Comment my friend from Sarawak about Mawi programme in RTM and Astro.
Saya seorang dari suku kaum Kelabit di Sarawak dan sudah puas merantau ke seluruh pelusuk negara kerana kerja merasakan sangat malu apabila rancangan Mawi dan Ina di siarkan secara langsung dan serentak oleh Astro dan RTM. Walaupun saya bukan orang Melayu, tetapi saya sudah begelumang dengan adat dan tata susila orang Melayu hampir 30 tahun lamanya. Orang Melayu kini sangat berbeza daripada dahulu. Perubahan cara hidup dan amalan seharian sangat berubah berbanding dengan kaum lain.
Cerita yang dipaparkan oleh tv malam semalam saya rasa tidak patut disiarkan. Mengikut berita akhbar, Astro dan RTM membuat rancangan tersebut sebagai saingan kepada TV3 yang menayangkan rancangan perkahwinan Datin Siti Nurhaliza. Dimana adap sopan dan maruah orang Melayu sehinggakan rancangan seperti itu menjadi satu siaran secara langsung?. Mungkin kerana wang ringgit daripada iklan dapat membawa keuntungan dengan menyiarkan rancangan sensasi seperti itu.
Rancangan Mawi dan Ina itu seolah-olah memberi gambaran begitulah cara hidup orang muda Melayu sekarang yang sudah tiada segan silu dan berlapik dalam percakapan sehinggakan cerita yang tidak sepatutnya orang lain tahu sudah diberitahu ke seluruh negara. Saya nampak macam mereka berdua itu menjadi alat golongan tertentu untuk mencapai maksud mereka sendiri.
Orang Melayu yang saya kenal sangat berbudi bahasa dan sungguh berahsia tentang soal peribadi. Cerita Mawi dan Ina ini sudah jauh sangat menyimpang dari sifat orang Melayu yang saya kenali. Malah anak-anak saya bertanya mengapa boleh keluar cerita yang personal dan adakah mereka berdua itu tidak tahu malu?.
Ramai yang menjangkakan rancangan itu sebagai satu cara mereka itu berbaik semula. Tapi yang saya lihat ia tiada apa-apa makna dan isi cerita rancangan tersebut. Cuba kita bayangkan kalau cerita Mawi kahwin dan bercerai?. Adakah akan dibuat rancangan langsung sebegini?.
Saya teringat anak bekas rakan sekerja saya semasa saya bertugas di Ipoh yang begitu sedih dan sugul seluruh keluarga apabila anaknya putus tunang. Mereka merahsiakan ke pengetahuan jiran-jiran sekeliling kerana malu. Setelah beberapa bulan barulah jiran dan rakan-rakan tahu cerita. Itupun rakan saya itu berlapik bercerita kerana tidak mahu menjatuhkan maruah semua pihak.
Sekarang ini cerita Mawi ini seperti satu contoh orang Melayu sekarang sudah hilang nilai kesopanan dan menjaga maruah dalam diri mereka. Mungkin Mawi dan Ina dibayar untuk ditemuramah adalah punca rancangan itu disiarkan. Kalau ini sebabnya adakah orang Melayu sudah menjadi mata duitan sehingga lupa adap?.
Di pasar hari ini ramai wanita Melayu menjadi pengulas tidak rasmi cerita Mawi dan Ina. Bila mendengar cerita saya menggelengkan kepala kerana mereka lebih tahu segala segi cerita daripada tuan punya badan. Macam sudah ada budaya baru menjelma walaupun sejak dulu lagi orang Melayu memang kuat mengumpat dan mengata. Kini ia lebih ketara kerana cerita seperti Mawi ini telah merangsangkan lebih ramai orang mengumpat, mengata, mengeji dan menghina. Tidakkah ini satu dosa dalam agama Islam?.
Saya rasa eloklah di masa yang akan datang dikurangkan dan kalau boleh tidak ada lagi rancangan yang meyerlahkan runtuhnya maruah orang Melayu. Saya kagum dengan orang Melayu kerana sudah lama saya bercampur dengan orang Melayu. Rasanya 20 tahun dahulu orang Melayu lebih dihormati daripada sekarang.
Minta maaf jika menyinggung mana-mana pihak. Saya bercakap sebagai orang luar dari Melayu dan bersahabat dengan orang Melayu.
Selamat Hari Merdeka.
No comments:
Post a Comment