan bantuan kewangan, peralatan komunikasi yang canggih, alat pengintipan yang serba moden, senjata dan latihan sama ada kepada individu atau kumpulan tertentu. Bagi mereka sesiapa sahaja yang dilihat boleh membantu mencapai matlamat risikan, akan menjadi sasaran.
RMK-9 telah memperlihatkan begitu banyak pembinaan bangunan strategik dan berfungsi keselamatan negara akan di bina. Antaranya berpuluh balai polis, ibu pejabat polis daerah, kem tentera, pengkalan polis marin, bangunan pejabat kerajaan dan infrastruktur yang bertahap keselamatan tinggi seperti Jambatan Kedua Pulau Pinang.
Kenyataan Menteri Sumber Manusia bahawa negara kita akan dibanjiri oleh 5 juta pekerja asing menjelang 2010 seharusnya dipandang serius dan dikaji semula. Sektor guna tenaga dan sumber manusia perlu memikirkan sesuatu agar tawaran pekerjaan kepada pekerja asing tidak mencecah sebegitu besar.
Kerajaan perlu berhati-hati dalam memilih kontraktor pembinaan dan perlu juga mencampuri urusan penambilan buruh asing oleh kontraktor terbabit agar tidak terdapat ejen perisikan asing yang menyamar sebagai buruh binaan. Mungkin kerajaan boleh mengambil modul dan prosedur saringan dan semakan yang dilakukan oleh Angkatan Tentera Malaysia (ATM) semasa pembinaan Kem Tuanku Sirajuddin di Gemas. Siasatan latar belakang pekerja dan tahap keselamatan dalaman yang tinggi semasa kerja-kerja pembinaan sedang dijalankan begitu terperinci dan teliti sekali semata-mata untuk mengelak dan memastikan selok belok tempat strategik pertahanan negara tidak diceroboh oleh pihak asing.
Malah kerajaan sebelum ini pernah mengarahkan Jabatan Imigresen menyiasat latar belakang pekerja asing yang berkhidmat dengan pemimpin negara dan pegawai tinggi kerajaan bagi memastikan mereka bukan ejen-ejen perisik luar negara. Walaupun arahan ini telah lama dikeluarkan, kita berharap Jabatan Imigresen dapat meneruskan peranan ini. Kerajaan juga harus mengambil langkah berhati-hati dalam memberi visa dan permit kerja kepada warga asing dalam bidang-bidang tertentu.
Dalam era teknologi canggih ini, risikan boleh dilakukan dengan berbagai cara dan maklumat boleh disampaikan dengan begitu pantas sekali. Komunikasi tanpa sempadan dan capaian internet berkelajuan tinggi akan membolehkan maklumat risikan sampai ke kuasa luar dengan begitu cepat sekali. Ini belum lagi penggunaan teknologi satelit dan sistem informasi geografi (GIS) yang semakin hari semakin canggih dan terkini teknologinya. Perlu diingat 80% satelit di ruang angkasa bumi adalah satelit yang berfungsi perisikan yang dimiliki oleh kuasa-kuasa besar.
Sektor ekonomi juga tidak boleh lari daripada menjadi intipan ejen perisikan. Pengambilan tenaga profesional negara asing dalam syarikat-syarikat besar tempatan yang mempunyai kuasa penentu jatuh bangun ekonomi negara perlu juga dipantau. Tidak mustahil mereka berperanan sebagai pemberi maklumat yang berharga kepada musuh negara dengan bertujuan untuk melumpuhkan ekonomi negara.
Kita harus berwaspada dengan peranan ejen perisikan ini kerana mereka bersedia melakukan apa sahaja untuk mengintip dan menyusup rahsia. Mereka akan menyamar, mengupah ejen tempatan, membuat rakaman dan penyalinan dokumen rahsia sama ada menggunakan telefon, kamera, menceroboh sistem komputer kerajaan dan rakam bual pihak tertentu dengan tujuan untuk mengintip.
Hanya semangat cintakan negara mampu menghalang kemaraan ejen-ejen perisikan ini yang berada di sekeliling kita. Sikap kitalah yang akan menentukan sejauh mana kejayaan ejen-ejen perisik asing ini.