Thursday, March 06, 2008

CHANDRA DEDAH SANDIWARA ANWAR

Chandra dedah sandiwara Anwar
Tokoh pemikir anggap negara ditimpa bencana jika Penasihat PKR ditakdir jadi PM

"Datuk Seri Anwar Ibrahim memang petah bercakap, tapi saya tidak fikir negara memerlukan pemimpin sepertinya dan jika ditakdirkan dia menjadi pemimpin kita, ia satu petanda bahawa bencana akan melanda," kata Prof Dr Chandra Muzaffar.

Bekas Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang pernah menjadi penyokong paling kuat Anwar berkata, Penasihat PKR itu sebenarnya umpama sesumpah, kerana sentiasa boleh berubah imej daripada seorang 'pejuang' ketika di universiti kepada nasionalis ketika bersama Umno.

Bagaimanapun, katanya, selepas disingkirkan daripada Umno, merengkok di penjara atas tuduhan yang amat memalukan dan kembali bergiat dalam politik, Anwar sekarang menggunakan popularitinya untuk memancing undi bagi PKR yang diketuai isterinya, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.
"Ia adalah pendedahan yang ingin saya lakukan kerana tidak mahu rakyat terus terpedaya dengan helah Anwar Ibrahim," katanya tegas ketika membuat kenyataan itu pada forum mengenai proses Pilihan Raya Umum 2008 di Menara The Star, di sini, semalam.

Chandra yang kini Presiden Pergerakan Keadilan Sedunia (Just) adalah antara individu paling layak menghakimi Anwar kerana beliau adalah antara rakyat Malaysia yang percaya bekas Timbalan Perdana Menteri itu dianiaya dan dizalimi ketika pemerintahan Tun Dr Mahathir Mohamad.

Beliau bukan sekadar mengikut arus gelombang reformasi yang ditiup Anwar ketika itu, bahkan turut menyertai gerakan untuk membebaskan Anwar daripada penjara dengan pembabitan secara langsung dalam politik melalui PKR.
Kehadirannya sebagai antara tokoh pemikir yang dihormati di negara ini membolehkan beliau dilantik sebagai Naib Presiden PKR, namun akhirnya meletak jawatan selepas menyedari dirinya dipergunakan untuk kepentingan politik Anwar.

"Bagi saya, perkara pertama yang perlu dimiliki seseorang pemimpin politik ialah kejujuran. Ini bukannya gelanggang permainan, tapi tempat untuk mencorakkan masa depan rakyat dan negara Malaysia secara keseluruhannya.

"Hakikatnya, Anwar ketika menjadi Menteri Pendidikan adalah orang yang bertanggungjawab menukar penggunaan bahasa Malaysia kepada bahasa Melayu. Dia juga adalah orang bertanggungjawab menukar pentadbiran Cina kepada mereka yang tidak boleh berbahasa Mandarin di sekolah Cina. "

Kita juga tahu, ketika dia meleraikan konflik antara etnik Melayu dan India di Kampung Jawa, Pulau Pinang, dia pernah mengeluarkan kenyataan: 'Saya akan memastikan loceng kuil Hindu tidak akan lagi bergema di negara ini'.

"Sekarang suaranya berubah sekali lagi. Saya tidak tahu mengapa rakyat terutama bukan Melayu masih percaya dengannya yang kini begitu lantang menghentam sistem pemerintahan kerajaan yang pernah menjadi sebahagian daripada perjuangannya," katanya.

Chandra yang sebelum ini tidak pernah mendedahkan alasan sebenarnya meninggalkan PKR berkata, beliau berasa sedih kerana semakin ramai bukan Melayu di negara ini yang termakan dengan slogan Anwar yang kini mendakwa kononnya dia memperjuangkan kepentingan mereka.

"Hari ini dia lantang bersuara kononnya mahu menghapuskan Dasar Ekonomi Baru (DEB) dan kempennya kelihatan semakin mendapat sokongan. Rakyat kini semakin terpengaruh sehingga gagal menilai Anwar secara objektif," katanya.

Mengenai masa depan negara, Chandra berkata, setiap rakyat perlu sedar bahawa apabila seseorang pemimpin bercakap mengenai isu sensitif berkaitan etnik, mereka perlu konsisten dan tidak berdolak-dalik. "Seseorang pemimpin yang berintegriti tidak akan bercakap mengikut nada yang dikehendaki penyokongnya semata-mata bagi meraih populariti kerana tindakan sedemikian sangat berbahaya kepada kestabilan negara," katanya.

Chandra berkata, Barisan Nasional (BN) mungkin bukan kerajaan yang sempurna tetapi ia adalah satu-satunya pilihan terbaik untuk pengundi kerana sudah berjaya membuktikan kewibawaannya berbanding parti pembangkang yang sentiasa bercakaran sesama sendiri.

No comments: