Merungkai isu PATI Sabah
Sudah tiga kerajaan bertukar ganti, daripada zaman parti Berjaya berkuasa, kemudian diwarisi Parti Bersatu Sabah (PBS) dan kini era Barisan Nasional (BN).
Majoriti PATI adalah dari Filipina dan Indonesia, dua negara berjiran yang garis sempadan lautnya begitu dekat sekali – tidak pun sampai 30 minit perjalanan dengan bot laju ke pantai Sabah.
Segala-galanya bermula sewaktu pemerintahan Usno sekitar 1970-an apabila kerajaan pada ketika itu menerima rakyat dari selatan Filipina yang melarikan diri daripada kekacauan politik di sana. Mereka diterima atas status sebagai pelarian perang dan atas prinsip kemanusiaan.
Kehadiran mereka sebagai pelarian ekonomi dan politik ke negara ini mendapat simpati antarabangsa apabila ia diperakukan menerusi piagam Suruhanjaya Tinggi Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Pelarian (UNHCR).
Pada peringkat awal, bilangan mereka yang diterima tidak ramai. Hanya beberapa bot saja ditemui mendarat di pesisiran pantai timur Sabah, yang kemudian dibenar tinggal di kawasan terpilih di Kota Kinabalu, Sandakan dan Labuan, yang diwartakan sebagai penempatan UNHCR.
Mengikut persetujuan asal, kumpulan itu hanya dibenar tinggal sementara di bumi Sabah dan akan dihantar pulang setelah keamanan pulih di kampung halaman mereka yang diulit konflik bersenjata dan keganasan itu. Bagaimanapun, tiada jangka waktu ditetapkan bagi penghantaran pulang itu.
Tahun demi tahun berlalu, mereka terus tinggal dan mencari nafkah di bumi subur Sabah. Kemudian semakin ramai pula datang menerusi pintu depan dan belakang sehingga menjadikan jumlah sebenarnya sukar dipastikan.
Generasi pertama itu juga membesar dan beranak-pinak, sesetengahnya berkahwin dengan warga tempatan. Ini merumitkan lagi keadaan dan menyukarkan pula jalan penyelesaian.
Beberapa tahun kemudian mulalah terapung bermacam-macam masalah membabitkan PATI – jenayah, sosial dan politik. Sehinggakan timbul dakwaan konon sesetengah daripada rakyat asing terbabit memiliki dokumen pengenalan diri Malaysia seperti sijil kelahiran dan MyKad.
Ia menjadi masalah nasional kerana membabitkan ancaman keselamatan, soal undang-undang dan kedaulatan negara. Bagi rakyat Sabah, suatu penyelesaian muktamad dan berkekalan tidak boleh dilengah-lengahkan lagi.
Justeru, tidak hairanlah apabila mereka pantas memberi reaksi tatkala Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak, menyatakan komitmen serta pendirian serius Kerajaan Persekutuan baru-baru ini untuk menangani masalah pendatang tanpa izin yang kelihatan tiada kesudahannya itu.
Jaminan Najib itu mendapat reaksi positif daripada kerabat Barisan Sabah yang rata-rata menyatakan harapan tinggi agar inisiatif terbaru ini menemukan jawapan dan kepastian yang mengembirakan.
Ketua Menteri merangkap Pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri, Datuk Seri Musa Aman antara pemimpin terawal memberikan ulasan, diikuti rakan komponen lain, termasuk PBS, Pertubuhan Pasokmomogun Kadazandusun Bersatu (Upko), Parti Liberal Demokratik (LDP) dan Parti Maju Sabah (SAPP).
Mereka bukan saja mengalu-alukan jaminan itu, malah mengemukakan cadangan balas mengenai langkah terbaik menangani masalah berkenaan.
Sebagai menunjukkan ketegasan kerajaan, Musa memberi kata dua kepada pendatang tanpa izin, sama ada segera pulang ke negara asal masing-masing atau bersedia menghadapi tindakan tegas termasuk ditangkap.
Baginya, kerajaan negeri sentiasa mengalu-alukan kedatangan rakyat asing untuk bekerja di negeri ini, tetapi hendaklah secara sah dan mengikut saluran betul. Justeru, mereka yang tidak mematuhi peraturan seperti masuk secara haram, hendaklah segera pulang atau menghadapi hakikat ditangkap dalam operasi besar-besaran akan dijalankan tidak lama lagi.
Musa yang juga Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan Negeri turut menyatakan bahawa pihak berkuasa keselamatan tidak pernah membisu dalam hal ini, malah meneruskan operasi dari semasa ke semasa.
Beliau memberikan perangkaan sepanjang Januari hingga September tahun ini saja, seramai 12,788 pendatang tanpa izin dari Filipina dan Indonesia sudah dihantar pulang ke negara asal masing-masing.
Setiausaha Agung LDP, Teo Chee Kang, pula tampil dengan saranan lebih keras apabila menuntut supaya program penghantaran pulang pendatang tanpa izin kali ini diperhebatkan lagi.
Beliau menyarankan supaya operasinya lebih besar daripada Ops Nyah I dan II yang dijalankan sewaktu Presiden LDP sebelum ini. Tan Sri Chong Kah Kiat, menjadi Ketua Menteri Sabah antara Mac 2001 hingga Mac 2003, yang menyaksikan lebih 200,000 pendatang tanpa izin dihantar pulang.
Dalam nada yang sama, Presiden Upko, Tan Sri Bernard Dompok mencadangkan supaya diadakan segera mesyuarat BN negeri bagi merangka pelan induk penyelesaian jangka panjang terhadap masalah berkenaan.
Beliau berpendapat mesyuarat BN itu penting memandangkan isu berkaitan pendatang tanpa izin ini begitu rumit dan membabitkan juga soal politik, dan Upko konsisten dengan pendirian mahu menamatkan isu terbabit.
Presiden SAPP, Datuk Yong Teck Lee, juga berkongsi sentimen yang sama dengan menyatakan pihaknya telah meminta kerajaan supaya segera mengadakan operasi khas seperti yang pernah dilaksanakan pada tahun 1995-1996.
Beliau menjelaskan bahawa SAPP memandang masalah PATI ini memerlukan tindakan segera dan cadangan operasi khas itu adalah idea tambahan kepada memorandum bertajuk: "Pendatang Asing Tanpa Izin: Punca Utama Segala Ancaman" yang dikemukakan kepada Kerajaan Pusat pada 1999.
Hakikatnya, masalah PATI ini semakin serius dan sememangnya menuntut penyelesaian berkekalan.
Tetapi penyelesaiannya tidaklah semudah yang disangkakan, apatah lagi masalah itu sudah berakar-umbi puluhan tahun lamanya. Begitupun, jaminan terbaru Najib itu membawa sinar harapan.
Dua pendekatan memungkinkan masalah ini dapat dirungkai – pertama, menerusi saluran diplomatik dan kedua berasaskan kesungguhan politik (political will) kerana apapun pendekatan yang diambil, ia tidak akan berkesan tanpa perhatian terhadap kedua-dua aspek berkenaan.
Saluran diplomatik, sebagaimana dinyatakan oleh Najib, sangat penting, terutama bagi isu membabitkan PATI dari Filipina. Ini memandangkan Manila seolah-olah tidak mengambil sikap serius terhadap cadangan menubuhkan pejabat konsulatnya di Kota Kinabalu.
Tanpa pejabat konsulat, adalah sukar dilaksanakan proses penghantaran pulang PATI dari negara berkenaan kerana ketiadaan agensi untuk mengesahkan status mereka. Ketika ini, proses dokumentasi PATI Filipina perlu dirujuk ke pejabat Kedutaan Filipina di Kuala Lumpur atau jika terdapat operasi besar-besaran, ia dikendalikan oleh petugas yang dihantar sementara ke Kota Kinabalu.
Berbanding Filipina, Indonesia sudah pun mempunyai pejabat konsulat di bandar raya Kota Kinabalu. Sebab itu, proses penghantaran pulang dan dokumentasi PATI dari Indonesia lebih lancar dan cepat.
Manila dilihat tidak reponsif terhadap saranan menubuhkan pejabat konsulat di Kota Kinabalu atas sebab-sebab kepentingan politik dalaman negara itu dan apa yang mereka pertahankan sebagai tuntutan hak yang sebenarnya tidak berbangkit lagi pada waktu ini.
Kesungguhan politik merupakan prasyarat bagi menentukan apa juga tindakan penyelesaian yang dicadangkan itu benar-benar dilaksanakan. Kepimpinan kerajaan perlu komited dan menunjukkan ketelusan dengan membuktikan apa yang diungkapkan itu disusuli dengan tindakan.
Bukanlah satu rahsia lagi cerita mengenai PATI memiliki kad pengenalan negara ini dan menjadi `pengundi hantu’ dalam setap pilihan raya. Sama ada benar atau sebaliknya, kerajaan sewajarnya mengambil tindakan-tindakan yang memperlihatkan ketelusan dan keseriusannya. Jika tidak, ia hanya akan menjadi omongan kosong dan modal politik parti pembangkang dalam pilihan raya nanti.
Pada masa sama, rakyat Sabah sendiri mempunyai peranan penting bagi membantu kerajaan merealisasikan perancangan yang digariskan itu. Usaha kerajaan tidak mungkin berkesan jika sebahagian rakyat terus bersikap dingin dan mengambil kesempatan daripada kehadiran PATI untuk mengaut keuntungan ekonomi dan politik semata-mata.
2 comments:
Bagaimana dengan orang yang lahir sini yang mempunyai Sijil Lahir dan Ibubapa memegang Kad Pengenalan Penduduk sementara? Adakah Golongan ini termasuk dalam Pati. Memandangkan di sabah ini banyak memegang sijil lahir tanpa kad pengenalan dan susah untuk mereka mendapatkan status kewarganegaraan oleh kerana Pihak kerajaan Sabah sekarang menganggap orang seperti ini adalah PATI juga.
Kesimpulannya, oleh kerana byk PATI yang senang2 dapat MYkad dan sijil lahir yang Palsu dengan harga yang berpuluh ribu, orang yang sepatutnya dapat Hak utk dapatkan Taraf kewargenegaraan susah nak mohon disebabkan ISu PATI yang serius.
Isu ini perlu dilihat secara holistik bukan bersifat serpihan dan emosi. Umum mengetahui mereka yang lari ke Malaysia bukan kerana kehendak mereka. Mereka adalah pelarian Perang yang tiada masa hadapan dan nasib yang belum tentu bagaimana akhirnya.
Masalah yang dibangkitkan bukanlah masalah , tetapi cara menyelesaikannya yang bermasalah.
Isu sabah sebenarnya cuma orang ISLAM yang susah dapatkan IC / kad pelariaqn (samada penduduk asal atau luar) tetapi sekiranya kristian , mereka lebih mudah( samada dibayar rasuah atau Persatuan Kristian yang membela kepentingan puak2 kristian disana).
Petembungan yg berlaku disana bukan sekadar SURVIVAL penduduk setempat yang rimas akan kebanjiran PATI..tetapi lebih berkisar SURVIVAL ISLAM disana dan betapa ambil berat hal saudara seislam kita disana.
Kebanjiran PATI (sebenarnya- UMAT ISLAM TAUSUG; memberi kekuatan ISLAM disana jika di selesaikan dengan cara yang bijak). Cuma bagi para pemuka gerakan PARTI POLITIK melihat sudut pengaruh mereka akan memudar samada dari Parti politik SABAH ataupun dari Pakatan RAkyat.
Menjadi masalah Para Pelarian ini apabila -keperluan asas mereka tidak lepas. Mereka melakukan apa sahaja kerja asal mampu mencari sesuap nasi... Mereka hanya ada sehelai dokumen yang membolehkan tinggal sahaja namun tiada hak-hak lain seperti mendapatkan kerja(melainkan akan ditipu), hak mendaptkan pendidikan..dsb.. ISU KEMANUSIAAN banyak belum selesai.
Jadi manusia bila terdesak akan sanggup lakukan apa sahaja untuk menyara anak dan isteri mereka...
Kini penduduk sabah merengek-rengek bagai anak kecil mahu mereka yang datang dari negara JAUH yang sedang Berperang agar dihantar pulang sedangkan PATI yang datang itu tertindas, memerlukan tempat berteduh dan IHSAN saudara seislamnya sendiri...
Mengapa kita bersikap mementingkan diri sebegini rupa...?? Usahlah kita berperangai seperti orang yang tiada iman didada...
Anda menghantar semula mereka kesana..mereka akan tetap kembali kesini kerana keuarga mereka semua disini..atau mereka akan mati ditengah lautan tanapa diketahui sebabnya...adakah ini menyelesaikan masalah???
Post a Comment