Saturday, March 15, 2008

MELAYU WAJIB BERSATU

Bukan niat untuk mempromosi. Sesiapa yang masih lagi mengaku orang Melayu pergi beli dan carilah buku bertajuk "Melayu Mudah Lupa" tulisan Tun Dr. Mahathir Mohamad. Buku itu adalah teks ucapan penuh semasa penggulungan di Perhimpunan Agung UMNO pada 23 Jun 2001.

Ucapan penggulungan itu diakhiri dengan sajak yang yang tajuknya sama dengan tajuk ucapan dasar iaitu 'Melayu Mudah Lupa'. Masih ingatkah kita pemimpin agung orang Melayu ini sebak dan menangis ketika membaca bait-bait akhir sajak tersebut. Itulah Dr. Mahathir. Seorang pemimpin Melayu yang bersemangat tulen, yang tidak mahu melihat bangsanya melarat lagi.

Berikut adalah sajak "Melayu Mudah Lupa" yang dibacakan oleh Dr. Mahathir di Perhimpunan Agung UMNO 2001.

Melayu mudah lupa
Melayu mudah lupa
Melayu mudah lupa
Melayu mudah lupa
Dulu bangsanya dipijak
Melayu mudah lupa
Dulu bangsanya retak
Melayu mudah lupa
Dulu bangsanya teriak
Melayu mudah lupa
Dulu bangsanya haprak
Melayu mudah lupa
Dulu bangsanya kelas dua
Melayu mudah lupa
Dulu bangsanya hina
Melayu mudah lupa
Dulu bangsanya sengketa
Melayu mudah lupa
Dulu bangsanya derita
Melayu mudah lupa
Dulu bangsanya kerdil
Melayu mudah lupa
Dulu bangsanya terpencil
Tiada daulat
Tiada maruah
Tiada bebas
Melayu mudah lupa
Melayu mudah lupa
Melayu mudah lupa
Sejarah bangsanya yang lena
Tanah lahirnya yang merekah berdarah
Ingatlah
Ingatlah
Ingatlah
Wahai bangsaku
Jangan mudah lupa lagi
Kerana perjuanganmu belum selesai.

Itu cerita di tahun 2001. Tentu ada sesuatu yang menyebabkan Dr. Mahathir mengambil inisiatif untuk membukukan teks ucapan beliau. Beliau mahu orang Melayu membaca dan menghayati sampai bila-bila apa yang tersirat di hatinya apabila membacakan tentang orang Melayu.

Pada pandangan saya buku tersebut masih relevan sampai bila-bila kerana ia menbicarakan nasib orang Melayu sejak zaman Kesultanan Melaka lagi dan cabaran yang telah dihadapi oleh orang Melayu.

Peristiwa hitam 8 Mac telah menyaksikan dan membuktikan dengan sahihnya bahawa orang Melayu masih lagi lena dibuai mimpi. Apakah mereka masih lupa atau sengaja buat-buat lupa? Mereka lupa sejarah bangsa. Mereka leka dengan kehidupan mewah dan serba moden kononnya mereka penampil imej orang Melayu di abad ke 21.

Ketika belumpun seminggu, orang Melayu dikejutkan dari tidur dengan mimpi ngeri arah mana dan haluan politik orang Melayu, saya terpanggil untuk membelek semula apa yang diperkatakan oleh Dr. Mahathir hampir lapan tahun yang lalu.

Jelas sekali Melayu mudah sangat lupa dan buta sejarah bangsa. Mereka masih tidak serik dan hanya memikirkan suasana semasa sahaja tanpa memikirkan masa depan dan pengalaman silam orang Melayu untuk memartabatkan imej dan keagungan orang Melayu di tahap sekarang.

Mungkinkah orang Melayu memerlukan revolusi mental demi memperkasakan lagi perpaduan dan melahirkan generasi yang berpengetahuan, rasional dan dinamis. Kita perlu memupuk pemikiran orang Melayu yang lebih terarah kepada semangat bangsa Melayu yang jitu dan berpadu tanpa mengira arah aliran pegangan politik.

Sebelum tahun 1969, orang Cina menguasasi sepenuhnya aktiviti ekonomi dan perniagaan negara. Orang Melayu lebih layak digelarkan pada masa itu hanya mempunyai kuasa politik dan institusi raja sahaja. Kaum India pula layak sebagai pekerja estet dan buruh. Begitu hebat pengaruh "pecah dan perintah" yang diilhamkan oleh penjajah Inggeris.

Selepas peristiwa hitam 1969, orang Melayu telah diberi peluang untuk menceburi bidang perniagaan dan pembangunan sebagai usaha untuk membasmi kemiskinan dan merapatkan jurang perbezaan agihan kekayaan negara agar dapat dinikmati sama rata oleh semua kaum.

Allahyarham Tun Abdul Razak pernah berkata ada beberapa sebab mengapa orang Melayu tidak dapat menyertai sepenuhnya usaha-usaha pembangunan ekonomi dan sosial. Antaranya ialah kemunduran daya pemikiran mereka yang berpunca daripada kekurangan pengetahuan dan dikongkang oleh hidup yang kolot.

Kini, apabila segala usaha telah dilakukan untuk memajukan orang Melayu dalam segala segi dan aspek pembangunan, pelajaran, ekonomi, sosial dan politik, orang Melayu sudah mula lupa diri asal usul mereka dan betapa susahnya nenek moyang mereka suatu ketika dahulu.

Inilah arus perubahan yang ketara yang lebih tepat diungkapkan Melayu mudah sangat lupa diri dan sejarah bangsa. Akibat terlalu selesa dengan keadaan dan suasana semasa, mereka alpa tentang survivor orang Melayu dan semangat mahu memperkasakan Melayu.

Ramai sangat orang Melayu yang sudah menjadi "kacang lupakan kulit" terutamanya yang telah berjaya dalam kehidupan. Pengaruh materialistik telah "menghalalkan" mereka untuk membunuh dan meminggirkan kaum sebangsa sendiri. Akibat sanggup telalu liberal dan mudah bertolak ansur, kini orang Cina bukan sahaja tidak boleh digugat penguasaan mereka di dalam sektor ekonomi, malah kini sudah mula bertapak untuk menguasai politik negara pula.

DAP kini sudah mula menonjolkan siapa diri mereka yang sebenarnya. Mereka seperti sebuah gunung berapi yang telah lama menahan larva yang panas untuk diledakkan dengan sekuat hatinya yang boleh membinasakan segala makhluk yang hidup di dunia.

Makhluk pertama yang ingin dihapuskan oleh DAP ialah orang Melayu. Selagi hidup orang Melayu selagi itulah cita-cita DAP untuk memerintah Malaysia tidak akan tercapai. Sekarang mereka sudah mula menguasai sebahagian Tanah Melayu dan mula bongkak dan sombong.

Berdasarkan keputusan pilihan raya yang lalu, orang Melayu yang anti-establishment berpuas hati dengan apa yang mereka lakukan. Atas alasan undi protes dan emosi jangka pendek, mereka sanggup menggadaikan masa depan bangsa sendiri.

Sekalung tahniah kepada orang Melayu yang anti-establishment yang memainkan peranan besar menumbangkan BN di Kelantan, Kedah, Pulau Pinang, Perak dan Selangor. Teruskan perbuatan anda lima tahun dari sekarang. Ketika itu nanti, barulah tahu langit itu tinggi atau rendah.

Jika orang Melayu tidak sedar lagi bahaya yang sedang dihadapi, bermakna masa depan anak cucu kita sudah pun direncanakan secara kekal di arus perjalanan politik, sosial dan ekonomi negara. Politik Melayu akan mengalami zaman kehancuran sedikit demi sedikit.

Namun, pengundi Melayu sendiri yang mencabul penat lelah perjuangan UMNO untuk mereka dengan memilih pembangkang. Merekalah bangsa yang tidak tahu bersyukur atas segala kenikmatan, keistimewaan dan kesejahteraan hidup yang diperoleh dari saat mereka lahir hingga sekarang yang semua kerana dasar dan sistem yang dicetuskan oleh kepemimpinan negara sejak sekian lama iaitu BN yang diterajui oleh UMNO.Inilah masalahnya kalau sudah terlebih pandai atau lebih tepat lagi, pandai tidak bertempat. Tiada faedahnya menjadi anti-establishment hanya semata-mata ingin dilihat sebagai golongan celik dan cerdik dari segi kesedaran hak untuk memilih pemerintah negara.

Golongan ini sudah seperti berlagak bodoh sombong tanpa memikirkan kesan jangka panjang terhadap bangsa Melayu. Perlukah kita menukar kerajaan sedangkan mereka ini sudah dapat hidup dengan selesa dan kekayaan dinikmati hasil usaha UMNO?. Susah sangatkah negara kita sehingga rakyat hidup melarat, papa kedana dan serba kekurangan?.

Sebahagian besar "orang Melayu moden" ini adalah golongan yang berharta dan berada. Lihat sahajalah semasa kempen pilihan raya yang lalu. Begitu banyak kereta mewah berarak mengibarkan bendera DAP tanpa segan silu lagi. Itulah golongan anti-establisment mengada-ngada dan lupa diri sehingga menyebabkan ketuanan Melayu kini ibarat telur di hujung tanduk.

Orang Melayu penyokong PAS dan PKR hanya pandai menunjukkan kehebatan politik demonstrasi jalanan dan keseronokan berpesta pilihan raya. Tetapi DAP menunjukkan kehebatan menerusi penyatuan undi Cina dengan memperlekeh orang Melayu dan rakan kongsi mereka iaitu PKR dan PAS.

DAP berjaya menipu orang Melayu demi meraih undi orang Melayu agar mereka beroleh kemenangan dan berkuasa. Atas nama pakatan pembangkang yang sebenarnya memberi keuntungan yang berlipat kali ganda kepada DAP, penyokong PAS dan PKR kini pasti menyesal di atas perbuatan mereka.
Inilah akibatnya perbuatan orang Melayu yang menyokong DAP menerusi sokongan mereka kepada PKR dan PAS. Mereka sebenarnya pengkhianat bangsa dan agama.

Pembohongan PKR dengan menonjolkan kepimpinan Anwar Ibrahim telah meracuni orang Melayu bahawa PKR sebagai altenatif kepada UMNO untuk mewakili orang Melayu. Ramai yang cetek dan buta politik terpengaruh.
Apabila diketahui lebih ramai orang Cina dan India menang dalam pilihan raya di atas tiket PKR, baru mereka sedar bahawa mereka telah tertipu. Menyesal kemudian tidak berguna.

PKR yang kononnya mengutamakan kepentingan Melayu adalah penipuan paling besar dalam sejarah politik negara. PKR sebenarnya bergerak atas landasan dendam peribadi pemimpinnya. DAP ternyata mempergunakan PKR untuk agenda mereka dan terbukti berjaya besar. PKR pula bergantung kepada DAP untuk menarik undi bukan Melayu. Sebab itu, PKR sanggup bersekongkol dengan gerakan undi jentera DAP iaitu undi Cina untuk Cina.

Orang Melayu sebenarnya telah diperbodohkan oleh DAP secara keseluruhannya. Penyokong PAS dan PKR secara langsungnya merelakan DAP berkuasa dan menang dengan selesa. Perlu diingat tanpa undi Melayu jangan harap DAP boleh berjaya seperti sekarang. Inilah sumbangan besar pengundi Melayu yang memangkah DAP. Pangkah DAP bermakna menjahanamkan orang Melayu sampai ke anak cucu.

Orang Melayu sendiri yang mencabul dan memperkosa kepimpinan bangsanya sendiri kononnya atas alasan mahukan perubahan dan demokrasi. Perbuatan seperti ini adalah satu perbuatan khianat yang tidak boleh dimaafkan sampai bila-bila.

DAP sebenarnya telah memperdagangkan PAS dan PKR untuk meraih keuntungan. Congak politik mereka tidak ubah seperti mengendalikan perniagaan. Hasilnya, mereka sudah mula menuai keuntungan akibat kebodohan dan melatah orang Melayu sendiri.

Mengapa Melayu mudah sangat lupa? Mengapa mudah sangat terlena? Mengapa Melayu mudah diperdagangkan? Kuasa politik bukannya perkara mainan. Cetek ilmu kerana malas membaca telah membuatkan Orang Melayu tidak tahu sejarah kuasa politik negara. Mereka hanya mengikut-ikut suara ramai yang sememangnya sealiran dengan mereka. Padahnya, menang sorak bangsa tergadai. Menang sorak maruah dicabul.

Masih belum terlewat UMNO perlu memperkasakan kembali partinya. Suara akar umbi perlu diberi perhatian dengan sewajarnya. Tolak pengkhianat bangsa dalam parti yang lebih terjurus kepada kepentingan peribadi. Mereka ini hanya tahu menyelamatkan karier politik sendiri daripada memperjuangkan nasib keseluruhan orang Melayu.

Bersatulah bangsa Melayu agar kita tidak merempat di tanah air sendiri. UMNO dan PAS perlu duduk semeja untuk membincangkan masa depan politik Melayu.

Ikhlas dari
SHAIFUL BAHRI SAIDIN

3 comments:

Anonymous said...

u r so wrong.

Anonymous said...

saudara pengarang,

Saya sebagai melayu dipihak berkecuali mencadangkan agar Melayu PKR, PAS dan UMNO berbincang atas nama keISLAMan bukan di atas nama "melayu" yang sudah layu ditelan arus zaman..

Anonymous said...

ISLAM DAB MELAYU..MANA LEBIH UTAMA?