Anwar cuma pentingkan diri dan tak layak dijadikan kawan, kata Nallakarupan
Penasihat Parti Keadilan Rakyat Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah seorang pemimpin yang hanya mementingkan diri dan tidak akan menghiraukan nasib orang lain, kata Datuk K.S.Nallakaruppan, seorang bekas teman rapatnya.
Sambil menyifatkan Anwar sebagai seorang yang tidak layak dijadikan kawan, Nallakaruppan berkata masyarakat India di negara ini tidak harus mudah termakan dengan kata-kata manis Anwar yang kononnya akan membela nasib mereka sekiranya dapat memerintah.
"Ramai pihak yang berkorban untuknya tetapi selepas itu beliau akan terus melupakan kawan," katanya ketika dihubungi hari ini.
Nallakarupan, Presiden Parti Bersatu India Malaysia (Miup), berkata Anwar boleh mengaku yang beliau menyokong kaum India sungguhpun pada hakikatnya beliau tidak pernah memperjuangkan nasib mereka.
Beliau berkata Anwar hanya menggunakan isu yang kononnya kaum India di negara ini tidak mendapat pembelaan sewajarnya semata-mata untuk mengabui mata seterusnya meraih undi kaum India.
Ketika diminta mengulas kenyataan tokoh pemikir Prof Dr Chandra Muzaffar pada satu forum di sini semalam bahawa petanda bencana akan melanda jika Anwar ditakdirkan menjadi pemimpin, Nallakaruppan menjawab: "Beliau (Chandra) dulu pun kawan Anwar dan apa dicakapkannya memang betul".
Nallakaruppan berkata beliau pernah menjadi sahabat baik Anwar pada satu ketika dahulu tetapi memutuskan untuk tidak lagi bersamanya pada masa sekarang kerana menyifatkan bekas Timbalan Perdana Menteri itu sebagai seorang tidak layak dijadikan kawan.
Katanya Anwar hanya boleh bermimpi untuk menjadi pemimpin Malaysia kerana PKR tidak akan menang dalam pilihan raya umum memandangkan rakyat tidak akan terpengaruh untuk mengundi parti itu.
"Saya juga ada memberi ceramah di seluruh negara terutama kepada kaum India dan maklum balas yang diterima amat baik menunjukkan kaum India tiada sebab untuk memilih pembangkang," katanya.
Nallakaruppan berkata rakyat mesti sedar bahawa dari dulu hingga sekarang Malaysia ditadbir oleh pemimpin Barisan Nasional yang berkaliber dan banyak menyumbang ke arah pembangunan negara sehingga rakyat tanpa mengira kaum dan agama dapat hidup dengan aman dan makmur.
No comments:
Post a Comment