Sunday, March 25, 2007

"SHAH ALAM TIDAK MUNGKIN BANJIR SELAMA 100 TAHUN" - Betul Ke Ni???!!!!

Anggota JPA3 Azizul Hisham Amir memujuk seorang mangsa banjir Norsila Tamsir, 34, yang sedang mendukung anak kecilnya Mohd Nazrin Jailani, 18 hari, agar berpindah ke tempat lebih selamat ketika Kg Kebun Bunga di Shah Alam dilanda banjir kilat kelmarin. (foto The Star oleh Azhar Mahfof)
Nak tergelak pun ada bila baca artikel kat bawah ni.. terima kasih Sa'odah Elias.. Heran jugak negeri yang perasan dah maju baru nak mula projek tebatan banjir.. Yang perasan maju tu hanya MB dia aje..Jawa perasan.. Jangan bongkak pulak Shah alam tak mungkin banjir dalam 100 tahun lagi .. Aku pun boleh buat statement cam tu sebab 100 tahun lagi kita semua dah kat Rahmatullah..Sapa pulak nak ungkitkan statement cam tu.. Ni namanya bodoh sombong...

'Shah Alam tidak mungkin banjir selama 100 tahun'

Oleh SA’ODAH ELIAS
KUALA LUMPUR: Apabila projek tebatan banjir di Sungai Damansara siap seluruhnya, masyarakat Shah Alam yang tidak tidur lena setiap kali hujan lebat, tidak lagi perlu berdepan masalah banjir untuk tempoh 100 tahun.
Kontrak telah pun dikeluarkan kepada sebuah syarikat tempatan bagi memulakan projek yang merangkumi pelebaran dan pendalaman Sungai Damansara, kerja menaik taraf beberapa jambatan sepanjang sungai, pengukuhan benteng penahan banjir dan menambah baik kolam-kolam takungan di kawasan hulu sungai.
Ketua Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran Datuk Paduka Keizrul Abdullah berkata, projek yang bernilai RM350 juta itu diluluskan oleh kerajaan pada 1 Mac lalu dan dijangka siap selewat-lewatnya dalam tempoh tiga tahun.
"Saya tidak berani janji tidak akan ada banjir lagi apabila projek ini siap kerana saya bukan ahli politik. Tetapi projek ini akan direkabentuk berasaskan senario jatuhan hujan terburuk pernah direkodkan di kawasan terlibat.
"Ia direkabentuk untuk bertahan bagi tempoh 100 tahun akan datang. Jadi apabila siap nanti, jika tiada sesuatu di luar jangkaan berlaku, kawasan Shah Alam akan dilindungi daripada banjir untuk sekurun lagi," katanya kepada mStar Online hari ini.
Beliau bagaimanapun mengakui, senario terburuk yang diguna pakai oleh JPS itu lebih rendah daripada kadar jatuhan hujan sehari tertinggi sebanyak 380 ml di Johor ketika banjir besar melanda negeri itu akhir tahun lalu atau rekod tertinggi kebangsaan yang dicatatkan di Kelantan, iaitu sebanyak 600 ml sehari.
Katanya, jika rekod rekod kebangsaan itu diguna pakai, Sungai Damansara perlu dilebarkan "sehingga tidak akan wujud lagi Bandaraya Shah Alam."
Menurutnya, walaupun jika berlaku jatuhan hujan lebih tinggi daripada yang pernah direkodkan di kawasan terlibat nanti, projek berkenaan akan mampu memastikan laluan air yang lebih lancar dan cepat dan ini mengurangkan kemungkinan banjir.
Sebagai langkah berjaga-jaga, katanya, isyarat kecemasan seperti siren dan pesanan melalui SMS akan terus diguna pakai.
Mengulas banjir yang melanda Kampung Kebun Bunga dan beberapa kawasan rendah Rabu lalu, Keizrul berkata, ia berlaku kerana kolam takungan di Kota Damansara melimpah dan kerana sebahagian benteng tambatan bah di kawasan itu runtuh.
Katanya, banjir kali ini tidak seburuk Februari tahun lalu yang menenggelamkan lebih 1,000 hektar kawasan termasuk TTDI Jaya dan beberapa kawasan lain, kerana sebahagian besar kerja-kerja jangka pendek seperti membina benteng di taman perumahan itu dan Kampung Kebun Bunga telah selesai.
"Hanya kerja mendalami sungai untuk membuang kelodaknya belum selesai. Kita akan percepatkan kerja-kerja itu di samping membaiki benteng yang runtuh. Bagaimanapun, semua kerja ini hanya untuk sementara kerana keseluruhan tebing Sungai Damansara perlu diperkukuhkan," katanya.
Untuk tempoh terdekat, beliau menasihatkan penduduk di kawasan terlibat agar sentiasa waspada dan bertindak cepat menyelamatkan diri dan harta benda apabila sistem amaran berbunyi.
Hujan lebat dan ribut petir pada lewat sebelah petang yang kini dialami sebahagian besar kawasan Pantai Barat Semenanjung termasuk kawasan sekitar Lembah Kelang dijangka berterusan sehingga awal Mei depan.
Keadaan ini disebabkan peralihan musim hujan daripada Monsun Timur Laut yang berakhir awal bulan ini kepada Monsun Barat Daya yang bermula pertengahan Mei yang menyebabkan terbentuknya awan besar yang membawa banyak hujan.

No comments: