Wednesday, March 26, 2008

UMNO BUAT ORANG MELAYU SEMAKIN SERABUT

Parti keramat UMNO bukan hanya untuk segelintir ahli sahaja. UMNO bukan platform untuk para pemimpinnya beradu tenaga dan berdebat untuk tampilkan siapa lebih hebat. Fikirkanlah harapan berjuta ahli UMNO masa kini yang teramat kecewa dengan suasana politik orang Melayu kini yang semakin keliru, serabut dan menyakitkan hati sahaja.

Setelah dua minggu selesainya pilihan raya yang paling memalukan UMNO, ahli UMNO di akar umbi dan juga penyokong setia UMNO walupun bukan ahli tetap mahu UMNO diperkasakan semula. Buang yang keruk ambil yang jernih. Terimalah hakikat bahawa UMNO kini tidak popular di kalangan orang Melayu.

Apakah suara kecil ahli UMNO yang mahukan perubahan dan melihat partinya kembali kukuh perlu diperlekehkan begitu sahaja?. Pucuk pimpinan UMNO yang pintar lagi bijaksana wajib merapatkan jurang beza pendapat antara para pemimpinnya dan akar umbi. Pergilah ke peringkat paling bawah dalam hairaki organisasi UMNO iaitu cawangan-cawangan dan catat dan hayati semasak-masaknya apa yang mereka mahu luahkan.

Askar-askar UMNO yang berjawatan prebet biasa di medan tempur pilihan raya yang lalu banyak pengalaman pahit yang mereka tempuhi semasa perang pilihan raya. Apakah pemimpin UMNO tidak mahu melihat perkara ini sebagai satu analisa dan kaji selidik mengapa UMNO semakin lemah?

Apakah malu dan hilang darjat bila kita sanggup mengakui parti keramat ini semakin mundur dan bakal pupus di bumi bertuah ini?. Jangan terkejut apabila nama UMNO akan terpahat di dalam lipatan sejarah negara sahaja kerana sedah terkubur bersama-sama gelagat pemimpinnya yang "pengecut" mengakui hakikat sebenarnya.

Harapan orang Melayu sekarang ialah mahu melihat perpaduan orang Melayu kuat dan jitu. Bukan masanya selepas dua minggu ini untuk menonjolkan kejaguhan individu. Yang menang begitu takbur dan bongkak memberikan ulasan dan komen. Yang kalah dan digugurkan terus dipinggirkan seolah-olah mereka langsung tidak berguna lagi kepada UMNO.

Hubungan dengan pihak istana semakin bercelaru. Pemimpin UMNO bersikap double standard apabila dikaitkan dengan istana. Apabila Lim Kit Siang secara terbuka mahu memboikot acara istana, begitu rakus sampai tegang urat leher mempertahankan institusi istana.

Apabila orang UMNO sendiri membelakangkan keputusan istana untuk meyelesaikan kemelut perlantikan Menteri Besar Perlis dan Terengganu, apa pula kata "pembesar-pembesar UMNO".?

Walau apapun sebab dan alasan mengapa pihak istana tidak berkenan dengan pilihan parti pemerintah, kita sebagai rakyat jelata harus akur kerana perkara ini sudah termaktub di dalam undang-undang tubuh setiap negeri Melayu. Apakah UMNO tidak tahu perkara ini atau sudah lupa kuasa yang ada pada institusi raja?.

Putar belit kata-kata pemimpin UMNO yang tersiar di akhbar dan media arus perdana telah lama diperhalusi oleh "ikan bilis" UMNO. Mereka kadang-kadang berkongsi ketawa melihat gelagat dan gerak laku pemimpin mereka. Gelak ketawa sampai mengalirkan air mata melihat gelagat pemimpin mereka yang tidak bersatu dan bertelagah sesama sendiri.

Kenyataan pada mulanya terhadap seorang ahli UMNO yang melawan arus pemikiran pemimpin UMNO dibidas dengan pedas sekali. Selang beberapa hari sahaja, terus lembut pula nada pemimpin UMNO tersebut. Bidas telah bertukar secara tiba-tiba. Apa sudah jadi sebenarnya?.

Orang Melayu malu melihat senario seperti ini berlaku. Sesungguhnya "ikan bilis" UMNO teramat sangat kecewa melihat para pemimpinnya seperti sudah tidak berpadu, sudah tidak bertaring, tidak lagi ceria, sengat yang sudah hilang dan sudah berubah gaya.

Akar umbi UMNO masih tertanya-tanya apa sebenarnya yang berlaku di peringkat hairaki atasan mereka. Mereka mahu segera diberi penjelasan. Debat politik di kedai kopi dan warung di kampung telah lama memihak kepada pembangkang. Cerita orang UMNO kini telah menjadi bualan nakal dan jenaka rakyat bawahan. Lihat sahajalah SMS yang kita terima kebelakangan ini. Rakyat sudah tidak takut untuk memburuk dan mencela UMNO secara terbuka. Apakah "panglima-panglima" UMNO tidak tahu hal ini?.

UMNO sudah mudah dicela dan dihina. Siapa pula hendak membelanya?. Hendak harapkan para pemimpinnya bertandang di warung kopi untuk menangkis debat hina kepada UMNO, jangan mimpilah!.

Sedarilah masih ada "ikan bilis" UMNO yang tidak mempunyai apa-apa jawatan dan habuan politik masih "sukarela" dan sanggup menyabung "nyawa" membela UMNO dan menangkis serangan bertalu-talu dari penyokong pembangkang. Apakah pemimpin atasan UMNO menyedari perkara sebegini?.

Setia dan sanggup mati bersama UMNO dari askar tanpa pangkat di peringkat akar umbi tidak dihargai langsung oleh "panglima-panglima" UMNO. Mereka inilah tentera di barisan paling hadapan sekali untuk bertempur dengan kata nista dan tohmahan bala tentera pembangkang.

Perjuangan mereka di medan peperangan kini tanpa haluan dan stategi perang yang jitu. Sebabnya para "panglima"nya masih sibuk dengan mengukuhkan kedudukan kerusi dan memperkasakan diri sendiri. Tidak kasihankah melihat bala tentera ini berperang tanpa haluan dan tujuan?.

Apa akan jadi kepada UMNO jika bala tentera di medan perang itu berpaling tadah?. Atau mereka berundur untuk memberikan laluan mudah tentera lawan untuk menakluk dan mencapai kemenangan mudah?.

Terimalah hakikat bahawa hati "ikan bilis" UMNO perlu dijaga. Jangan sampai mereka melakukan sesuatu yang paling luar biasa. Mereka sebenarnya berserabut dan hilang arah pedoman. Para pemimpin masih bercakaran dan tidak konsisten dalam memberikan arahan.

Banyak sangat suara dari para pemimpin UMNO dengan luahan berbagai pendapat dan cadangan membuatkan ramai orang Melayu meluat dan menyampah sebenarnya. Golongan atasan UMNO perlu bergerak segera menangani kemelut orang Melayu di peringkat bawahan. Ketepikan soal protokol dan hendak di bodek dengan acara rasmi dan memaksa orang bahawan untuk mengumpulkan orang ramai untuk menyambut pemimpin. Akar umbi sudah muak dengan taktik dan gaya membodek pemimpin yang sudah ketinggalan zaman ini.

Apakah perlu dibuat suatu majlis rasmi untuk pemimpin bertandang berjumpa dengan "ikan bilis"nya?. Salahkah para pemimpin atasan ini berjumpa rakyat dan penyokong akar umbi secara bersantai dan mengejut sahaja dengan berjumpa mereka di mana-mana sahaja?. Atau malukah para pemimpin UMNO ini untuk bergaul dengan rakyat yang baru pulang dari laut yang berbau busuk badannya?. Segankah para pemimpin UMNO untuk berjumpa dengan akar umbinya yang baru pulang dari kebun sedang minum di warung buruk di kampung?. Atau hinakah para pemimpin UMNO untuk berjumpa dengan ahlinya yang tinggal di rumah setinggan yang masih mengibarkan bendera UMNO yang telah usang?.

Sedarilah bahawa mereka itulah golongan akar umbi yang semakin serabut dan kecewa dengan tindak tanduk pemimpinnya yang semakin kalut. Mereka masih setia dengan UMNO walaupun miskin, tiada projek dan habuan politik. Mereka masih utuh walaupun tiada seorangpun pemimpin UMNO bertanya khabar.

Mereka ini kabur tentang arah tuju parti keramat mereka. Mereka tahu kudrat mereka amat diperlukan semasa kempen pilihan raya dan kempen pemilihan parti. Tetapi mereka tidak serik menjadi ahli UMNO walau parti mereka sekarang ini mudah sangat dihina dan cerca.

Berjuta ahli UMNO masih setia setelah berpuluh tahun menjadi ahli. Mereka masih berpegang kepada prinsip tiada parti politik yang boleh membela mereka selain dari UMNO. Pada mereka Melayu adalah UMNO dan UMNO adalah Melayu. Pada mereka nama UMNO itu sendiri di dalam Bahasa Melayu bermaksud Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu.

Hayatilah sejarah penubuhan UMNO pada tahun 1946 dahulu. Melayu bersatu di dalam satu nama parti hasil gabungan berpuluh persatuan dan pertubuhan Melayu dan suku kaum Melayu di Tanah Melayu. Wajarlah para pemimpin UMNO sekarang menerapkan kembali semangat perpaduan dan bersatu orang Melayu seperti di era 1946. Jangan pinggirkan pendapat dan komen akar umbi UMNO. Jelajahlah ke seluruh negara untuk memberikan semula keyakinan ahli UMNO terhadap parti.

Mohon maaf kerana bukan niat saya di sini untuk mengajar UMNO tetapi saya sebagai seorang berbangsa Melayu dan "ikan bilis" UMNO juga terasa apabila melihat sesuatu yang sedang berlaku kepada Umno pada saat ini. Belajarlah menerima kekalahan dan jangan hanya tahu menerima kemenangan sahaja. Ingat, tidak ada apa yang kekal dalam hidup ini. Jika kalah terima dengan hati terbuka, jangan menyalahkan sesiapa. Kita malu apabila melihat pemimpin politik kaum lain yang lebih matang berpolitik. Mereka lebih matang sama ada mereka kalah mahu pun menang. Disebaliknya pemimpin UMNO tidak habis-habis dengan sikap suka menyalahkan orang lain.

1 comment:

Anonymous said...

Sebenarnya, BUKAN UMNO yang SERABUTkan rakyat/orang Melayu khususnya, tetapi segelintir mereka yang dikatakan panglima atau pahlawan ATASAN yang menyerabutkan rakyat /orang Melayu. Jangan biarkan mereka mereka ini menjahanamkan UMNO lagi.

UMNO akan terus relevan hingga akhir zaman, Insyaallah!